Meninjau Pilihan raya Umum Turki 2018

- Advertisement -

HARI ini Ahad 24hb Jun 2018, Turki menyaksikan pilihanraya serentak bagi memilih ahli parlimen dan memilih Presiden Turki. Penyandang Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan membuat keputusan untuk diadakan pilihan raya umum 17 bulan lebih awal daripada sepatutnya bagi mendapat mandat baru yang lebih kuat untuk beliau.

- Advertisement -

Pilihan raya Turki disertai lapan buah parti yang didominasi oleh dua gabungan. Gabungan pertama iaitu Pakatan Rakyat yang dibentuk oleh AK Party pimpinan Erdogan yang menjadi kerajaan sementara dan Parti Gerakan Nasionalis (MHP).

Gabungan kedua iaitu Pakatan Ummah yang menggabungkan sebahagian parti pembangkang disertai oleh Parti Rakyat Republik (CHP), Parti Baik dan Parti Saadat. Pakatan ini disokong secara tidak rasmi oleh Parti Demokratik Rakyat (HDP), yang juga mengemukakan calon-calon dalam senarai gabungan pertama dan kedua.

Tiga lagi parti berada di luar Pakatan Rakyat dan Pakatan Ummah iaitu Parti Demokratik Rakyat (HDP), pimpinan kaum Kurdis, Parti Watan dan Parti Dakwah Bebas.

Kerjasama politik antara Saadat Party sebagai parti Islam dengan parti-parti lain dalam Pakatan Ummah adalah pakatan yang longgar tanpa melibatkan sebarang rundingan terhadap dasar dan kempen parti masing-masing. Ia lebih berupa persefahaman dan kerjasama strategik bagi mendapatkan jumlah besar nisbah peratusan “undi berkelompok” sebagai sebuah pakatan bagi memanfaatkan peruntukan peraturan pilihan raya Turki. Undi berkelompok yang melebihi nisbah tertentu membolehkan mereka mendapat sejumlah bilangan kerusi parlimen. Oleh kerana itu, setiap parti dalam Pakatan Ummah tetap mengemukakan calon parlimen masing-masing di semua daerah pilihan raya yang akan bertanding satu sama lain merebut undi dari rakyat.

Enam calon bertanding merebut kerusi Presiden Turki iaitu Erdogan mewakili AK Party dan juga Pakatan Rakyat, Temil Karamollaoglu mewakili Saadat Party, Muharrem Ince dari Parti Rakyat Republik (CHP), Meral Aksener dari Parti Baik (IYI), Selahattin Demirtas, calon Parti Demokratik Rakyat (HDP) dan Dogu Perincek dari Parti Patriotik (Watan)

Strategi Pakatan Ummah sebagai pembangkang dalam menampilkan ramai calon Presiden ialah bagi menjamin sokongan penyokong tegar masing-masing yang mempunyai latar belakang pemikiran berbeza dan saling bertentangan. Ia bakal mengurangkan sokongan terhadap Erdogan untuk pemilihan pusingan pertama. Pakatan pembangkang kemungkinan bersatu pula untuk pemilihan Presiden untuk pusingan kedua bagi memilih salah seorang daripada 2 calon Presiden.

Saadat Party pula sekiranya tidak memenangi pusingan pertama pemilihan Presiden berkemungkinan boleh memberikan sokongan kepada Erdogan yang lebih Islamis sekiranya ditakdirkan Erdogan kekal menang untuk pusingan kedua dengan meletakkan syarat-syarat yang berasaskan prinsip dan dasar yang selaras dengan Islam dan menguntungkan rakyat.

Kempen Erdogan lebih tertumpu pada beberapa rekod kejayaan selama tempoh 16 tahun berkuasa sejak 2002 yang memerlukan kesinambungan. Juga penekanan perlunya seorang pemimpin yang kuat bagi menghadapi keadaan sukar yang sedang dihadapi oleh Turki.

Erdogan mempunyai keyakinan penuh bahawa sokongan terhadap beliau dan AK Party semakin meningkat berasaskan beberapa kajian tinjauan pendapat yang dilakukan oleh beberapa pihak yang profesional.

AK Party pula menggabungkan pelbagai kecenderongan pemikiran antara Islamis, Liberalis dan Sekuler. Beliau mendapat sokongan daripada sebahagian Islamis yang melihat keterbukaan pada bebeberapa dasar liberal ekonomi, dasar luar melibatkan hubungan strategik dengan Israel dan dasar keterbukaan terhadap Eropah yang memaksa gaya hidup sosial yang bebas tanpa ikatan hukum agama boleh menjadi jalan untuk berada di kemuncak kuasa.

Pembangkang pula khususnya Saadat Party membawa moto “Berubah”

Saadat Party menentang keras pindaan perlembagaan pada April 2017 yang memberikan kuasa besar yang berpusat kepada Presiden sebagai ketua eksekutif kerajaan menggantikan peranan Perdana Menteri, sekali gus mengancam dan menidakkan sistem demokrasi pemisahan kuasa antara 3 cabang pemerintahan iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman. Ia boleh menjadi ancaman pada masa akan datang sekiranya ditakdirkan Presiden Turki bukan dari kelompok yang mesra Islam. Ia juga mendedahkan Presiden kepada salah guna kuasa dan memerintah secara autokrasi dan menjadi kuku besi apabila segala kuasa berpusat pada institusi Presiden.

Dalam masa yang sama Saadat Party juga mengkritik beberapa kegagalan pengurusan ekonomi Erdogan termasuk pertambahan hutang negara, kejatuhan mata wang Liera, isu pengangguran yang semakin meningkat, pergantungan kepada import bahan makanan asas, kenaikan harga barangan keperluan, polisi luar negara melibatkan cara menyelesaikan pergolakan Syria dan pengurusan pelarian Syria dan dasar luar mesra Israel sebagai rakan strategik. Begitu juga dasar liberal yang mendedahkan Turki pada peningkatan gaya hidup bebas, peningkatan pelacuran dan lain-lain.

Konsep kerjasama politik matang yang boleh bekerjasama dengan kerajaan AK Party sebelum ini dalam perkara yang baik dan mengkritik dasar yang salah tetap menjadi budaya berpolitik Saadat Party. Saadat Party menjadi barisan hadapan mempertahankan kerajaan AK Party daripada ancaman kudeta yang didokong oleh tentera. Namun, pilihan raya pula menjadi medan untuk masing-masing parti mengemukakan manifesto untuk pilihan rakyat.

Seluruh dunia teruja melihat keputusan PRU Turki petang ini.

Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ankara, Turki, Ahad 24hb Jun 2018 – HARAKAHDAILY 24/6/2018

klp

- Advertisement -