Semakin terbukti wujud kerjasama PH-Umno

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dakwaan kononnya PAS menjalin kerjasama dengan Umno sebaliknya sekarang terbukti Pakatan Harapan (PH) memerlukan Umno bagi mengukuhkan kedudukannya.

- Advertisement -

Semalam muncul lagi jalinan kerjasama itu apabila tiga Adun Barisan Nasional memihak kepada PH ketika pengundian pelantikan Speaker.

Wakil rakyat terbabit iaitu Adun Guar Chempedak, Dato’ Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, Adun Bandar Baru, Dato’ Norsabrina Mohd Noor dan Adun Sungai Tiang, Dato’ Suraya Yaacob.

Mereka sebelum ini pernah mengisi barisan Exco kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) ketika diterajui Dato’ Seri Mukhriz Mahathir pada awal penggal ke-13.

Ketua Pembangkang Dun Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap PAS sejak 2016 kononnya akan berpakat bersama Umno meleset sama sekali.

“Keputusan hari ini membuktikan siapa sebenarnya yang berpakat dengan BN. Rakyat boleh menilai sendiri terhadap tuduhan yang dilempar kepada PAS selama ini,” katanya selepas majlis pelantikan Speaker Dun dan angkat sumpah Adun Kedah di sini semalam.

Calon daripada Pakatan Harapan, Dato’ Ahmad Kassim dilantik sebagai Speaker Dun Kedah selepas memperolehi 21 undi.

Manakala calon daripada PAS, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi mendapat 15 undi.

Pelantikan berkenaan diumumkan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Kedah, Iqbal Ahmad.

Malah Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata keputusan Adun BN Kedah menyokong Speaker daripada PH direstui Badan Perhubungan Umno Kedah. – HARAKAHDAILY 5/7/2018

- Advertisement -