SETPOL Presiden: Pengiktirafan kepada anak muda

- Advertisement -

TAHNIAH kepada sahabat saya Saudara Syahir Sulaiman yang baru sahaja dilantik sebagai Setiausaha Politik Presiden PAS yang baharu. Mengenali beliau sejak bersama di dalam kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia, sememangnya beliau layak dan berkeupayaan untuk memikul tugas tersebut.

- Advertisement -

Pelantikan ini menunjukkan mesej jelas dan besar yang mahu disampaikan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Presiden kepada seluruh organisasi parti mengenai pengiktirafan dan kepentingan memposisikan anak muda sebagai salah satu sayap penting sesebuah gerakan politik Islam.

Meletakkan seseorang pada posisi tertentu tidak boleh hanya berdasarkan kepada senioriti atau dilantik sekadar memenuhi kuota atau sebagai ‘penghargaan’ atas jasa seseorang, namun ianya mesti berdasarkan kompetensi al-qawiyyul amin (ilmu, kemahiran dan keupayaan). 

Dalam hal ini, Dato’ Seri Tuan Guru Presiden jelas mengiktiraf kompetensi pemuda untuk terus menggerakkan PAS mendepani cabaran semasa yang didominasi golongan muda. Bahkan, golongan muda juga dikatakan menjadi undi penentu di dalam pilihan raya baru-baru ini.

Oleh itu, menjadi kemestian kepada para pemuda PAS berusaha serius untuk melengkapkan kompetensi diri sebagai pelapis kepimpinan kelak. Dewan Pemuda PAS Malaysia siap sedia untuk melahirkan pelapis ini melalui modul kompetensi terkini yang disediakan oleh Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) dan Akademi Tarbiyyah (AKTAR). Jika Presiden terus mara melangkah ke hadapan, mengapa tidak kita?

“Mara Menuju Cita”

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN 
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia 
9 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 9/7/2018

- Advertisement -