Amphicoach belum diterima pihak kerajaan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri yang lalu telah membayar RM3 juta bagi kos pembelian bas dua alam amfibia (Amphicoach) tetapi masih belum menerima serahan kenderaan itu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, keseluruhan kos satu unit amfibia itu berharga RM3.3 juta.

Namun menurutnya, Kerajaan Negeri masih belum menerima serahan rasmi bagi kenderaan itu walaupun telah dibayar sebanyak RM3 juta.

Terangnya, dengan kelewatan serahan itu, pihak pembekal terbabit dikenakan caj denda sebanyak RM1,100 sehari kepada kerajaan negeri.

“Kos keseluruhannya RM3.3 juta dan kerajaan telah bayar RM3 juta dan bakinya lagi RM300,000 yang belum dibayar kepada pembekal. Kerajaan Negeri masih belum menerimanya dan sudah terlewat.

“Pembekal tadi dikenakan denda sebanyak RM1,100 sehari. Sekarang ini, syarikat berkenaan dikenakan dengan RM200,000 lebih dan saya yakin, kerajaan negeri tidak akan bayar satu sen pun sehingga bas itu diserahkan kepada kita nanti daripada baki itu,” jelasnya kepada wakil media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-14, di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.

Katanya, masalah dihadapi oleh kenderaan amfibia itu berkait dengan masalah enjin hidraulik bas yang rosak dan terpaksa diimport daripada Jerman.

“Masalahnya, beberapa minggu lepas peralatan enjin (hidraulik) bas yang itu rosak telah sampai diimport daripada Jerman. Sekarang sedang diperbaiki dan setelah siap dia (pembekal) akan serah kepada kerajaan negeri,” jelasnya.

Ketika Kerajaan BN memerintah Terengganu, bekas Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Said berjanji membeli dua bas amphicoach daripada Malta.

Namun, hanya sebuah sahaja yang dibeli dan dihantar ke Terengganu dengan harga RM3.3 juta melalui Syarikat Alam Perkasa Technology Sdn Bhd.

Harakah dimaklumkan, kontrak beli ditandatangani pada 2014 dan syarikat terbabit sepatutnya membekalkan dua unit bas amfibia AmphiCoach GTS-1.

Manakala, Menteri Besar selepas itu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pula pernah berjanji bas berkenaan akan mula beroperasi Mei 2015.

Malah, berjanji sekali lagi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu bahawa bas itu dijangka sampai Jun 2017.

Kenderaan bas amfibi buatan Malta itu tiba di negara ini Februari lalu dan kini telah berada di Terengganu.

Namun, setelah dua kali dipandu-uji bas dua alam itu di Sungai Terengganu telah berlaku kerosakan taknikalnya, hingga menjadi tular di laman sosial serta mendapat cemuhan masyarakat umum.

Sehubungan itu, Ahmad Razif terpaksa membuat pengakuannya apabila video tular di laman sosial Facebook mengenai kerosakan bas amfibia dua alam itu.

“Itu cuma masalah kecil saja. Saya sendiri yang pandu uji bas berkenaan dan mungkin akibat kesilapan saya yang memandu kenderaan itu dengan laju secara mendadak menyebabkan peniup udara tercabut.

“Memandangkan ketika ini ia masih dalam tempoh ujian dan percubaan, saya sudah minta supaya kenderaan itu diuji lagi selepas ini.

“Ini penting kerana kita mahu pastikan bas ini boleh berfungsi sebaik-baiknya di dalam air dan atas darat sebelum ia mula beroperasi, ujarnya bagi meredakan kritikan netizen tersebut.

Hos peniup udara ( blower hose ) kenderaan amphicoach itu tercabut ketika bekas Menteri Besar itu memandu ujinya di Sungai Terengganu. -HARAKAHDAILY 6/7/2018

- Advertisement -