Khuatir 200K kerakyatan diberi gugat kedaulatan

- Advertisement -

GERAKAN Pembela Ummah (Ummah) memandang serius terhadap kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri yang memberikan kerakyatan kepada 200,000 pemohon yang memohon kerakyatan tersebut. Ummah menyatakan kebimbangan terhadap pemberian kerakyatan dengan mudah yang akan menyebabkan manipulasi serta salahguna oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan sehingga boleh meggugat kedaulatan negara. Selain itu, Ummah juga bimbang akan implikasi yang bakal terjadi seandainya permohonan ini tidak diperhalusi dengan baik seperti hak-hak yang bakal mereka terima contohnya hak keistimewaan bumiputra dan hak memilih pemimpin.

- Advertisement -

Oleh itu, Ummah menuntut untuk kerajaan mengemukakan syarat-syarat yang telah ditetapkan kepada pemohon-pemohon yang memohon kerakyatan tersebut. Syarat-syarat ini adalah bagi memastikan pemohon yang memohon kerakyatan adalah yang benar-benar layak untuk menjadi warganegara. Justeru itu, Ummah mencadangkan beberapa kriteria-kriteria yang wajib pemohon penuhi sebelum kerajaan meluluskan 200,000 permohonan itu;

●     Pertama, kerajaan perlulah memastikan pemohon fasih Berbahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu bagi memudahkan proses integrasi di dalam komuniti rakyat Malaysia.

●     Kedua, pemohon yang memohon wajib mempelajari dan mendalami budaya-budaya yang wujud di Malaysia dan wajib mengangkat identiti Negara Malaysia iaitu Islam, Melayu dan Institusi Raja-raja Melayu.

●     Ketiga, setiap daripada pemohon yang memohon perlu diselidik latar belakang mereka supaya tiada daripada mereka datang dari latar belakang yang boleh merosakkan struktur keharmonian sosial di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

●     Keempat, Ummah menuntut kerajaan menguar-uarkan senarai pemohon-pemohon yang akan diluluskan menurut bangsa dan negeri atau negara asal mereka supaya rakyat tahu akan latar belakang mereka.

Akhirul kalam, Ummah berharap agar kerajaan menimbang kembali keputusan untuk meluluskan 200,000 kerakyatan supaya keputusan tersebut tidak menggugat kedaulatan negara dan keharmonian kaum. Sebaliknya, jika mereka benar-benar layak diberikan kerakyatan, saringan serta kriteria yang ketat haruslah dikenakan supaya Malaysia tidaklah sewenangnya memberi kerakyatan tetapi pemohon tidak langsung peduli akan identiti Negara Malaysia iaitu Islam, Melayu dan Institusi Raja-raja Melayu.

TUAN HAJI AMINUDDIN YAHYA 
Ketua Sekretariat
Gerakan Pembela UMMAH – HARAKAHDAILY 3/7/2018

- Advertisement -