Lembah Silika: 7,600 peluang kerja, pelaburan RM13b

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH bersyukur kita panjatkan kepada Allah S.W.T kerana memberikan kesempatan kepada kita untuk berada dalam dewan yang mulia ini. Bagi melunaskan tanggungjawab membawa suara dan hasrat rakyat yang telah memilih kita dalam PRU14 lalu.

- Advertisement -

Izinkan saya untuk mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat, khususnya pandangan yang bernas dan membina sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Begitu juga kepada ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

MENJANA HASIL NEGERI

Berkenaan soalan yang menyentuh isu penjanaan hasil negeri selain daripada kebergantungan dengan royalti minyak yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tepuh dan Bandar, telah dijawab oleh Adun Ladang.

Sebagai tambahan Jawatankuasa Hasil Negeri yang ditubuhkan ini juga boleh mengkaji mekanisma yang telah digunapakai di negeri-negeri lain untuk dilaksanakan di negeri ini mengikut kesesuaian, ke arah meningkatkan hasil negeri di samping melaksanakan dasar berbelanja secara berhemat.

TANAH KELULUSAN KERAJAAN NEGERI

Saya juga ingin menggunakan kesempatan ini untuk menjawab soalan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Manir berkenaan kelulusan tanah-tanah untuk dimiliki pada Januari 2014 sehingga Disember 2017, terdapat 8 kategori penerima yang telah menerima kelulusan tanah seluruh negeri Terengganu dalam tempoh tersebut.

Sebanyak 2,622 kelulusan telah diberikan kepada individu, 168 kelulusan kepada Agensi Kerajaan Negeri, 98 kelulusan kepada Agensi Kerajaan Persekutuan, 53 kelulusan kepada syarikat-syarikat, 35 kelulusan tanah kepada pertubuhan (Umno). Manakala koperasi mendapat 5 kelulusan, Persatuan mendapat 12 kelulusan dan 3 kelulusan tanah telah diberikan kepada IPTA.

* Mana-mana pertubuhan atau orang yang tersenarai dalam Jadual kedua seksyen 9 (iii)(av) Enakmen Rizab Melayu no 17/1360

Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat juga, kerajaan negeri pada pentadbiran kali ini telah meletakkan manifesto untuk mengembalikan semula tanah-tanah yang dirampas BN selepas pemerintahan PAS 2004 dan membuka permohonan tanah baru dengan pemberian geran/hak milik yang sah.

MAJLIS PETROLEUM TERENGGANU (TPC)

Menyentuh berkenaan TPC, dengan izin, Terengganu Petroleum Council atau Majlis Petroleum Terengganu sebagaimana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Tepuh dan Kemasik, berkait usaha dan hasil yang dilakukan oleh TPC sepanjang penubuhannya.

Sebagai makluman ahli-ahli Yang Berhormat, TPC telah mengenalpasti beberapa projek yang melibatkan kerja-kerja dan operasi di perairan Negeri Terengganu yang mampu dilaksanakan oleh syarikat Negeri Terengganu dengan anggaran projek bernilai sekitar RM5 billion.

Melalui rundingan ini juga, sebuah anak syarikat kerajaan negeri telah dianugerahkan projek oleh Petronas sekitar harga RM30 juta. Ianya sebagai permulaan untuk kerja-kerja berkaitan yang lebih besar nilainya.

TPC juga sedang berbincang dengan Petronas tentang minat Kerajaan Negeri untuk menerokai bidang Penerokaan dan Pengeluaran dengan keutamaan diberi kepada, dengan izin, Brown Field atau Marginal Field.

