Pelaksanaan syariat Samudera-Pasai

- Advertisement -

ANTARA ciri asas sebuah Kerajaan Islam ialah pelaksanaan syariat sebagai Undang-undang Negara dalam semua aspek kehidupan. Pelaksanaan syariat ini menunjukkan ketundukan pemerintah Islam terhadap keagungan Kerajaan Allah S.W.T yang menurunkan syariat kepada manusia. Dalam konteks Alam Melayu, kewujudan Kerajaan Islam sejak 840M telah menyaksikan komitmen para pemerintah untuk melaksanakan Undang-undang Syariat, dan terbukti di Perlak dan juga Samudera-Pasai bahawa ia telah diberlakukan. Sama ada mempunyai sistem pelaksanaan syariat yang tersusun atau sebaliknya, ia menjadi persoalan kedua, sedangkan yang lebih pokok adalah pemberlakuan hukum itu sendiri. Inilah perkara yang menjadi sumber kekuatan kepada Kerajaan Islam Samudera-Pasai yang dicatatkan mempunyai komitmen yang tinggi dalam melaksanakan hukum syariat kepada semua lapisan rakyat.

- Advertisement -

Dalam mengukur pelaksanaan ini, kita dapat melihat dari tiga aspek, pertama, pemberlakuan hukum itu sendiri yakni ia telah dipraktiskan dalam kehidupan bernegara. Catatan Ibnu Batutah telah menjawab persoalan ini, walaupun ia hanya mewakili sejumlah kecil dari zaman Samudera-Pasai. Kedua, kewujudan institusi-institusi hukum syariat seperti badan kehakiman, pelaksana undang-undang dan jawatan-jawatan yang menjadi lembaga agama. Kewujudan jawatan Qadhi, Mufti dan Majlis Fatwa adalah menunjukkan institusi tersebut telah berdiri. Dan ketiga, penggubalan undang-undang yang menjadi sumber rujukan pelaksanaan, apakah ia berbentuk teks undang-undang atau kitab-kitab fekah mazhab atau mengikut ijtihad para ulamak semasa. Ketiga-tiga aspek ini boleh membuktikan mengenai kewujudan, kuat kuasa dan pelaksanaan syariat yang berlaku dalam Kerajaan Samudera-Pasai.

Pelaksanaan Syariat: Catatan Ibnu Batutah

Sebahagian besar maklumat mengenai pelaksanaan syariat dan penerapan hukum Islam dalam Kerajaan Samudera-Pasai adalah berdasarkan catatan Ibnu Batutah (1304-1369M), iaitu seorang pengembara Maghribi dalam bukunya, Tuhfat an-Nuzzar fi Gharaiib al-Amsyar wa Aghaib al-Asfar atau lebih dikenali sebagai ar-Rihlah Ibnu Batutah, yang disusun oleh Ibn al-Juzzay al-Kalbi atas perintah Sultan Abu al-Inan (1348-1358M), Sultan Marinid di Maghribi. Ibnu Batutah asalnya seorang Qadhi bermazhab Maliki di Maldiv telah melawat Samudera-Pasai pada 1345M. Catatan ini dianggap sangat penting, kerana beliau sendiri sebagai Qadhi adalah seorang yang sangat memahami hukum Islam, sebelum mengembara selama 30 tahun. Beliau berada di Samudera dan tinggal dengan Sultan Mahmud Malik az-Zahir II (1330-1349M) selama 15 hari, setelah meninggalkan India 25 hari sebelumnya, dan kemudiannya ke China.

