Memberkahi masa dengan beramal

- Advertisement -

ESOK sudah hari terakhir Ramadan. Sepanjang usia saya 44 tahun, inilah Ramadan yang paling pantas dirasakan berlalu.

- Advertisement -

Hanya sekali sempat buka puasa dengan anak-anak. Dua kali sempat buka puasa dengan orang tua. Terlalu banyak yang nak dilakukan dalam masa sebulan. Tarikh 9 Mei adalah titik tolak kehidupan berubah 480 darjah. Saya redha dan insan-insan sekeliling yang saya sayangi akur dan menyokong. Kita bukan lagi bermimpi tapi ia realiti yang perlu dihadapi dengan senyum dan tabah.

Semenjak dari tarikh pembubaran Parlimen, saya belum ada istilah rehat. Tidur paling awal sekitar jam 2 pagi. Itu pun bukanlah lena. Bila terjaga saya belek skrin telefon kalau-kalau ada mesej atau sesuatu hajat dari rakyat. Telefon saya on 24 jam sehari. Pukul 5 pagi bermulalah rutin hidup harian sehingga waktu awal pagi semula. Tapi saya puas. Puas bila berjaya menghadirkan senyuman di wajah insan lain.

Tempoh 5 tahun bukanlah lama. Kerana itu saya berlari mengejar masa. Kita berharap untuk menghadirkan impak maksima dalam ruang lingkup tanggungjawab yang diberi. Banyak perkara yang nak dibuat untuk rakyat dan negeri tercinta kerana Allah.

Banyak perkara yang perlu diperbaiki. Banyak projek perlu disusun dan dinilai semula keperluan serta keutamaannya. Di samping kita perlu membuat perancangan baru. Dalam masa yang sama, jangan leka dengan dinginnya aircond di Pejabat Exco kerana di Jabi ramai rakyat yang perlu disantuni. Undi merekalah yang mengangkat saya ke sini. Merekalah yang berjaga malam dan berkorban segalanya. Kerana itulah saya berulang-alik setiap hari Jabi – Kuala Terengganu.

Kawan-kawan Exco lain tanya, sebab apa tak sewa rumah di Kuala Terengganu. “Syeikh… Enta tak apalah menang ribu-ribu. Ana menang 55 undi saja. Kena balik Jabi setiap hari.” Jawab saya sambil bergurau tapi itu fakta. Kita sedar diri di mana kedudukan kita.

Semoga semua yang dilalui sepanjang Ramadan ini dicatat sebagai catatan amal soleh di sisi-Nya.

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 13/6/2018

- Advertisement -