Laksana pemisahan kuasa kerajaan dan parti

- Advertisement -

ARAHAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Salahuddin Ayub supaya kakitangan Kementerian itu tidak ikut serta dalam program politik beliau sekali gus tidak menggunakan aset milik kerajaan adalah langkah perlu yang mesti diikuti oleh seluruh Kementerian yang lain. Tindakan ini menjadi penanda aras bahawa pemimpin negara tahu pemisahan kuasa antara parti politik dengan kerajaan yang memerintah. Ia juga bagi memastikan amanah dan tanggungjawab sebagai kerajaan dipikul dengan betul dan tidak menyalahgunakan aset mahupun kakitangan kerajaan bagi kepentingan pemimpin dan parti politik.

- Advertisement -

Dalam hal ini, perlu difahami bahawa kerjaya sebagai Pegawai Kerajaan dan petugas parti adalah dua perkara yang berbeza sama sekali. Malah lantikan sebagai Pegawai Kerajaan dan pegawai politik juga mesti difahami skop dan peranannya agar tidak bertindih antara satu sama lain. Justeru, para pemimpin negara diharap tidak berdendam kepada mana-mana Pegawai Kerajaan yang tidak memihak kepadanya dan tidak memaksa mereka menyokong parti politik mereka. Jangan pula memaksa Pegawai Kerajaan yang menyokong pembangkang meletakkan jawatan, atau memindahkan mereka ke sektor lain. Kenyataannya sudah berlaku sekarang, apabila PM dan Menteri Kabinet lain memberi amaran kepada mana-mana Pegawai Kerajaan yang berkempen untuk BN dahulu agar memberikan kesetiaan pula kepada Kerajaan PH. Juga ada Pegawai Kanan Kerajaan yang dipindahkan agensi kerana dilihat membantu Kerajaan BN dahulu.

Kita melihat bagaimana layanan Pegawai Kerajaan di Era BN dahulu yang begitu teruk dengan pelbagai tugas diberikan di luar bidang kuasa mereka bagi melunaskan kehendak para Menteri Kabinet. Pegawai Kerajaan dipaksa turun dalam semua aktiviti bersifat politik termasuk kempen Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil. Ada pegawai yang diminta berceramah, berkempen, mengiringi Menteri, bahkan bermalam di kawasan Menteri. Ada kalanya, Menteri turut menggunakan aset kerajaan seperti kereta rasmi, elaun rasmi, jet milik kerajaan, tiket penerbangan, hotel, peruntukan demi peruntukan untuk program peribadinya. Lebih dikesali, apabila kemudahan kerajaan seperti pejabat, mesin fotostat, kertas-kertas, rumah-rumah rehat, bilik mesyuarat, serta kemudahan-kemudahan lain milik kerajaan digunakan untuk kepentingan parti politik.

Kesemua amalan ini mesti dihentikan serta merta. Mana-mana aktiviti parti politik perlu menggunakan saluran yang betul. Jika ia program parti, maka dana parti yang mesti digunakan walaupun parti politik tidak berduit dan tidak memiliki aset yang besar. Selain itu, kerajaan tidak lagi boleh dengan sewenang-wenangnya mengumumkan peruntukan kepada kawasan tertentu di musim Pilihan Raya Kecil mahupun Pilihan Raya Umum. Tidak ada lagi projek mee segera, bantuan kepada rakyat sewaktu kempen pilihan raya menggunakan dana kerajaan, merasmikan projek khas secara mengejut di kawasan tertentu dan fokus hanya di Parlimen sendiri lebih daripada Parlimen yang lain. Kerajaan mesti berfikir secara menyeluruh, bukan mengutamakan kawasan Menteri atau negeri yang dikuasai oleh PH sahaja tetapi meliputi seluruh negara.

Semua kenyataan dan ucapan para Menteri mesti dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Ia bukan dipandang pada sudut yang kecil tetapi pada semua sudut dan daripada perspektif yang menyeluruh. Kerajaan pasca PRU14 perlu melaksanakan ketelusan, integriti dan tanggungjawab kepada rakyat, dan bukan hanya sekadar retorik ucapan semata-mata. Kegagalan pemerintahan BN dahulu adalah pengajaran paling berharga buat kerajaan dan pemimpin bahawa amanah terhadap rakyat dan negara adalah persoalan besar yang dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T di akhirat kelak. 

(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat) – HARAKAHDAILY 11/6/2018

- Advertisement -