PENGISYTIHARAN Perdana Menteri (PM) bahawa PM, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Menteri Kabinet dan semua ahli Parlimen sebagai penjawat awam adalah definisi yang perlu difahami dan dihayati oleh semua pemimpin negara. Ia bererti bahawa mereka juga adalah penjawat awam yang tertakluk dengan Undang-undang Negara dan tidak boleh melakukan sewenang-wenang sebarang usaha meraih laba daripada kedudukan politik mereka. Pelantikan mereka adalah suatu tanggungjawab yang berat digalas yang akan dihitung bukan sekadar di dunia, ianya bukan kesempatan untuk direbut dan diwarisi.
Dalam kenyataan tersebut PM juga mewajibkan kesemua jawatan dalam pentadbiran mengisytiharkan aset, pendapatan termasuk juga hadiah yang diterima mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kenyataan beliau dilihat sebagai usaha Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa pemimpin negara. Hasrat ini perlu disambut oleh seluruh kepimpinan negara dengan perkhidmatan penuh jujur dan amanah bagi membuktikan mereka berbeza dari Kerajaan sebelumnya. Mencegah rasuah yang membarah di negara ini bukan hanya dilaksanakan terhadap rakyat bawahan. Yang paling utama, pemimpin negara dahulu mesti dibersihkan agar jangan ada mereka yang memegang kuasa pemerintahan terpalit dengan pelbagai skandal dan dakwaan rasuah.
Untuk membuktikan ketelusan pemerintahan negara, agensi penting seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi jaminan untuk diberi kebebasan sepenuhnya menyiasat dakwaan dan kes yang melibatkan pemimpin negara termasuk terhadap PM, TPM dan seluruh anggota Kabinet. Jaminan ini penting supaya SPRM tidak takut bertindak terhadap mana-mana pemimpin negara. Jika tidak ia sekadar slogan muluk dan retorik yang mengulangi apa yang pernah disuarakan oleh regim Barisan Nasional (BN) terdahulu.
Kenyataan PM memberi makna bahawa pemimpin negara di bawah pemerhatian dan pemantauan rakyat secara langsung. Mana-mana pemimpin yang dilihat tersasar atau hidup di luar kebiasaan dengan kemewahan melampau, rakyat akan melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya. Justeru, ia adalah amaran awal bahawa jika ada seorang pemimpin yang terpalit dengan salah laku dan dakwaan rasuah, pemimpin tersebut mesti bercuti bagi siasatan dijalankan ke atasnya ataupun meletakkan jawatan.
PAS pula bersama dengan rakyat serta jaringan sivil yang lain akan terus memerhati dengan penuh teliti dan menegur mana-mana pemimpin yang curang dan culas. Mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab bagi PAS bagi memastikan Kerajaan dan negara tidak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T di akhirat kelak. Oleh kerana itu, PAS sentiasa bersuara lantang dan terus mengkritik agar Kerajaan berada pada landasan sepatutnya. PAS konsisten dalam menegur pemerintah sejak tahun 1955, kadang membayar dengan harga yang mahal atas perlawanannya dengan penguasa sehingga ramai pimpinannya mendekam dalam tahanan politik regim seperti ISA.
Jika Kerajaan benar-benar telus, serius melaksanakan tatakelola Kerajaan yang baik dan agresif mahu menjadikan Kerajaan dan negara ini bersih daripada najis korupsi, rakyat tidak teragak-agak untuk turut membantu. Kerajaan yang bersih daripada najis rasuah menjadi sebab rakyat dan negara juga bebas dari rasuah. Dalam tempoh lima tahun ini, Kerajaan dicabar untuk terus menjaga agar pemimpin, rakyat dan negara bersih atau sifar rasuah. Ia dapat dibuktikan nanti dengan penurunan Indeks Rasuah Negara, kadar tangkapan dan siasatan SPRM menurun, agensi Kerajaan lebih berintegriti dan dipercayai manakala pasukan penguatkuasa juga mendapat keyakinan rakyat. Jika Kerajaan PH gagal menepati janji mereka, maka bersiaplah mereka untuk menjadi pembangkang yang konstruktif pula untuk penggal pemerintahan berikutnya
(Penulis adalah Ahli jawatankuasa PAS Pusat) – HARAKAHDAILY 10/7/2018