Belajar politik dari YDP Dun T’ganu

- Advertisement -

AHAD lalu, YB Tuan Haji Yahaya Ali telah selamat dimasyhurkan sebagai Yang DiPertua atau Speaker Dewan Undang Negeri Terengganu dalam satu istiadat sebagai tanda bermulanya penggal baharu Dun ke-14. Nama beliau dicadangkan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mohktar dan disokong oleh Exco kanan, Ustaz Satiful Bahari Mamat yang kemudiannya diumumkan sah pelantikan itu oleh Setiausaha Dun.

- Advertisement -

Mungkin kita boleh berkenalan sedikit dengan watak yang sebenarnya satu nama besar di Terengganu ini. Sebelum jari ini menari dengan lebih lanjut, menerangkan siapakah beliau, ingin saya maklumkan terlebih dahulu bahawa tulisan ini bukan untuk memuji ataupun bercerita melampau-lampau. Saya sedar bahawa, Allah memiliki hati semua manusia. Manusia juga ada kesilapan dan kekurangan. Cukuplah saya katakan bahawa tulisan ini hanya sebagai pengajaran yang baik untuk diikuti oleh golongan muda yang mungkin baharu mengenali politik dan bagaimana beliau menghadapinya. Apa yang saya tulis ini berdasarkan pemerhatian saya secara dekat.

Beliau pernah menjadi Pegawai Kerajaan sebelum berhenti untuk menjadi calon PAS paling muda di Terengganu pada tahun 1986 bagi kerusi Dun Paka ketika berumur 27 tahun. Keadaan beliau ketika itu amat tersepit kerana pemikiran kuno masyarakat ketika itu ialah kerja dengan Kerajaan, rezeki akan selamat. Dan jika berhenti daripada Kerajaan, ia tindakan cari penyakit. Namun atas semangat mahukan Islam didaulatkan, beliau tetap meneruskan hasrat beliau. Diamanahkan oleh parti kali kedua tahun 1995, dan beliau mengejutkan BN dengan mengalahkan Azmi Ahmad di Alur Limbat.

Tahun 1999, beliau menang sekali lagi di kerusi yang sama. Sebagai bekas Pegawai Kerajaan dan ahli usrah kepada Dato’ Ustaz Harun Taib, Haji Yahaya diberi kepercayaan menjadi Exco Infrastruktur ketika itu. Tahun 2004, seperti yang sedia maklum, terdapat banyak kerusi PAS kalah, dan beliau juga tidak terkecuali. Proses ini biasa bagi ahli politik PAS. Mereka tidak takut kalah, kerana sudah biasa hidup miskin dan jawatan itu adalah amanah, jika ada dipikul, jika tiada maka terlepas beban.

Namun ketahanan seseorang manusia itu akan dapat dilihat ketika ujian sebenar datang. Beliau dua kali pada tahun 2008 dan 2013, tidak dicalonkan sebagai calon PRU PAS Terengganu walaupun ada dalam beberapa tahun itu, beliau menjadi YDP PAS Kawasan Marang dan lebih besar jawatan beliau ialah menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu. Tahun-tahun ini saya anggap sebagai amat mencabar karier beliau sebagai ahli politik. Kisah beliau di sini saya tekankan agar diambil pengajaran oleh golongan muda jika mahu terus kekal berpolitik di dalam PAS.

Setenang manapun jemaah, pasti akan ada ributnya. Sebaik mana manusia, pasti akan ada sisi kurangnya. Begitulah proses yang akan menjadikan seseorang itu lebih berpengalaman. Tinggal lagi bagaimana jemaah menghadapinya dan menyelesaikannya. Pada pandangan saya, ada beberapa isu yang agak menjejaskan beliau kerana keadaan sekeliling yang terpaksa beliau hadapi. Ya-lah, manakan tidak, terkadang tekanan daripada dalam adalah lebih perit dihadapi berbanding tekanan luar.

Ditambah lagi ketika masalah itu berlaku, itu sudah ada suara-suara Erdogan di dalam PAS yang menyeru kepada menentang Presiden. Suara-suara itu tidak jauh daripada beliau. Di kampung beliau itu ada agak ramai yang menyertai kumpulan menentang Presiden PAS. Dan mereka bukan orang lain dengan Haji Yahaya, mereka yang berdekatan dengan beliau. Saya tidak dapat bayangkan betapa goncangan yang kuat ini, beliau hadapi. Satu pihak seperti menolak, satu pihak bagaikan menarik beliau.

Tidak beliau endahkan walaupun ada suara sumbang secara psikologi yang saya dengar sendiri mendakwa beliau akan berubah arah dan akhirnya Allah membantu beliau menghadapinya dengan jaya. Tidak setakat itu, malah terbukti beliau bukan sahaja menyerahkan diri beliau kepada jemaah, tetapi juga isterinya Hajjah Zarani Othman ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu dan anak mereka juga sekarang turut terlibat secara langsung sebagai tenaga utama jemaah PAS. Alhamdulillah juga, ribut itu terhenti dan semuanya bertaut kembali dengan izin Allah.

Inilah ketaatan yang diperlukan oleh ahli PAS. Ketika diuji, barulah tahu bagaimana kita. Ujian pula datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang akan gagal, gugur dan ada yang akan kekal bersama jemaah. Anak-anak muda perlu melihat ini sebagai motivasi untuk meneruskan perjuangan mereka. Mesti ada hala tuju dan tahu di mana kedudukan kita. Sikap gopoh-gapah akan merugikan kita semua. Sikap lebih tahu daripada pimpinan juga hanya menunjukkan kesombongan kita sebagai pengikut. 

Kini Haji Yahaya diberi kepercayaan untuk mengemudi Sidang Dun, iaitu institusi yang mulia dari sudut Perlembagaan bagi membentuk segala enakmen dan bagi Kerajaan menyelesaikan masalah negeri untuk keselesaan rakyat. Atas pengalaman beliau beberapa penggal sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Exco, Adun dan YDP PAS Kawasan, beliau telah bertindak sebaik-baiknya bagi mengawal perjalanan Dun. Sekali lagi saya tekankan tidak saya memuji beliau, tetapi agar secebis kisah politik beliau, kita ambil pengajaran bagi perjalanan politik kita yang pastinya beranjau.

Selamat bertugas YB Haji Yahaya Ali, semoga Allah memudahkan jalan bagi YB mendapat redha Allah. Amin. – HARAKAHDAILY 6/7/2018

- Advertisement -