Tinjauan Barat terhadap politik Islam

- Advertisement -
BARAT yang diterajui oleh Amerika amat peka terhadap perkembangan gerakan-gerakan Islam. Buku yang berjudul ‘Rethinking Political Islam’ susunan Shadi Hamid dan William McCants menjadi fenomena di ruang perbincangan Orientalis Barat. Buku yang diterbitkan pada 2017 itu dianggap sebagai rumusan terbaharu terhadap perkembangan politik Islam pasca Arab Spring.
 
Penyusun kepada buku ini merupakan tenaga pengkaji kepada Brookings Institute, yang merupakan badan pelobi strategi yang berpengaruh bagi pentadbiran Amerika. Kita mendapati apa yang mereka cuba rumuskan sedikit sebanyak menjadi cerminan kepada realiti kelalaian kita.
 
Jangkaan revolusi
 
Sejurus selepas meledaknya Revolusi Iran pada 1979, Barat cukup bimbang ia akan merebak ke negara-negara umat Islam yang lain. Tidak dinafikan ketika itu, gerakan-gerakan Islam sedikit sebanyak terinspirasi dengan revolusi tersebut. Ditambah lagi di era 80-an merupakan waktu terfokusnya umat Islam kepada konflik Afghanistan.
 
Ketika itu, Barat menjangkakan gerakan-gerakan Islam akan memilih cara kekerasan iaitu revolusi seperti Iran untuk mencapai cita-cita mendaulatkan Islam. Lantas mereka mula mencanangkan kempen Islamophobia dengan pengisytiharan kononnya beberapa negara umat Islam merupakan paksi keganasan yang mengancam keselamatan global.
 
Muwajahah Silmiyyah, jangkaan mereka meleset
 
Demokrasi Barat diterapkan di negara-negara umat Islam yang asalnya bertujuan untuk menyukarkan kemenangan Islam, tiba-tiba didapati berjaya dimanfaatkan oleh gerakan-gerakan Islam.
 
Barat kaget dengan perkembangan ini. Mereka lupa bahawa kekuatan Islam adalah pada hujah. Selagi diberi ruang kepada Islam untuk bersuara walaupun dengan ruang yang cukup terhad dalam sistem demokrasi, pasti lama kelamaan sokongan akan berpihak kepada gerakan Islam.
 
FIS (Islamic Salvation Front) di Algeria berjaya membuat kejutan dengan kemenangan 2/3 dalam pilihan raya pada 1991. Jangan kita lupa, PAS berjaya memerintah Kelantan pada 1990. 
 
Senario ini menggambarkan ketika era 90-an, Barat mulai sedar bahawa lambat laun gerakan-gerakan Islam bakal mendapat tempat dalam persaingan kuasa di gelanggang demokrasi. Mereka perlu berdepan dengan Islam sebagai ancaman baharu, menggantikan seterunya Soviet Union. Lantas berlangsunglah siri perang dingin baharu antara Barat dan Islam.
 
‘Mendekati’  Islamis
 
Peristiwa 9/11 merupakan satu tragedi yang perlu diingati oleh umat Islam. Sebuah propaganda dahsyat untuk menguatkan cengkaman Islamophobia di seluruh dunia. Pasca 9/11 menyaksikan gerakan-gerakan Islam seolah-olah diberi 2 pilihan jalan mati. Sama ada mahu tegar dengan prinsip Islam lalu dituduh sebagai pengganas, atau beralah dengan kehendak semasa (baca Barat) lalu mencairkan prinsip dan cita-cita Islam yang selama ini dijunjung.
 
Era Obama, Amerika giat menjalankan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam. Sudah pasti yang menjayakan operasi ini adalah dalam kalangan ejen-ejen terlatih yang diserap masuk dengan cukup halus. 
 
Program-program demokrasi untuk melatih segelintir ‘Islamis’ agar berkemahiran dengan aplikasi politik Barat giat dijalankan. Ia dianjurkan oleh USAID (U.S Agency for International Development) dan NED (National Endowment for Democracy) sebagai tulang belakang kepada kempen politik baharu.
 
