Cara apa Islam itu?

- Advertisement -

SAYA membaca satu posting tulisnya “Selagi pembawaan Islam itu cara PAS, Islam itu tidak akan menang selamanya, jangan mimpilah”.

- Advertisement -

Namun ini bukannya telahan pertama yang dibaca tetapi ianya adalah untuk kesekian kalinya oleh pembenci-pembenci PAS.

Dia kata cara PAS akan menyebabkan Islam tak menang sampai bila-bila. Dia tak beritahu pula Islam cara mana yang boleh Islam cepat menang, Islam cara BN ke atau Islam cara PH?

Kalau dikatakan Islam itu tidak menang kerana cara PAS, apakah Islam itu boleh menang dengan sebab cara PH atau cara BN, sekarang PH menang tak ada pula pimpinan PH isytiharkan bahawa Islam telah menang dan golongan Kafir telah kalah.

Bila Islam kalah saja dikatakan hanya silap PAS sahaja? Apakah parti lain tidak dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk membawa Islam? Atau memang parti lain tak nak bawa Islam atau langsung tak berniat nak bawa Islam.

Bila PAS kalah dikatakan Islam itu kalah, ini maknanya kalau PAS menang ertinya Islam menang, ini juga membawa makna hanya PAS yang berjuang Islam kerana parti lain langsung tidak dikait dengan menang atau kalahnya Islam.

Islam itu matlamat, untuk mencapai matlamat itu ada caranya, caranya telah ditentukan Allah S.W.T, bukan ikut cara sendiri. bukan matlamat itu menghalalkan cara, kalau ikut cara sendiri maka itulah yang dikatakan “matlamat menghalalkan cara”.

Nak menang banyak caranya, Trumph menang dengan caranya, Ikhwanul Muslimin menang dengan caranya lalu dijatuhkan pula al-Sisi dengan caranya, bahkan dalam sejarah dunia, Sosialis, Komunis pun pernah menang dan memerintah, mereka menang dengan cara mereka.

Ada parti menang dengan cara jahat, ada dengan sogokan rasuah, ada juga dengan fitnah dan taburkan persepsi buruk pada lawannya.

Kalau yang jahat dapat kuasai pengundi, maka biasanya yang jahat itu menang, begitu juga sebaliknya, namun kita tak boleh katakan bahawa yang jahat itu adalah baik dengan sebab dia menang dan yang baik itu adalah jahat dengan sebab dia kalah.

Baik atau buruk kita kena melihat caranya. Islam itu ad-Din atau ‘cara hidup’, tidak kira apa juga ruang dan urusan kehidupan kita termasuk politik. Politik Islam ada caranya, maka cara itu yang diikuti PAS, kerana PAS yakin cara Islam adalah terbaik.

Kalau dikatakan cara itu PAS lambat menang, PAS akan sabar menunggunya kerana PAS yakin bahawa hanya cara itu sahajalah Malaysia dapat ditadbir oleh peraturan Islam, PAS tetap dengan caranya yang diatur oleh dasarnya iaitu al-Quran, Hadis, Ijma dan Qias.

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang – HARAKAHDAILY 18/6/2018

- Advertisement -