Jangan perkecil bahasa dan warisan Melayu

- Advertisement -

KAMI ingin menegaskan bahawa bahasa dan warisan Melayu tidak boleh diremehkan atas nama Malaysia Baharu.

- Advertisement -

Pakatan Harapan menjanjikan bahawa Bahasa Kebangsaan akan didaulatkan sesuai dengan Perlembagaan Negara.

Kestabilan di negara ini adalah berdasarkan hubungan antara kaum yang sihat akan tetapi juga dengan menerima hakikat bahawa negara ini mempunyai warisan dan identiti bangsa Melayu yang menjadi teras kepada pembangunan negara ini.

Sebarang tindakan berganjak dari prinsip ini atas nama apapun pasti akan mencetuskan konflik dalam masyarakat.

Negara ini bertahan dengan semangat bahawa asas kerukunan hidup berbangsa di tanah air ini ialah menerima identiti kemelayuan Islam pada negara yang dibina selama ini.

Melayu dengan warisan bahasa dan budayanya yang menjadi tunjang kepada pembinaan negara bangsa di negara ini juga menerima kehadhiran kaum lain tanpa menafi hak mengamalkan bahasa, agama dan budaya masing-masing.

Ini disuratkan secara zahir dalam dokumen terpenting negara iaitu Perlembagaan Persekutuan yang disepakati bersama.

Antara teras perlembagaan negara adalah menjamin status bahasa, agama Islam dan keistimewaan bangsa Melayu.

Adakah status ini menafikan hak kaum lain? Selama lebih 60 tahun negara ini merdeka, kemajmukan negara ini tetap mekar dengan segala ruang yang diberi kepada kaum lain, dari ekonomi, pendidikan, bahasa hingga budaya. Lihatlah negara negara di sekitar rantau ini, adakah keterbukaan seperti ini dibenarkan?

Jadi apakah yang mengikat kebersamaan antara kaum di negara ini jika tidak dengan menghormati kontrak sosial yang disepakati untuk menerima watak kebangsaan Melayu dan keislaman di negara ini. Watak negara yang berteraskan Bahasa Melayu dan Islam sebagai sahsiah negara tidak boleh dimasalahkan atas nama kemajmukan dan internasionalisme atau multilingualisme.

Lebih dari itu Bahasa Melayu dinaungi di bawah Akta Bahasa Kebangsaan untuk memastikan agar seluruh rakyat di negara tidak memperlekehkan wajah asas negara Malaysia yang punya bahasa kebangsaan sendiri.

Jadi menjadi sangat tersasar jauh bila ada golongan yang menunjukkan riak dan petanda Malaysia Baharu menyelit hasrat untuk mengenepikan dan akhirnya menghakiskan sifat asas negara ini.

Tidak salah jika ada yang akan menanggapi bahawa ada agenda untuk secara beransur-ansur merubah Malaysia kepada senario negara jiran, dengan dua kes yang dizahirkan oleh dua menteri iaitu Menteri Multimedia yang memulakan kembali siaran berita Bahasa Mandarin dan Tamil di Bernama news Channel dan Menteri Kewangan yang mengeluarkan kenyataan rasmi dalam Bahasa Mandarin. Adakah tersirat agenda kaum Melayu dan status bahasa dan agama Islam akan cuba dipinggirkan?

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

- Advertisement -