Geoeskatologi (25): Turk dan Bani Qanturah

- Advertisement -

MAJORITI ulamak Tafsir dan sejarawan bersetuju bahawa keturunan manusia hari ini semuanya berasal dari zuriat Nabi Nuh A.S. Selepas tragedi banjir besar yang menenggelamkan seluruh bumi, hanya keturunan Nabi Nuh A.S sahaja yang beranak-pinak selepas itu. Anak kapalnya yang lain tidak sedemikian.

- Advertisement -

Nabi Nuh A.S dikurniakan tiga orang anak iaitu Sam, Ham dan Yafith, tidak termasuk seorang yang ditenggelamkan Allah kerana tidak mahu ikut menaiki bahtera. Sam melahirkan bangsa sekitar Asia Barat seperti kaum Arab, Rom dan Parsi. Ham pula melahirkan bangsa kulit hitam. Manakala Yafith melahirkan bangsa Timur yang memiliki genetik kecil dan bulat.

Turk merupakan sebahagian daripada bangsa Timur keturunan Yafith. Ia tidak hanya merujuk kepada bangsa penghuni Turki semata-mata tetapi melewati seluruh Asia Tengah hingga ke perbatasan China dan pergunungan Caucasus. Kebanyakan Bangsa Turk telah berasimilasi dengan bangsa lain menyebabkan rupa mereka sudah banyak berbeza walaupun dari jalur darah yang sama.

Nabi S.A.W menyatakan tentang Turk:

لا تَقومُ السَّاعةُ حتَّى تُقاتِلوا التُّرْكَ ؛ صِغارَ الأعيُنِ، حُمْرَ الوُجوهِ، ذُلْفَ الأُنوفِ، كأنَّ وُجوهَهم الْمَجَانُّ المُطْرَقةُ، ولا تقومُ السَّاعةُ حتَّى تُقاتِلوا قومًا نِعالُهم الشَّعرُ.

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah kamu memerangi Bangsa Turk, bermuka bulat, berwajah merah, berhidung penyet, seolah-olah mukanya seperti perisai leper yang dibalut dengan kulit. Tidak akan berlaku kiamat sehingga kamu memerangi satu kaum yang memakai alas kaki daripada bulu.”

[HR Bukhari]

Peperangan Islam dengan keturunan Turk telah berlaku di zaman kejatuhan Abbasiyyah. Mereka telah diserang oleh bangsa Tatar dari Mongol. Hampir keseluruhan Wilayah Abbasiyah termasuk Pusat Pemerintahannya Baghdad dan tanah suci Islam Baitulmaqdis diserang tentera yang dipimpin Jenghis Khan itu. Mereka berjaya membentuk empayar baharu di bahagian Timur dunia. Namun selepas bergaul dengan Islam, bangsa ini akhirnya memeluk Islam.

Walau bagaimanapun, mengaitkan serangan Tatar dengan Hadis Nabi S.A.W adalah ijtihad dari ulamak. Boleh jadi keturunan Turk yang dimaksudkan itu termasuk juga bangsa lain yang akan dihadapi oleh umat Islam di akhir zaman. Dalam versi Hadis yang lain, Nabi S.A.W menyatakan yang akan menyerang Islam adalah keturunan Qanturah atau Qeturah. Sabda Rasulullah S.A.W:

ينزل ناس من أمتي بغائط يسمونه : البصرة ، عند نهر يقال له : دجلة ، يكون عليه جسر يكثر أهلها وتكون من أمصار المهاجرين – قال ابن يحيى : قال أبو معمر : وتكون من أمصار المسلمين – فإذا كان في آخر الزمان ، جاء بنو قنطوراء عراض الوجوه ، صغار الأعين ، حتى ينزلوا على شط النهر ، فيتفرق أهلها ثلاث فرق : فرقة يأخذون أذناب البقر والبرية وهلكوا ، وفرقة يأخذون لأنفسهم وكفروا ، وفرقة يجعلون ذراريهم خَلْفَ ظهورِهم ويُقاتِلونَهم وهم الشُّهداءُ
“Umatku akan sampai ke satu perbatasan yang dinamakan Basrah, di sisi sungai yang dinamakan Dajlah. Di sana terdapat jambatan yang ramai penduduknya. Di sana akan menjadi milik golongan Muhajirin. Apabila tiba akhir zaman, datanglah Bani Qanturah, bermuka bulat dan bermata sepet turun ke gigi sungai. Maka mereka berpecah kepada tiga; Satu pihak mengambil ekor lembu dan binatang melata, lalu binasa. Satu pihak mengambil untuk diri mereka lalu kufur. Satu pihak memikul zuriat mereka di belakang dan memerangi mereka, lalu mereka syahid”

[HR Abu Daud]

Mengikut catatan Ibn Athir, Nabi Ibrahim A.S daripada keturunan Sam pernah mengembara ke sebelah Timur Jauh (Far East) selepas meninggalkan Nabi Ismail dan Saidatina Hajar di Makkah. Di sana Baginda mengahwini seorang penduduk Timur bernama Qanturah atau Qeturah. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan enam orang anak. Qanturah dan anak-anak tidak ikut serta Nabi Ibrahim pulang ke Asia Barat sebaliknya terus menetap di Timur dan beranak pinak.

Tambah Ibn Athir, salah satu keturunan Qanturah adalah Bani Jawi, keturunan Melayu dan bangsa sekitar Nusantara Asia Tenggara atau Pentas Sunda. Mengikut Hadis tersebut, sekiranya tidak ada kaitan antara zuriat antara Bangsa Turk dengan Qanturah, maka mungkin akan tiba giliran berlakunya peristiwa sebagaimana diceritakan dalam Hadis di atas pada akhir zaman. Bani Qanturah ini akan pecah tiga; satu binasa, satu kufur dan satu lagi syahid.

Timur Jauh memiliki kepadatan Muslim kedua tertinggi selepas rantau Asia Barat. Geo-Politik Timur Jauh (Far East) yang merangkumi Asia Timur dan Asia Tenggara juga sangat dinamik. Ia tidak sama seperti Eropah yang kesemuanya berada di blok Barat. Di Asia Jauh, ada negara yang cenderung kepada Barat seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura. Ada negara yang berada di blok Timur seperti China, Korea Utara dan kini Filipina.

Malaysia sehingga kini mengamalkan dasar neutral antara dua blok. Walau bagaimanapun, peralihan kerajaan yang baharu memperlihatkan sebahagian besar dasar kerajaan lama telah berubah. Projek-projek mega yang ditandatangani antara Malaysia dan China juga sedang dikaji semula.

US sedang melebarkan pengaruhnya di Timur Jauh. Kerajaan baharu Malaysia mendapat sokongan jitu daripada Barat sehingga mempengaruhi keputusan pilihan raya. Kelihatan US kini sedang berunding dengan Korea Utara pula dalam isu nuklear, selepas perbincangan dengan Iran menemui jalan buntu. Secara kasar, Asia Jauh sedang dipecah-pecahkan menjadi semakin kompleks.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Hadis Geo-Eskatologi; Lokasi dan Kronologi akhir zaman yang bakal diterbitkan.)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
26 Ramadan 1439
11 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 11/6/2018

 

- Advertisement -