Siasat atau runding semula kontrak runding terus

- Advertisement -

TERDAPAT berbagai perkhabaran dari punca-punca yang boleh dipercayai mengenai begitu banyak kontrak-kontrak yang telah diberikan kepada kroni-kroni oleh kerajaan dahulu dengan harga-harga yang tidak masuk akal. Ini termasuk pembinaan jalan-jalan tol yang diswastakan sejak kebelakangan ini.

- Advertisement -

Misalannya jika kita kaji kontrak-kontrak untuk pembinaan jalan raya kita dapati harga pembinaan untuk 1 kilometer jalan telah pun melambung begitu tinggi dalam masa yang paling singkat. Semua kontrak-kontrak ini diberikan kepada kroni-kroni yang kebanyakkannya nama besar dan di peringkat atasan.

Apa yang telah diketahui dan dibongkar oleh Kementerian Kewangan dan Council Eminent Persons adalah terlalu sedikit berbanding dengan jumlah kesalahan-kesalahan yang telah berlaku. Saya penuh yakin apabila semua kontrak-kontrak runding terus ini telah disiasat atau dirunding semula maka jumlah kewangan yang akan diselamatkan sudah tentu akan dapat banyak membantu mengurangkan hutang negara.

Begitu juga terdapat berbagai pembinaan jalan-jalan tol sejak akhir-akhir ini yang juga ditawarkan kepada kelompok-kelompok yang sama dengan harga-harga yang tidak masuk akal. Jelaslah terdapat terlalu banyak yang dicuri dari projek-projek ini.

Memang telah menjadi suatu amalan, apabila kontrak-kontrak runding terus ini telah ditawarkan maka akan timbul pula tuntutan tambahan yang berbagai-bagai menerusi ‘”Variation Orders” yang akan disokong dan diluluskan oleh ahli-ahli geng yang sama di berbagai peringkat. Perkara seperti ini telah mula menjadi suatu budaya dan telah merebak di seluruh peringkat jentera kerajaan. Oleh itu pihak kerajaan haruslah bertindak tegas, berani dan segera untuk menyelamatkan rakyat dari kerugian dan tragedi yang begitu besar terus menerus melanda negara.

Untuk menyelamatkan masa dan bertindak segera saya cadangkan pihak kerajaan menubuhkan beberapa Jawatankuasa Pakar dalam bidang-bidang tertentu untuk mengkaji semula kontrak-kontrak ini yang telah ditawarkan oleh berbagai Kementerian dan Jabatan khususnya Kementerian Kewangan dan juga Kerajaan-kerajaan Negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Seluruh negara begitu berdukacita dan runsing mengenai hutang negara yang begitu besar dan yang telah disembunyikan dari rakyat dengan begitu bijak selama ini. Walaupun orang-orang yang bertanggungjawab dan salah ini akan dibawa ke muka pengadilan, ini tidak akan dikecualikan rakyat dari terus menanggung beban hutang tersebut yang begitu perit.

(TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA ABDUL KADIR HJ SHEIKH FADZIR)

TARIKH: 7 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 12/6/2018

- Advertisement -