Kisah pengIslaman Bangsa Monggol (Tatar)

- Advertisement -

“BANGSA yang menjajah biasanya akan menghapuskan dan menyebar doktrin perjuangan mereka. Ia berbeza dengan Bangsa Tatar yang menjajah dan menjarah bumi umat Islam apabila generasi terkemudian memeluk Islam.”

- Advertisement -

Ini antara mafhum yang disebutkan oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS berkaitan perihal Bangsa Monggol semasa zaman Kerajaan Bani Abbasiah. Sejarah hitam umat Islam yang sepatutnya menjadi pedoman buat kita. Tamadun umat Islam yang bertahan lebih 600 tahun jatuh di tangan bangsa terbodoh di dunia dari aspek ketamadunan dan keilmuan, namun gagah perkasa dalam bidang ketenteraan dan peperangan.

Akan tetapi janji Allah bahawa kemenangan akhirnya berpihak pada umat Islam. Dalam Peristiwa Perang Ain Jalut pada tanggal 25 Ramadan 656H, di tangan Panglima yang gagah, Saifuddin Qutuz al-Khawarizmi, maruah umat Islam berjaya ditebus selepas 40 tahun ( 617H – 656H ) Bangsa Monggol menjarah hampir keseluruhan wilayah taklukan Kerajaan Bani Abbasiah kecuali Mesir dan Hijjaz.

Monggol ataupun lebih dikenali Tatar memulakan misi menjarah bumi umat Islam pada tanggal 617H dikepalai oleh Temujin ( Genghis Khan ) seterusnya Kiyuk bin Ughitai, kemudian Mankhu Khan dan diakhiri oleh cucunya Hulaghu Khan. Di tangan 4 Jeneral ini berkuburnya Abbasiah dan Sultan terakhir Abbasiah al-Musta`sim mangkat di tangan Hulagu Khan.

Sejarah merakamkan detik kehancuran Abbasiah penuh tragik, sadis dan menyayat hati. Bahkan jika diamati sebaiknya, akan timbul rasa kepelikan dan kejanggalan mengapa umat Islam begitu hina? Walhal perpustakaan di Kota Baghdad merupakan perpustakaan yang amat besar menjadi simbol intelektual dan tingginya keilmuan pada zaman itu. Sejarah juga merakamkan pada tahun 636H, 20 tahun sebelum Kota Baghdad ranap, khazanah kitab umat Islam di Cordova (Sepanyol) juga ranap!

Ibnu Athir ketika mengulas kisah ini dengan panjang lebar menyebutkan:

“Aku termenung beberapa tahun untuk menulis kisah ini kerana bencinya aku untuk menceritakan aib dan keburukan umat Islam yang dahsyat! Siapakah yang begitu mudah baginya untuk menulis aib umat Islam? Siapakah insan yang hina sangat begitu?”

Tambah beliau lagi:

“Kalau ada yang mengatakan sejak daripada Adam diciptakan hinggalah ke waktu ini, umat Islam tidak pernah diuji sebegini rupa nyata ianya benar”

Boleh dikatakan tidak ada dalam sejarah umat Islam diperlakukan semacam ini atau yang hampir serupa dengannya.

Mana mungkin bangsa yang sekejam ini perlakuannya, tiba-tiba berubah 360 darjah memeluk agama wilayah yang dijajah!

Monggol memeluk Islam

يرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ “

( الصف: ٨)

“Mereka berkehendak memadam cahaya Allah dengan lidah-lidah mereka, tetapi Allah menyempurnakan cahaya-Nya sekalipun dibenci oleh orang kafir.”

(as-Saff : 08)

Hidayah itu milik Allah sepenuhnya. Masuknya Bangsa Monggol ke dalam Islam merupakan bukti bahawa Islam bukan agama pendendam terhadap musuhnya. Walaupun parut masih kekal di jiwa-jiwa umat Islam, ia mengingatkan kita tentang peristiwa Islamnya Abu Sufian bin Harb dan Hindun bintu Utbah, Islamnya Khalid al-Walid, dan juga Islamnya beberapa lagi tokoh tegar penentang Islam semasa jahiliah, namun pengIslaman mereka melenyapkan terus noda dan dosa mereka! Tiada lagi ungkitan dan memendam rasa dalam jiwa para Sahabat, kesemuanya diterima sepenuh hati:

“Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara“

Menurut Dr Raghib As Sarjani, Bangsa Monggol mula masuk Islam selepas 35 tahun mereka ditimpa kekalahan selepas Ain Jalut. Orang Monggol yang mula-mula masuk Islam ialah Barakah Khan (1256H-1267H) dari Wilayah Rusia. Selepas kekalahan Monggol di tangan Saifuddin Qutuz, Monggol terpecah kepada 4 kelompok.

Barakah Khan menerima pencerahan daripada Najmuddin Muhktar az-Zahidi yang menjelaskan perbezaan antara Islam dan Kristian secara tuntas melalui surat yang dikirimkannya. Diceritakan bahawa punca pengIslaman Barakah Khan apabila beliau secara kebetulan bertemu dengan pedagang yang datang dari Wilayah Bukhara lantas beliau bertanya perihal Islam kepada dua orang daripada kalangan mereka lalu masuk Islam.

Usai masuk Islam, beliau mula merapati Islam sepenuhnya dan memeterai perjanjian bersama Sultan Zahir Bybrus (1260M-1277M) Raja Kerajaan Mamalik di Mesir. Hasil perjanjian keduanya, Bybrus menghadiahkan buku-buku agama kepada Barakah Khan dan akhirnya kebanyakan pengikut Monggol mula menerima Islam sebagai agama mereka yang baru dan kanak-kanak mula didedahkan dengan al-Quran.

Menurut Dr Hj Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (Hamka), perkembangan selepas kekalahan Bangsa Tatar di tangan umat Islam, Monggol yang berbaki masih lagi berkuasa di beberapa wilayah antaranya Iran. Anak kepada Hulagu Khan, Abaqa Khan memerintah Iran. Beliau merapati Kerabat Byzantin dan mengahwini puteri Kaisar ketika itu. Pihak Byzantin juga menaruh harap supaya Abaqa Khan memeluk Kristian namun nyata hampa. Abaqa Khan kekal hingga akhir hayatnya dalam agama asalnya (Yasik)

Sesudah Abaqa Khan, diganti oleh Nikodar Khan yang memeluk Kristian sejak kecil. Seterusnya diperintah oleh Arghon Khan yang memeluk Islam. Namun Arghon Khan dilihat tidak telus dan ikhlas dalam keIslamannya kerana mengambil penasihatnya seorang Yahudi. Begitu juga dengan Ghazan Khan, memeluk Islam bersama 100,000 orang tenteranya. Namun mempunyai prinsip yang amat pelik dan asing. Beliau sering memusuhi Islam, bahkan amat tegar membela kumpulan Syiah Imamiah dan Kristian. – HARAKAHDAILY 12/6/2018

- Advertisement -