ECRL: Banyak isu berbangkit

- Advertisement -

CADANGAN pembatalan projek ECRL telah disuarakan oleh Pakatan Harapan sejak bulan April 2018. Malah, Tun Mahathir sendiri pernah mempersoalkan kenapa projek ECRL tidak diberikan kepada kontraktor Cina di Malaysia berbanding mengambil syarikat pembinaan dari negara China? (Rujuk KiniTV bertarikh 6 April 2018). Salah seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Dr Jomo KS turut mempertikaikan projek ECRL yang dianggap tidak munasabah, tidak telus dan membebankan rakyat. Pemuda PAN dalam satu kenyataan bertarikh 29 Mei 2018 turut menggesa kerajaan membatalkan projek ECRL kerana kos yang terlalu tinggi dan melibatkan pinjaman yang besar dari bank China.

- Advertisement -

Khairi02Namun begitu, projek ECRL tidak pernah diberikan kata putus untuk dibatalkan atau ditangguhkan oleh kerajaan seperti projek HSR dan MRT3. Sebaliknya, dua hari yang lalu Menteri Kewangan telah membuat satu pengumuman yang mengejutkan bahawa projek ECRL akan diteruskan. Hal ini sudah pasti menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan. Tambahan pula, timbul satu lagi isu iaitu seorang taikun korporat yang rapat dengan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Vincent Tan telah membeli 22 juta (5.04%) saham T7 Global Berhad pada 15 hingga 17 Mei 2018. Beliau telah menjadi ‘substantial shareholder’ selepas Timbalan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Tan Kean Soon yang memiliki (11.3%).

T7 Global Berhad telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman pada 14 Mac 2018 dengan sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Terengganu Eastern Pacific Industrial Corp Bhd (EPIC) dan CMC Engineering Sdn Bhd untuk membentuk sebuah konsortium bagi menjalankan projek ECRL di kawasan Terengganu. Malah, dalam satu liputan media yang disiarkan oleh The Edge Markets bertarikh 12 Januari 2018, T7 Global melalui satu syarikat subsidiarinya iaitu T7 Kemuncak Sdn Bhd (51%) telah bekerjasama dengan sebuah syarikat subsidiari konglomerat China iaitu China State Construction Engineering Corp Ltd (49%) membentuk sebuah JV, T7CCTE untuk membida projek-projek landasan kereta api di Malaysia termasuk ECRL, MRT dan LRT.

Oleh kerana itu, keputusan kerajaan untuk meneruskan projek ECRL ini dilihat telah diberatkan (weigh up) oleh keberadaan Tan Sri Vincent Tan yang juga rakan baik Perdana Menteri selaku ‘substantial shareholders’ dalam T7 Global Berhad. Selain itu, terdapat tiga isu lain yang belum dijelaskan oleh kerajaan sebelum mengambil keputusan meneruskan projek ECRL ini.

Isu pertama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh kerajaan ialah mengkaji semula berapakah sebenarnya jumlah kos keseluruhan projek ECRL yang membabitkan kedua-dua fasa tersebut. Adakah ia munasabah sehingga mencecah RM66 bilion? Kedua, kerajaan juga perlu meneliti mengapa ‘mobilisation fee’ yang berjumlah 15% (RM9.9 bilion) daripada kos keseluruhan projek RM66 bilion telah dibayar kepada syarikat CCCC walhal ‘mobilisation fee’ yang normal adalah 5% sahaja. Ketiga, kerajaan mesti menyiasat satu dakwaan yang mengatakan bahawa sejumlah RM20 bilion (36%) juga telah dibayar kepada CCCC tetapi telah diselewengkan untuk membayar kepada 1MDB menerusi syarikat yang dimiliki oleh Jho Low. Tiga isu ini juga perlu dijelaskan kepada rakyat secepat mungkin.

Pemuda PAS Malaysia melihat isu projek ECRL ini telah dipolitikkan. PAS konsisten sejak tahun 2017 menolak cadangan Tun Mahathir untuk membatalkan projek tersebut kerana ia dilihat mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi di jajaran ECRL di samping mengukuhkan ekonomi rakyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

IR. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
11 Syawwal 1439 | 25 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 25/6/2018

- Advertisement -