Hormati kerasmian, namun tidak menjurangkan

- Advertisement -

PROTOKOL sesuatu majlis perlu dihormati walaupun kita lebih suka biasa-biasa saja. Terutama bila kita adalah tetamu utama majlis tersebut.

- Advertisement -

Kita suka datang awal malah biasanya kita antara yang terawal. Tapi ada masa protokol menetapkan kita perlu datang pada waktu yang ditentukan. Tak awal dan tak lewat. Terlebih awal atau terlebih lewat akan mengganggu susun atur atur cara. Kalau ikut kita, lebih baik kita tunggu sambut orang dari orang tunggu sambut kita.

Begitu juga di meja makan. Bukanlah kita gemar dan bangga duduk makan di meja VIP. Baik kita beratur ambil makanan bersama orang ramai. Makan ala kadar seadanya. Tapi ada majlis yang telah diletakkan nama pada meja tempat duduk. Maka duduklah kita di situ. Kalau di meja VIP yang tak diletakkan nama, biasa saya ajak pemandu duduk sekali makan bersama. Tak ada beza antara kita.

Saya yakin pimpinan Kerajaan Terengganu yang ada sekarang semua biasa-biasa saja. Ahli Exco disediakan sebuah kenderaan rasmi bersama pemandu. Buat masa sekarang semua Exco kita guna kereta peninggalan kerajaan sesi lepas. Kereta Perdana Honda berusia sekitar 5 tahun. Alhamdulillah, ianya memudahkan pergerakkan untuk melaksanakan tugasan seharian.

Kerana ada kawan-kawan berbisik tanya hal penggunaan kereta Exco, mohon maaf saya maklum sikit. Kereta rasmi Exco ialah untuk kegunaan pada bila-bila masa dan ke mana sahaja serta untuk apa-apa tujuan sekalipun. Mudah dinyatakan, kereta Exco ialah untuk kegunaan peribadi Exco yang boleh dipandu oleh beliau sendiri, isteri atau pemandu. Tiada istilah penggunaan untuk tugasan rasmi kerana semua penggunaan kereta tersebut dikira rasmi.

Ramai dah rakyat Jabi yang kita ajak naik kereta ini. Nak pergi masjid, kedai kopi, masuk kampung, pergi program parti, urusan keluarga, pergi pejabat atau apa sahaja, semuanya dibolehkan. Soal kita nak guna atau tidak, itu perkara kedua. Peraturan membenarkan. Walaupun saya lebih suka naik motor saja masuk kampung.

YB DR AZMAN IBRAHIM  
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 1/7/2018

- Advertisement -