Bahasa Melayu: PH jangan sekadar berjanji

Kamaruzaman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Sekretariat Ummah, Kamaruzaman Mohamad berharap kerajaan Pakatan Harapan bukan sekadar berjanji mahu menjunjung perlembagaan negara untuk memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara tetapi diingatkan untuk melaksanakannya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

- Advertisement -

“Tindakan ini boleh meletakkan kembali kedudukan bahasa Melayu, contohnya apabila kebanyakan menteri menggunakan terlalu banyak bahasa Inggeris, hampir semua sidang media mereka menggunakan bahasa Inggeris melangkaui penggunaan bahasa Melayu, maka menteri-menteri, kabinet dan agensi kerajaan perlu membuktikan bahawa mereka perlu menggunakan semaksimum mungkin bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sebagai salah satu usaha untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu.

“Contohnya kita tidak mahu bahasa Melayu menjadi seperti bahasa Melayu di Singapura, lagu rasminya dalam bahasa Melayu tetapi hari ini bahasa Melayu menjadi bahasa yang terpinggir di Singapura,” katanya dalam satu sidang media pertubuhan Ummah, semalam berhubung tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan akhbar Kementerian Kewangan Malaysia.

Tambahnya, Ummah turut memberi amaran kepada mana-mana pihak tidak bermain-main dengan hak sensitif orang Melayu yang telah termaktub di dalam perlembagaan negara antaranya kedudukan orang Melayu dan kedudukan Islam.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahaya juga menggesa Lim menarik balik kenyataannya dan perlu meminta maaf atas kesilapan kecil sebagaimana dianggap oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita minta mereka menukar daripada pemikiran pembangkang kepada pemikiran kerajaan sekarang ini. Jangan lagi terbelenggu dengan sifat pembangkang kerana tindakan mereka ini sebenarnya telah bercanggah dengan dasar akta bahasa kebangsaan 1963 dan mereka telah melanggar banyak perkara,” katanya.

Setiausaha Agung Gerakan Pembela Ummah, Mansor Ibrahim pula mendesak semua menteri kabinet perlu meminta maaf di atas keceluparan anggota pemerintah mengeluarkan kenyataan rasmi dan soal jawab bersama pihak media dalam satu temuramah menggunakan bahasa etnik.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat pula menyifatkan tindakan Lim itu sebenarnya membawa kepada perjuangan bahasa Cina sedangkan beliau adalah pemerintah Malaysia.

“Kalau dia bawa kepada komuniti Cina untuk menjaga Cina, maka dia membawa komuniti kecil sedangkan dia memegang tampuk pemerintahan yang besar, apa yang dipertahankan Lim itu bukan perjuangan negara tetapi perjuangan perkauman,” katanya.

Manakala Pengamal undang-undang yang juga aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Aidil Khalid, berkata pertubuhan Ummah tidak menolak keperluan untuk menguasai bahasa lain malah dbenarkan untuk belajar menguasai tetapi menegaskan urusan rasmi dalam perlembagaan telah memperuntukan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa rasmi. – HARAKAHDAILY 27/6/2018

- Advertisement -