Perundangan cegah paedophilia nikah kanak-kanak

- Advertisement -

PERNIKAHAN bawah umur adalah sebuah pernikahan dan bukannya penzinaan. Pernikahan berbeza dengan penzinaan kerana penzinaan dilarang keras oleh Islam kerana kemudaratan dari penzinaan ini sangat besar. Atas dasar itu, Islam juga mengharamkan apa sahaja jalan-jalan yang boleh membawa kepada penzinaan ini. Malah hukuman ke atas penzina juga adalah hukuman yang berat dan termasuk kategori Hudud yang merupakan hak Allah.

- Advertisement -

Paedophilia pula merupakan istilah yang digunakan ke atas orang dewasa yang mempunyai keinginan nafsu seks yang tinggi ke atas kanak-kanak. Ia juga dianggap satu perlakuan yang tidak bermoral kerana kanak-kanak sepatutnya dilindungi oleh orang dewasa tetapi golongan paedophilia ini pula mengambil kesempatan ke atas mereka. Paedophilia jelas memudaratkan kerana ia menafikan hak kanak-kanak dan menyebabkan masa depan mereka menjadi gelap kerana telah dipergunakan sebagai alat untuk memuaskan dalam usia yang masih mentah. Orang dewasa yang sepatutnya memberi bimbingan kepada kanak-kanak tetapi bertukar menjadi kejam.

Namun, bagaimana pula jika seseorang yang mengidap paedophilia menggunakan pengaruh yang ada untuk bernikah dengan mangsanya. Adakah undang-undang sedia ada tidak mampu membendung gejala ini sehingga timbulnya cadangan untuk mengharamkan sama sekali pernikahan bawah umur ini dan tiada kompromi lagi.

Pernikahan yang memudaratkan

Walaupun pernikahan sangat digalakkan dalam Islam namun, para ulamak secara umumnya telah membahagikan hukum nikah ini kepada 5 kategori iaitu harus, sunat, makruh, haram dan wajib. Hukum-hukum pernikahan ini berubah mengikut situasi pihak-pihak yang terlibat. Jika pernikahan tersebut dipercayai akan memudaratkan mana-mana pihak, maka ketika itu pernikahan tersebut adalah haram. Pernikahan hanya digalakkan jika ia boleh membawa kebaikan kepada semua pihak.

Justeru, Islam memang menentang apa sahaja jenis pernikahan termasuklah pernikahan bawah umur jika ia boleh membawa mudarat kepada kanak-kanak terbabit. Pernikahan tidak boleh dijadikan alat untuk menghalalkan paedophilia sebaliknya Islam mempunyai mekanisme yang kukuh untuk menghalang kaum paedophilia menggunakan pernikahan sebagai alat untuk menghalalkan perbuatan terkutuk mereka.

Membendung kemudaratan dalam pernikahan

Di Malaysia, Mahkamah Syariah telah diberi kuasa untuk menghalang mana-mana pernikahan yang boleh memudaratkan pasangan suami isteri. Poligami misalnya merupakan pernikahan yang diharuskan dalam Islam, namun di Malaysia lelaki yang ingin poligami masih memerlukan kebenaran dari Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Ini merupakan mekanisme yang digunakan untuk membendung pernikahan yang boleh memudaratkan kerana suami perlu dipastikan mempunyai keupayaan untuk bertindak adil kepada isteri-isterinya.

Sama seperti poligami, pernikahan bawah umur juga merupakan pernikahan yang dipercayai boleh menyebabkan kemudaratan yang besar kecuali dalam kes-kes tertentu sahaja ia patut dibenarkan. Justeru, di negara ini kita mempunyai peraturan khusus untuk membendung dan mengawal pernikahan ini apabila undang-undang menetapkan setiap pernikahan yang melibatkan perempuan di bawah umur 16 tahun dan lelaki pula berumur 18 tahun hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran dari Mahkamah Syariah. Peranan besar wali mujbir untuk menikahkan anaknya sebagaimana yang ditekankan dalam Mazhab Syafii sudah dibataskan dan tidak berfungsi lagi, sebaliknya keputusan untuk membenarkan pernikahan bawah umur ini terletak atas keputusan Hakim Mahkamah Syariah sepenuhnya.

Namun begitu, setakat ini undang-undang mengenai pernikahan bawah umur ini agak longgar kerana masih tidak memperincikan apakah prinsip yang perlu dipatuhi oleh Mahkamah Syariah sebelum membenarkan sesuatu pernikahan bawah umur ini. Undang-undang hanya menyebut bahawa pernikahan bawah umur tidak boleh dibenarkan kecuali setelah mendapat kebenaran daripada Hakim secara bertulis dalam hal keadaan tertentu sahaja tetapi tiada penjelasan lanjut apakah yang dimaksudkan dengan hal keadaan tertentu itu. Tanpa perincian dan prinsip yang jelas menyebabkan timbul pelbagai salah faham dan dakwaan sehingga ada yang menuduh Mahkamah Syariah boleh membenarkan paedophilia berlaku di Malaysia.

Justeru, dicadangkan beberapa pindaan yang perlu dibuat iaitu dengan memperincikan apakah prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi oleh Hakim sebelum pernikahan bawah umur ini dibenarkan atau dihalang. Jika dalam kes poligami, undang-undang boleh menyebut dengan terperinci prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi mengenai kemampuan suami, pertimbangan sama ada pernikahan tersebut patut atau perlu dan pelbagai syarat lain lagi, maka perkara yang sama juga sepatutnya dijadikan asas dalam usaha memperkemaskan undang-undang dalam kes pernikahan bawah umur ini. Undang-undang perlu mempertegaskan semua prinsip ini dengan jelas dengan mengambil kira hak kanak-kanak tersebut untuk mendapat pendidikan dan membesar secara normal sehingga ia dilihat mampu menghalang sama sekali apa jua kemudaratan yang mungkin timbul kesan dari pernikahan bawah umur ini.

Wallahua’lam.

HAMDI ISHAK
Pengerusi Peguam Syarie Kedah
Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kedah – HARAKAHDAILY 3/7/2018

- Advertisement -