Pasaran terjejas teruk jika kerajaan tidak hati-hati

image

LAPORAN terbaharu daripada Moody’s Investors Service berkenaan kesan polisi-polisi baru kerajaan terhadap profil penarafan ekonomi Malaysia, menyatakan bahawa peralihan kuasa yang sedang berlaku kini telah menyebabkan ketidaktentuan polisi.

Advertisement

Pandangan daripada hasil analisa Moody’s tersebut amat analitikal dan kritikal dan mampu menyebabkan penarafan negatif terhadap pasaran dan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya. Penarafan negatif akan menyebabkan beberapa kesan negatif dalam tempoh jangka masa pendek dan panjang.

Penarafan negatif akan menjejaskan keyakinan pelabur asing kepada pasaran modal Malaysia dengan substantif. Ini telah terbukti dengan penarikan keluar modal oleh pelabur asing daripada pasaran Bursa Malaysia secara konsisten sejak mula terbentuknya kerajaan baru Malaysia. Data terkini daripada MIDF Amanah Investment Bank Berhad menunjukkan jumlah terkini yang telah ditarik keluar oleh pelabur asing adalah RM3.02 billion.

Komposisi pelabur asing, walaupun bukan yang terbesar dalam jumlah pelaburan pasaran Malaysia, namun ianya adalah amat signifikan. Mengikut laporan Bursa Malaysia 2017, jumlah dana yang disumbangkan oleh pelaburan asing mewakili 22% daripada saiz dana di Bursa Malaysia. Ini adalah angka yang amat besar dan menyediakan sumber kecairan yang penting dalam pembiayaan kepada aktiviti ekonomi Malaysia.

Dengan penarikan keluar tersebut maka jumlah kecairan dalam pasaran Malaysia akan susut dengan teruk yang seterusnya akan membantutkan perkembangan dan pembangunan sektor korporat Malaysia. Lebih daripada itu aliran keluar modal juga akan menjejaskan pasaran saham tempatan dalam sentimen yang amat negatif.

Dalam tempoh jangka panjang, penarafan negatif juga akan menyebabkan profil risiko Malaysia juga akan merosot dengan teruk. Ini secara langsung akan mempengaruhi kadar faedah yang akan digunakan oleh pasaran Malaysia. Kadar faedah akan meningkat selaras dengan dengan kemerosotan profil risiko Malaysia. Kesan daripada itu kos untuk pembiayaan aktiviti ekonomi di Malaysia akan bertambah mahal yang akan merencat perkembangan korporat, penawaran pekerjaan dan seterusnya permintaan domestik.

Justeru, Kerajaan disarankan lebih berhati-hati dalam menguruskan perubahan polisi-polisi kini dan mengambil kira sensitiviti pasaran bagi menjaga kepentingan pasaran dan rakyat. Dalam apa saja tindakan, kepentingan rakyat haruslah menjadi keutamaan dan bukan hanya untuk mendapat publisiti sementara.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat
03 Syawal 1439H / 17 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 17/6/2018