Jadikan Terengganu hab NGO

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan negeri ini sebagai hab bagi Badan Bukan Kerajaan (NGO) pelbagai kluster.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, peranan NGO terbabit bagi menampung sebarang kekurangan yang mungkin kerajaan terlepas pandang.
 
“Kami (kerajaan) bercadang untuk menjadikan Terengganu sebagai hab NGO yang mengumpulkan semua NGO dari pelbagai kluster yang akan berperanan menjadi pihak yang akan menampung kekurangan yang mungkin terlepas pandang oleh pihak kerajaan. 
 
“InsyaAllah, kerajaan akan menjalinkan hubungan yang baik dengan semua NGO demi melihat negeri Terengganu kita menjadi sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera sepertimana moto negeri Terengganu Darul Iman,” ujarnya.
 
Beliau berkata demikian ketika menggulung Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-14, bagi Penggal Pertama 2018 di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.
 
Sebelum itu, Ustaz Wan Sukairi menjelasnya, portfolio Belia, Sukan dan NGO ini sangat penting kepada rakyat dan negeri Terengganu, kerana ianya menjadi satu cerminan serta gambaran masa depan rakyat dan negeri pada masa akan datang. 
 
“Saya berterima kasih juga kepada wakil Dun Tepoh, Dun Bukit Besi, Dun Telemong dan Dun Jertih yang telah menyentuh tentang portfolio saya ini. 
 
“Belia adalah anugerah dan aset penting yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita. Saidina Ali pernah berkata, jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah belia dan beliawanisnya pada hari ini.
 
“Justeru, portfolio saya akan memberikan perhatian dan akan melaksanakan pelbagai program untuk melahirkan belia dan beliawanis yang akan menjadi kebanggaan kita semua serta menjamin masa depan yang cemerlang untuk rakyat dan negeri Terengganu yang tercinta ini,” tegasnya.   
 
Sehubungan itu, kata beliau, hasrat kerajaan negeri mahu melahirkan para belia dan beliawanis yang mempunyai 10 sikap utamanya.
 
“Pertamanya, akidah yang bersih dan kepercayaan kepada Tuhan; kedua, ibadah yang benar; ketiga, akhlak terpuji; keempat, kekuatan tubuh badan; dan kelima, intelek dalam berfikir. 
 
Keenam, mampu melawan unsur negatif; ketujuh, menjaga waktu; kelapan, berdisiplin dalam kehidupan; kesembilan, mampu untuk berusaha sendiri dan kesepuluh, memberi manfaat kepada orang lain,” jelasnya.
 
Berkait dengan janji manifesto lesen motosikal percuma katanya, penyediaan kertas kepada jawatankuasa bertindak pelaksanaan manifesto sedang disiapkan peringkat akhir.
 
“Kami telah mengadakan mesyuarat dengan semua agensi-agensi yang terlibat seperti JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), Jabatan Pendidikan dan Pengusaha-pengusaha Institut Memandu Terengganu. 
 
“Alhamdulillah, kita diperingkat akhir penyediaan kertas untuk dibentangkan kepada jawatankuasa bertindak pelaksanaan manifesto, sebelum diangkat kepada Exco untuk kelulusan dan pelaksanaannya, InsyaAllah,” ujarnya.
 
Selain itu menurutnya, Terengganu turut mensasarkan menjadi juara keseluruhan bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang akan berlangsung di Perak dari 12 hingga 22 September 2018. -HARAKAHDAILY 6/7/2018
- Advertisement -