(Brown Field oil atau gas field yang sudah matang dan mungkin ada tanda tanda pengurangan pengeluaran)

(Marginal Field oil atau gas field yang berkemungkinan menghasilkan production yang sedikit (perlaburan berisiko tinggi)

Manakala, berkenaan Telaga Minyak Bertam, Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT) yang akan dipengerusikan bersama oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu akan bersidang bagi mendapatkan persetujuan bersama berkaitan perkara berikut:

1. Mengkaji Titik Akhir Sempadan Darat Negeri Terengganu dan Negeri Pahang ;

2. Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Pahang boleh memulakan rundingan sempadan maritim antara kedua-dua Negeri ;dan

3. Menjalankan kerja-kerja penandaan dan pengukuran baki sempadan darat Negeri Terengganu dan Pahang ke Titik Akhir Sempadan Darat.

Setelah persetujuan bersama negeri dicapai bagi penentuan sempadan darat dan sempadan maritim dicapai, pihak kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama pihak Kerajaan Persekutuan dan Petronas berkaitan tuntutan royalti minyak Telaga Bertam.

Berkaitan dengan royalti petroleum pula, sebagaimana yang semua maklum, kita berpegang kepada komitmen yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri yang secara prinsipnya royalti petroleum akan diberikan secara terus kepada kerajaan negeri tanpa melalui jabatan atau agensi yang lain.

INDUSTRI SILIKA DI NEGERI TERENGGANU

Sekali lagi, saya ingin menarik perhatian ahli ahli Yang Berhormat sekalian berkenaan usaha kerajaan terhadap mineral/silika yang ada di negeri Terengganu.

Kerajaan negeri telah mengenalpasti dan menyedari bahawa bahan mineral/silika berpotensi besar sebagai penggerak ekonomi Negeri Terengganu dan penjanaan pendapatan kerajaan negeri. Bagi tujuan ini, kerajaan negeri akan mengkaji semula Enakmen Mineral Negeri Terengganu khususnya mencapai matlamat-matlamat seperti :-

1. Menggalakkan pembangunan industri mineral/silika bagi menjadikan Terengganu sebagai Hab Galian Negara. Kajian ini akan melibatkan perubahan-perubahan polisi dan prosedur untuk menggalakkan pelaburan swasta dan kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu. Penekanan utama adalah memaksimumkan guna tenaga kerja dari anak-anak negeri Terengganu sendiri.

2. Mengukuhkan rantaian ekonomi industri mineral/silika dengan sektor-sektor lain dalam pembangunan ekonomi Negeri Terengganu. Ini termasuklah menggerakkan pemprosesan hiliran, dengan izin, (downstream) produk-produk akhir yang berasaskan mineral/silika di Terengganu.

3. Meningkatkan pendapatan kerajaan negeri. Ini termasuklah perubahan kepada kadar bayaran lesen, pajakan dan royalti bahan mineral/silika kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk membangunkan satu kawasan seluas 4,000 hektar di Jambu Bongkok, Marang yang dikenali dengan Lembah Silika Terengganu. Lembah Silika Terengganu adalah satu kawasan perindustrian bersepadu khusus untuk industri yang berasaskan silika dan kuartz. Kawasan perindustrian ini adalah tempat pemprosesan produk-produk akhir yang berasaskan silika dan kuartz.

Lembah Silika Terengganu akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan paip gas dari Kerteh, sebuah, bulk terminal dan conveyor belt, independent power plant, (dengan izin), kawasan perumahan, bangunan komersil dan kemudahan-kemudahan lain.

Lembah Silika Terengganu akan berjaya menarik pelaburan langsung asing dari pemain-pemain utama di dalam industri ini kerana kelebihan kualiti bahan mentah (silika), penjimatan kos pengangkutan, eko sistem yang ditawarkan dan pakej insentif yang kompetitif oleh MIDA, dengan izin (Malaysia Investment Development Authority) atau lain lain agensi yang diwujudkan oleh kerajaan pusat.

Secara keseluruhannya, kerajaan negeri menjangkakan 7,600 peluang pekerjaan baru dapat diwujudkan dengan nilai anggaran pelaburan sebanyak RM13 bilion melalui industri ini. Perkara ini sekali gus mempermudahkan usaha kerajaan menunaikan manifesto menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam masa 4 tahun.

