Guan Eng perlu hormati kedudukan Bahasa Melayu

NURIDAH1
- Advertisement -

MUSLIMAT PAS kesal dan terkilan atas tindakan Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng yang telah mengeluarkan kenyataan rasmi bertarikh 24 Jun 2018.

- Advertisement -

Pihak kami menggesa agar kenyataan tersebut ditarik balik oleh YB Menteri Kewangan. Di sini kami ingin mengingatkan bahawa Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan seperti yang telah tertulis dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan: “Bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen…”.

Juga sebagaimana telah diperuntukkan dalam Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67,
“Kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam Akta ini dan tertakluk kepada perlindungan-perlindungan yang terkandung dalam Perkara 152(1) Perlembagaan berhubungan dengan mana-mana bahasa lain dan bahasa mana-mana kaum lain dalam Malaysia bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi.”

Walaupun Malaysia merupakan negara majmuk yang kaya dengan pelbagai bangsa, namun apabila telah tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan tentang keistimewaan ‘Melayu’, setiap pihak terutama pihak kerajaan harus berbesar hati menerimanya.

Adapun, pihak kami ingin menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menulis sebarang kenyataan rasmi dalam Bahasa Malaysia sebagaimana kebiasaan yang dilakukan. Namun, selepas itu kenyataan tersebut boleh dialih bahasa ke Bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan juga Arab mengikut kesesuaian.

Selain penggunaan Bahasa Melayu, Kerajaan Persekutuan juga seharusnya memainkan peranan penting dalam memartabatkan penulisan jawi yang semakin hari semakin dimamah usia. Generasi baru kini banyak yang tidak boleh menulis mahupun membaca jawi.

Justeru, ianya tidak menjadi kesalahan jika penulisan jawi diteruskan dan digunakan dalam banyak perkara seperti yang berlaku di negeri Kelantan.

Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia 

- Advertisement -