Menurut Ibnu Batutah, kedatangan beliau disambut oleh Bohruz, iaitu wakil Laksamana, sebelum diraikan oleh para pembesar iaitu Amir Dalwasah, Qadhi Amir Sayyid al-Syirazi dan Faqih Tajuddin al-Esfahani (Mufti) bersama beberapa fuqaha’ lain. Setelah itu, beliau mengadap Sultan Mahmud Malik az-Zahir II dan tinggal di Samudera-Pasai selama dua minggu. Beliau menyifatkan Sultan Samudera-Pasai itu sebagai Raja yang terkenal, paling dermawan dan bermazhab Syafie. Baginda mencintai para ulamak yang membaca al-Quran dalam majlis-majlisnya dan mengadakan pengajian. Baginda selalu berperang dan berjihad terhadap orang kafir, sedangkan hidupnya sederhana termasuk sanggup berjalan kaki ke masjid. Baginda suka belajar agama dan menguasai (alim) Mazhab Syafie. Penduduk Samudera-Pasai juga bermazhab Syafie dan suka berperang bersama Raja, sehingga orang kafir membayar Jizyah.

Catatan ini memberikan maklumat bahawa:

●     Samudera-Pasai adalah bermazhab Syafie termasuk Raja dan rakyatnya;

●     Adanya peranan para ulamak dan fuqaha’ dalam pentadbiran negara;

●     Lembaga agama telah wujud dengan jawatan Qadhi, Mufti dan Majlis Fuqaha’;

●     Jihad dan perang adalah mekanisme untuk menghadapi negara-negara kafir yang menolak Islam;

●     Sistem Jizyah telah dilaksanakan ke atas negara kafir yang kalah dan berdamai, sehingga mewujudkan kelompok Zimmi;

●     Wujudnya Negara Islam (Darul Islam), Negara Kafir (Darul Harbi) dan Negara Berdamai (Darul Suluh); dan

●     Sultan Samudera-Pasai adalah seorang alim dan mencintai ulamak dan majlis ilmu.

Pengukuhan institusi-institusi syariat

Mewarisi Sistem Kesultanan dari Perlak merupakan pengekalan institusi syariat yang paling tinggi dalam Islam. Ini kerana sejak zaman Kesultanan Saljuk (1040-1129M), para ulamak mengakui Institusi Sultan adalah sah selagi tidak terpisah daripada Khalifah. Nizamul Muluk (m. 1085M), Wazir Saljuk yang terkenal mengakui hal ini dalam bukunya, Siyasat al-Muluk, sebelum diakui juga oleh Imam al-Juwaini (m. 1092M) dan Imam al-Ghazali (1111M). Sultan dianggap mewakili Khalifah dalam mentadbir umat Islam. Semua pemerintah Samudera-Pasai memakai gelaran Sultan, selain gelaran kebesaran seperti Malik as-Saleh dan Malik az-Zahir. Kemudian beberapa institusi penting iaitu Sheikhul Islam, Mufti dan Qadhi diwujudkan dalam proses Islamisasi ini. Jawatan-jawatan ini mempunyai fungsi untuk menguatkuasakan syariat, mengeluarkan fatwa, menafsirkan hukum, mengendalikan pengadilan dan mengetuai upacara agama.

Dalam sejarah Samudera-Pasai, tokoh pertama dilantik sebagai Sheikhul Islam ialah Sayyid Ali al-Makarani yang dilantik oleh Sultan Malik as-Salleh (1267-1297M). Hikayat Raja-raja Pasai mengatakan Sultan menetapkan syarat supaya semua Pegawai Kerajaan yang dilantik mesti di kalangan orang-orang yang taat kepada Islam. Kemudian muncul pula jawatan Qadhi yang dipegang oleh Sheikh Amir Sayyid as-Syirazi. Qadhi adalah Hakim yang menegakkan syariat dan melaksanakan Sistem Kehakiman Islam. Sedangkan Mufti yang disandang oleh Faqih Tajuddin al-Isfahani pula menyerupai tugas Sheikhul Islam yang menerajui pentadbiran agama dan mengeluarkan fatwa. Majlis Fuqaha’ juga diwujudkan untuk membantu Mufti. Pada zaman Sultanah Nahsyiyah (1406-1428M), telah wujud jawatan Wazir Syariat dan Wazir Sufi yang menjadi pembantu utama Sultanah. Berdasarkan jawatan-jawatan ini, menunjukkan bahawa institusi-institusi syariat telah pun wujud dengan kukuh dalam Kerajaan Samudera-Pasai.

