Hutang dan boros sambut Aidilfitri

- Advertisement -

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut, bimbang dan kecewa dengan berita bahawa ramai umat Islam yang sekali lagi mengambil jalan dengan meminjam wang untuk memuaskan “kemahuan” materialistik yang dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri.

- Advertisement -

CAP berulang kali menasihatkan agar tidak bersikap boros dan berbelanja dengan berlebihan ketika bulan Ramadan dan Syawal apabila kita menyambut hari raya Aidilfitri. Mengelakkan daripada berhutang dengan tidak menurut hawa nafsu untuk menunjuk-nunjuk dengan pakaian terbaharu, peranti tercanggih dan sebagainya.

Timbalan Presiden Persatuan Pemberi Pinjam Wang Berlesen Punjabi Malaysia, Amrinderjit Singh menyatakan pada minggu lepas bahawa lebih daripada 7,500 pinjaman diberikan kepada kira-kira 1,500 peminjam wang daripada persatuan. Beliau mendakwa jumlah pinjaman terkumpul ialah RM37.5 juta dan setiap pinjaman minimum RM5,000 dan banyak daripadanya lebih daripada itu.

Pengalaman ketika bulan Ramadan seharusnya antara lain mengajar kita untuk hidup sederhana. Hidup sederhana ialah mampu untuk membezakan antara “kemahuan” dan “keperluan” dan berdisiplin dalam berbelanja mengikut keupayaan kewangan kita.

Tidak diragui bahawa sunnah untuk kita berpakaian cantik dan menikmati hari raya tetapi ia tidak bermakna kita perlu berlebih-lebihan; sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Al-An’aam, ayat 141 (bermaksud) “…dan janganlah berlebih-lebihan. Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”

Kini perayaan sudah berakhir dan sikap boros itu menyebabkan kita hanya tertanya-tanya bagaimana umat Islam yang meminjam daripada pemberi pinjaman ini akan menyelesaikan pinjaman hari raya dan keluar daripada beban hutang.

Kami menggesa agar orang ramai mengamalkan sikap jimat cermat, bukan hanya pada musim perayaan khususnya sambutan Aidilfitri tetapi pada waktu perayaan lain juga seperti perkahwinan, hari lahir dan sebagainya. Jangan tunggu sehingga anda dibelenggu oleh hutang.

SM MOHAMED IDRIS
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

- Advertisement -