Andalus: Islamkan Eropah dan modenkan dunia

- Advertisement -

KEMASUKAN Islam ke Afrika (Mesir) pada tahun 21H (644M) telah membuka kepada penguasaan Islam ke atas bangsa Amazig atau Barbar, sehingga akhirnya seluruh Utara Afrika sampai ke Maghribi jatuh ke tangan Islam pada 86H (705M). Perluasan Islam di Utara Afrika ini digerakkan oleh Musa bin Nushair bin Abdul Rahman, Panglima Daulah Umayyah. Walau bagaimanapun, menjelang tahun 90H, dua pelabuhan penting, Cueta (Sabath) dan Tangier (Tanjah) masih dikuasai oleh kuasa politik Kristian dari Eropah. Setelah menguasai Tanjah, Musa bin Nushair telah melantik Panglima berbangsa Barbar, Thariq bin Ziyad sebagai Gabenor Tanjah.

- Advertisement -

Panglima Musa bin Nushair sebenarnya berkeyakinan bahawa “Constantinople hanya dapat ditakluki dari arah laut, dengan menakluki Andalusia” seperti mana yang ditegaskan oleh Khalifah Othman bin Affan sebelumnya. Bagi mencapai maksud ini, Musa bin Nushair telah membangunkan beberapa pelabuhan dan membina armada laut Islam, memperkukuhkan kefahaman Islam kepada suku Barbar yang menjadi tenteranya, melantik Thariq bin Ziyad sebagai Panglima Islam dan menakluk Pulau Balyar untuk mengelakkan serangan Kristian dari belakang. Dengan empat persiapan utama ini, pasukan tentera Islam mempunyai kedudukan terkuat untuk mara ke Andalusia, tinggal lagi pelabuhan utama, Sabath masih dikuasai Raja Roderic dari Andalusia.

Penguasaan Sabath dengan kerjasama Gabenor Kristian

Pelabuhan Sabath yang menjadi laluan untuk melintasi Selat sempit antara Afrika dan Eropah (kini dikenali sebagai Selat Gibraltar) pada saat ini sedang menghadapi konflik kerana Gabenornya, Julian sedang bermasalah dengan Raja Roderic yang telah membunuh Witiza, sahabat rapat Julian dan merogol puteri Julian. Di atas konflik ini, Julian mula cenderung membuka jalan kepada Islam sebagai balas dendam terhadap Rodheric. Beliau mendorong Gabenor Tanjah, Thariq bin Ziyad untuk menakluk Andalusia. Julian mengemukakan beberapa tawaran kepada pasukan Islam.

Tawaran yang dikemukakan ialah untuk menyerahkan Sabath kepada Islam tanpa peperangan dan sanggup membantu memberikan informasi tentang Andalusia kepada tentera Islam. Sebagai balasannya, Islam hendaklah mengembalikan semula 3,000 properti milik Witiza yang dirampas secara zalim oleh Rodheric. Thariq bin Ziyad telah memaklumkan hal ini kepada Musa bin Nushair di Qairuwan, sebelum mereka memperoleh izin khalifah, al-Walid bin Abdul Malik di Damsyik. Dengan kebenaran Khalifah, mereka menyusun persiapan untuk membuka Andalusia.

Operasi menakluk Andalusia: Eropah dibuka oleh Islam 

Gerakan penaklukan Andalusia telah dimulakan pada Ramadan 91H, di mana satu pasukan kecil inteligen seramai 500 tentera diketuai oleh Tharif bin Malik telah mendarat di Andalusia dan menguasai sebuah pulau yang dinamakan sebagai Pulau Tharif. Beliau kemudiannya membuat laporan kepada Musa bin Nushair tentang keadaan Andalusia, sebelum satu persiapan seramai 7,000 tentera selama setahun dibuat untuk menyerang Andalusia. Pasukan yang dipimpin oleh Thariq bin Ziyad ini bergerak ke Andalusia pada bulan Syaaban 92H menggunakan perahu-perahu dan mendarat di kawasan gunung di seberang Andalusia yang kemudiannya dinamakan sebagai Jabal Tariq (Gibraltar). Musa bin Nushair kemudiannya mengirimkan lagi 5,000 tentera untuk membantu Thariq sehingga jumlah mereka menjadi 12,000 orang.

Setelah menyeberang ke Andalusia, mereka berhadapan dengan pasukan Kristian di Jaziah al-Khadra’ yang dipimpin oleh Tedmore. Tedmore kemudiannya meminta bantuan kepada Roderic di Toledo, Ibu Kota Andalusia ketika itu. Roderic mengirimkan tentera yang diketuai oleh Vinceu untuk membantu Tedmore, tetapi dalam setiap pertempuran, kedua-dua pasukan Kristian sering tewas. Roderic kemudiannya mengetuai 100,000 tentera berkuda untuk menghadapi 12,000 tentera Islam. Kedua-dua pasukan bergerak ke Lakka (Lacca) dan bertembung di Lembah Barbate (Rio Barbate). Pertempuran pun tercetus pada 28 Ramadan 92H. Perang ini berlangsung seminggu hingga 5 Syawal 9H, di mana akhirnya Rodheric berjaya dibunuh, pasukan Kristian ditewaskan serta 3,000 tentera Islam telah syahid. Sejak itu, Andalusia telah berjaya dibuka oleh Islam.

Dengan kemenangan ini, tentera Islam dapat memasuki Kota Toledo, Castille, Leon dan berhenti di Bascunia di tepi Lautan Atlantik. Pada akhir pembukaan ini, hampir seluruh kawasan Portugal dan Sepanyol hari ini dikuasai oleh Islam dalam masa dua tahun. Kemudian Islam memajukan tamadun ilmu di Andalusia, terutama di Cardova sehingga mengubah keseluruhan Eropah untuk melepaskan diri dari Zaman Gelap, mencapai kemajuan Sains dan Teknologi serta bertukar menjadi sebuah benua yang moden hari ini.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
28 Ramadan 1438 / 13 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 13/6/2018

- Advertisement -