Di samping itu, sektor pembuatan, minyak dan gas akan terus diberi penekanan bqgi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, fokus utama adalah kepada anak negeri Terengganu. Kerajaan Negeri juga akan mempergiatkan peluang-peluang di dalam sektor pertanian, keusahawanan serta potensi industri lain termasuk di dalam bidang perkhidmatan, Information Technology (sebagai contoh: Online business dan Digital worker) dan Revolusi Industri 4.0

POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA

Bagi mendepani perjalanan sebagai kerajaan negeri, pada awal pelantikan saya sebagai Menteri Besar, kita telah memperkenalkan Politik Kasih Sayang sebagai budaya politik Terengganu. Politik yang dinatijahkan daripada pembudayaan Politik Matang dan Sejahtera.

Ini merupakan satu anjakan paradigma. Memahamkan masyarakat supaya jangan takut melakukan perubahan, kita mahu bawa politik keharmonian kasih sayang, tidak timbul kebencian. Tiada pendekatan balas dendam, penuh kesederhanaan dan cakna kepada setiap permasalahan. Dalam masa yang sama semua jentera pentadbiran di semua peringkat, harus melaksanakan tugas dengan penuh amanah, tegas dengan prinsip dan integriti kerja.

Sudah terlalu lama kita bermain politik, sehingga berlaku ketegangan, bergaduh antara keluarga, tidak bertegur sapa, nafsu amarah. Ini tidak membantu kearah keharmonian negeri, tanpa keharmonian timbullah masalah sosial yang lain. Kita harus berani melakukan perubahan dengan politik kasih sayang.

Dengan politik baru ini juga peralihan kuasa yang berlaku di negeri Terengganu berlangsung dengan tenang dan lancar tanpa sebarang masalah. Saya sangat menyanjung tinggi dan berterima kasih di atas kesediaan mantan Menteri Besar Terengganu Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Razif Bin Abd Rahman, Adun Seberang Takir di atas kesudian menghadiri majlis serah tugas baru-baru ini. Ini juga boleh menjadi contoh kepada mana-mana pihak di peringkat nasional.

Saya mengharapkan budaya ini akan menjadi satu panduan politik kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat, dalam memacu pembangunan Negeri Terengganu.

Bahkan melalui budaya politik ini kita tidak mengamalkan politik tergopoh gapah dalam mengambil setiap keputusan. Bagi menjawab persoalan tentang projek-projek yang dirancang dan sedang dilaksanakan oleh pentadbiran dahulu kerajaan akan lakukan kajian terperinci sebelum memutuskan sesuatu keputusan terhadap projek-projek tersebut. Dengan mengambil kira situasi kewangan negeri dan manfaat kepada rakyat negeri Terengganu. Aspek pelaksanaan projek akan dipastikan berjalan dengan penuh efisen, berintegriti tanpa sebarang ketirisan yang boleh membebankan kerajaan negeri.

HALA TUJU NEGERI TERENGGANU

Bagi membangunkan negeri Terengganu, kerajaan telah merangka satu pelan induk yang kita namakannya Pelan Induk Terengganu Sejahtera atau singkatannya PITAS 2030.

PITAS 2030 ini merupakan model pembangunan yang dicadangkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang merangkumi 3 dasar, 7 prinsip, 9 strategi, 5 bidang utama, 10 program induk, 6 sasaran dan 3 teras pelaksanaan.

PITAS 2030 akan menjadi agenda pembangunan negeri Terengganu sesuai dengan tema Maju, Berkat, Sejahtera. Pembangunan pelan ini akan mengambil beberapa fasa penting bermula dari sekarang sehingga ke tahun 2030.

Kerajaan negeri sangat optimis, menerusi PITAS 2030, pembangunan insan dan penjanaan ekonomi dapat ditingkatkan sesuai dengan pendapatan dan kuasa beli rakyat.

PENUTUP

Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Speaker, ahli-ahli Yang Berhormat yang berpartisipasi dalam perbahasan sepanjang sidang Dun ini dijalankan.

Ucapan penggulungan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 4 Julai 2018.

- Advertisement -