Rujukan Undang-undang Syariat di Samudera-Pasai

Pengukuhan pelaksanaan syariat akan bantu oleh Undang-undang Syariat itu sendiri. Namun begitu, Nusantara tidak mempunyai catatan yang jelas mengenai teks undang-undang sebelum abad ke-15, kecuali Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303M. Faktor utamanya ialah abad kesembilan hingga 12M adalah zaman pengukuhan Mazhab Fekah selepas empat imam mazhab yang terkenal itu. Sebagai sebuah Wilayah Islam yang baru, yang sebelumnya beraliran Syiah, dan hanya menerima pengaruh Mazhab Syafie pada abad ke-11M, Nusantara berhadapan dengan lacuna (kekosongan) undang-undang dari segi teksnya. Menurut Tajuddin Muhammad, pengaruh Syafie masuk Nusantara melalui Kerajaan Ghowri, India, sedangkan Ayang Utriza Yakin mengatakan ia daripada Kerajaan Ayubiyah dan Mamalik dari Mesir, di mana Mazhab Syafie adalah mazhab rasmi kedua-duanya. Dalam konteks praktis Undang-undang Syariat ini, sebenarnya tiada teks undang-undang yang digubal sehingga abad ke-16M, lebih-lebih lagi kerana Samudera-Pasai tidak termasuk dalam jajahan Melaka yang mempunyai Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka yang wujud pada zaman Sultan Muzaffar Shah (1446-1456M).

Maka apakah teks undang-undang di Samudera-Pasai? Mereka murujuk Kitab-kitab Fekah Mazhab Syafie sebagai teks undang-undangnya, kerana di Aceh, Kanun Mahkota Alam atau Qanun al-Asyi dianggap undang-undang terawalnya yang digubal pada zaman Sultan Alauddin Riayat Shah al-Mukammil (1588-1604M). Pada abad ke-15M, dipercayai ulamak-ulamak yang ada di Samudera-Pasai, khusus Mufti dan Qadhi yang dibawa dari Asia Barat dan Parsi telah membawa Kitab Fekah Syafie dari negeri masing-masing ke Samudera-Pasai. Antara kitab yang terkenal sebagai rujukan ialah Takhlis al-Minhaj tulisan Imam Nawawi, al-Ghayah wa at-Taqrib (Abu Sujak), al-Muharrar (ar-Rafie), Tuhfah al-Muhtaj (Ibnu Hajar al-Haitami), Fath al-Wahab (Zakariya al-Ansori), Fath al-Qarib (Ibnu Qassim al-Ghazzi), al-Mahalli (Jalaluddin al-Mahalli), Nihayat al-Muhtaj (ar-Ramli), Mughni al-Muhtaj (Khatib Syarbani) Qalbi wa Umairah (al-Qalyubi), Fath al-Muin (Zainundudin al-Malibari) dan I’anat at-Talibin (Syed Bakri ad-Dimyari).

Pada ketika ini, di Samudera-Pasai, kitab-kitab berbahasa Arab ini belum banyak yang dicetak, menyebabkan para menuliskan Kitab-kitab Fekah yang disadur ke dalam Bahasa Melayu. Selain digunakan sebagai rujukan pelaksanaan syariat, ia juga adalah rujukan dalam majlis-majlis ilmu untuk mengembangkan Mazhab Syafie. Satu lagi sumber hukum di Samudera-Pasai ialah fatwa dan ijtihad para ulamaknya yang berfungsi melalui institusi Mufti dan Majlis Fuqaha’, namun ijtihad mereka tetap bergantung kepada Kitab-kitab Fekah Syafie sebagai rujukan.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
20 Syawal 1439 / 4 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 6/7/2018

- Advertisement -