Barat sangat sedar bahawa parti-parti sekular konservatif seperti Umno, lambat laun pasti akan ditolak oleh rakyat. Maka mereka berusaha mewujudkan pendua yang muncul dengan pendekatan ‘segar’ namun tetap membawa aspirasi sekular. Walau apa keadaan sekali pun, Islam tidak boleh dilaksanakan dan gerakan Islam yang mereka gelarkan sebagai fundamentalis sebagai ancaman utama. Itulah aspirasi sekular baharu.
 
Senario yang memperdaya
 
Kesan dari apa yang direncanakan itu, kita menyaksikan perubahan-perubahan yang mengancam survival gerakan Islam secara halus. Sama ada sedar atau tidak, gerakan Islam mula beralah dengan kempen-kempen Islamophobia yang dijalankan oleh liberalis tegar atau pendukung Islam Demokrat. 
 
Pada masa yang sama, budaya ilmu dan cakna dengan realiti umat cuba dikesampingkan. Lalu diganti dengan budaya ‘enjoy’ yang kononnya dapat menarik ramai penyokong. Hinggakan terdapat kajian berkenaan pop Islamisme yang turut dikesan pada era yang sama. Angkara siapakah ini kalau tidak dari Barat? Perubahan tersebut memberi kesan kepada tunjang kekuatan gerakan Islam. Bahkan ia sengaja diolah begitu supaya pendukung gerakan Islam kelak tidak berupaya bersaing dengan cabaran mendatang yang lebih kompleks dan menggila.
 
Era revolusi ideologi
 
Kita yakin bahawa Islam pasti menang. Sinar kemenangan tersebut semakin cerah di ambang kemuncak 100 tahun penjajahan total yang berlaku ke atas umat Islam. Yang menjadi masalahnya, musuh-musuh Islam turut menyedari hal tersebut. Bahkan mereka jauh lebih bersungguh menangani kebangkitan Islam, berbanding kesedaran umat Islam yang sangat minima lantaran dilalaikan dengan banyak dorongan.
 
Barat sedar bahawa masa depan sekular konservatif malap, lantas mereka mencipta Islam Demokrat. Gaya persembahan disolek agar dapat mengaburi mata umat Islam. Mereka mendakwa kononnya setuju terhadap politik Islam, tetapi tidak kepada negara Islam. Mereka mendakwa kononnya mendukung keadilan Islam, tetapi tidak kepada Undang-undang Islam.
 
Ideologi adalah akar politik
 
Dalam merumuskan senario politik Islam di rantau Asia Tenggara yang lebih tertumpu kepada Malaysia dan Indonesia, Joseph Chinyong Liow mendakwa bahawa pendukung gerakan Islam di sini tidak berapa kuat berpegang dengan tunjang ‘ideologi’ mereka. Dari kelemahan tersebut mendorong mereka untuk bersikap tangkap muat dan lebih terarah untuk menjadi oportunis.
 
Demikian yang mereka perkatakan terhadap kita. Walaupun bernada ‘menganjing’, kita perlu akui bahawa ini merupakan antara masalah yang berlaku ke atas gerakan-gerakan Islam. Dengan persaingan ideologi politk yang semakin rencam, pendukung-pendukung gerakan Islam masih lalai dan memandang enteng terhadap diskusi pemikiran. Bahkan gemar memandang rendah terhadap perancangan musuh yang jauh lebih bersungguh dan berupaya.
 
Realiti hari ini
 
Kita sudah tidak boleh katakan kita selamat, tidak seperti gerakan-gerakan Islam di negara-negara luar yang diuji dengan perancangan halus hingga menggugat survival dan identiti mereka. Pasca PRU 14, kini adalah giliran kita. Serangan di segenap penjuru dari pelbagai aliran. Sebelum ini kita tidak berapa serius mengamati cabaran mendatang yang kini menjadi realiti. Aqidah kita meyakini bahawa Islam pasti menang. Persoalannya adakah pendukung-pendukung gerakan Islam mampu bertahan dengan Islam? Istiqamah bukan semata-mata hanya pada slogan, tetapi pada sikap dan prinsip yang tidak boleh dijual beli.
 
ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
 
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
2 Julai 2018 -HARAKAHDAILY 2/7/2018
- Advertisement -