Geoeskatologi (26): India

- Advertisement -

INDIA merujuk sebuah negara yang berada di Asia Selatan (subcontinent). Negara tersebut memiliki kepadatan penduduk kedua tertinggi di dunia, dan keluasan tanah ketujuh terbesar di dunia. Berkongsi sempadan dengan Pakistan di sebelah Barat, China dan Nepal di sebelah Utara serta Bangladesh dan Bhutan di sebelah Timur.

- Advertisement -

India turut dikenali sebagai bangsa yang memiliki tamadun tinggi, bahkan antara kaum bertamadun terawal dunia, kira-kira Milenia ketiga sebelum Masihi. Orang Arab yang mengenali India sebagai Hind sangat teruja dengan ketamadunan dan budaya India sehingga menamakan diri dengan Hindi, Hindun dan sebagainya. Antara pengaruh Tamadun India terhadap peradaban manusia adalah sistem penomboran yang ada hari ini.

Pada Era Kolonialisasi, India termasuk di antara Wilayah Empayar British dan menjadi Pusat Kawalan British di Asia. Asalnya Wilayah India hingga ke sempadan Afghanistan dan Myanmar, tetapi perbalahan antara agama dan kaum menyebabkan British menganugerahkan kemerdekaan dengan memisahkan Pakistan daripada India. Pakistan pula asalnya dibahagikan kepada Timur dan Barat, namun berlaku konflik dalaman yang akhirnya membawa pembebasan Pakistan Timur daripada Barat lalu membentuk Negara Bangladesh tahun 1971.

Nabi S.A.W menyatakan tentang India:

عِصَابَتَانِ مِنْ أُمَّتِي أَحْرَزَهُمَا اللَّهُ مِنْ النَّارِ : عِصَابَةٌ تَغْزُو الْهِنْدَ ، وَعِصَابَةٌ تَكُونُ مَعَ عِيسَى بْنِ مَرْيَمَ عَلَيْهِمَا السَّلَام

“Dua pasukan daripada umatku yang akan dipelihara daripada api neraka: pasukan yang memerangi India dan pasukan yang bersama Isa bin Maryam A.S.”

[HR Nasaie]

Walaupun perang antara Islam dan India telah berlaku di zaman awal Khilafah Umawiyah, namun ramai ulamak berpandangan bahawa peristiwa peperangan Islam terhadap India sebagaimana yang dinyatakan oleh Hadis Nabi S.A.W hanya akan berlaku di akhir zaman, di masa dekatnya tempoh Nabi Isa A.S turun ke bumi. Perkara ini dikuatkan oleh pelbagai Hadis lain, antaranya sabda Rasulullah S.A.W:

لَيَغْزُوَنَّ الْهِنْدَ لَكُمْ جَيْشٌ ، يَفْتَحُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ حَتَّى يَأْتُوا بِمُلُوكِهِمْ مُغَلَّلِينَ بِالسَّلاسِلِ ، يَغْفِرُ اللَّهُ ذُنُوبَهُمْ ، فَيَنْصَرِفُونَ حِينَ يَنْصَرِفُونَ فَيَجِدُونَ ابْنَ مَرْيَمَ بِالشَّامِ

“India akan diperangi oleh satu pasukan tentera yang akan dibuka di tangannya negara tersebut. Sehingga mereka berjaya menangkap Raja-raja mereka dengan belenggu rantai. Allah mengampunkan dosa-dosa mereka. Selepas itu pasukan ini meninggalkan mereka, ketika meninggalkan itu, pasukan tersebut mendapat Nabi Isa bin Maryam sudah berada di Syam.”

[HR Ishak dan Nuaim]

India hari ini merupakan antara sekutu paling rapat US dan Israel. Menjadi negara dengan pembelian kelengkapan ketenteraan Israel terbesar di dunia. Israel juga merupakan pembekal pertahanan kedua terbesar kepada India. Dari sudut perdagangan, India adalah negara ke-10 terbesar bagi Israel. Yang paling penting, India telah membenarkan negaranya menjadi tempat ujian senjata Israel.

Pakistan pula antara negara umat Islam yang memiliki tenaga nuklear dengan kerjasama China dan Jepun selain US sendiri. Sebelum ini Pakistan menerima banyak bantuan dana daripada Amerika dan hubungan antara kedua negara ini baik sehingga zaman Presiden Barack Obama. Namun baru-baru ini hubungan antara kedua negara ini mula renggang selepas Donald Trump seolah-olah sengaja mencari salah Pakistan apabila negara tersebut menolak hasrat US melalui undian berkenaan status Baitulmaqdis di PBB. Kenyataan-kenyataan terbaru Presiden US dilihat sengaja menimbulkan ketegangan dalam hubungan antara dua negara ini sehingga ke tahap mempertikaikan kembali status nuklear negara berkenaan.

Perang Dunia Ketiga seringkali dikaitkan dengan perang nuklear. Hadis-hadis Nabi S.A.W turut menunjukkan perkara serupa tentang Malhamah Kubra. Antaranya apa yang diriwayatkan oleh Ibn Mas`ud:

لم ير مثلها، حتى إن الطائر ليمر بجنباتهم فما يخلفهم حتى يخر ميتاً

“Kamu tidak pernah melihat kedahsyatan perang sedemikian. Sehingga burung yang terbang melintasi medan perang tersebut akan jatuh mati.”

[HR Muslim]

Gambaran yang dinyatakan mengenai Malhamah sangat dahsyat. Seolah-olah kawasan perang tersebut tercemar sehingga menyebabkan burung yang sedang terbang boleh gugur mati. Pencemaran boleh berlaku akibat radiasi dari senjata nuklear. Akibat dari radiasi nuklear sangat dahsyat kepada organisme di muka bumi tidak kira manusia, binatang hatta tumbuhan sekalipun.

Radiasi nuklear turut dikaitkan oleh sebahagian ulamak sebagai ad-Dukhan (asap) yang disebutkan di dalam al-Quran dan juga Hadis Nabi S.A.W:

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: طُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، أَوِ الدُّخَانَ، أَوِ الدَّجَّالَ، أَوِ الدَّابَّةَ، أَوْ خَاصَّةَ أَحَدِكُمْ أَوْ أَمْرَ الْعَامَّةِ

“Bersegeralah kamu melakukan amal sebelum tiba enam perkara: Matahari muncul dari arah Timur, Dukhan, Dajjal, Dabbah, kematian setiap dari kamu, atau urusan awam yang disia-siakan.”

[HR Muslim]

Sebagai negara nuklear dan negara umat Islam, pastinya Pakistan akan turut diheret ke kancah konflik serantau. India dijangka akan memainkan peranan sebagai anjing US bagi mengekang kemaraan Pakistan. Sementelah perseteruan antara India-Pakistan sehingga kini masih tidak berakhir. Dalam perkembangan lain, US kini sedang mendekati Korea Utara selepas perbincangan damai nuklear bersama Iran menemui jalan buntu.

Sekiranya perang ini benar-benar meletus, maka Nabi S.A.W menggambarkan bahawa tentera Islam bakal memenanginya, dan pemerintah India akan ditangkap sebelum mereka bertaubat. Selepas itu, tentera tersebut akan menyertai pasukan al-Mahdi di Syam, dan mendapati bahawa Nabi Isa telahpun turun bagi menghadapi Dajjal.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Hadis Geo-Eskatologi; Lokasi dan Kronologi akhir zaman yang bakal diterbitkan.)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
27 Ramadan 1439
12 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 12/6/2018

 

- Advertisement -