Menyingkap malapetaka umat: Kejatuhan Abbasiah

- Advertisement -

TUNTUTAN membaca sejarah

- Advertisement -

Antara kewajipan umat Islam hari ini ialah membaca sejarah. Sejarah umat terdahulu sama ada zaman kegemilangan mahupun zaman kejatuhan mempunyai pengajaran dan iktibar yang penting buat generasi terkemudian. Kegagalan kita menghayati sejarah lepas menjadi sebab kemunduran Islam pada hari ini. Mengapa Allah menyuruh kita membaca sejarah? Walhal kita diminta membuat persediaan untuk menghadapi hari kemudian? Ini kerana apa yang berlaku di dunia adalah peristiwa yang berulang-ulang, hanya berbeza masa, tempat, watak dan pelakunya sahaja. Allah Taala menyebutkan di beberapa tempat sebagai peringatan buat kita berkaitan sejarah:

ذَّٰلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا  فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

(الاعراف: ١٧٦)

“Demikianlah bandingan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”

(al-A’raf: 176)

إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهُ ۚ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَاءَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ

 (ال عمران: ١٤٠)

“Jika kamu mendapat luka maka sesungguhnya musuh juga mendapat luka. Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan kemenangan atau kekalahan) kami gilirkan antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah terhadap orang beriman supaya Allah menjadikan sebahagian daripada kalian mati syahid. Dan Allah tidak menyukai orang yang zalim”

(ali-Imran: 140)

Kesungguhan para Sahabat dan Tabi`in dalam mendidik anak mereka mengenai Sirah Nabi S.A.W sebagaimana ucapan seorang Tabi`in:

“Kami ajarkan kepada anak-anak kami Sirah peperangan Nabi S.A.W sebagaimana kami ajarkan mereka al-Quran”

Begitu juga kesungguhan para ulamak terkemudian yang merekodkan Sirah para Nabi dan sejarah umat Islam dengan tulisan yang amat banyak seumpama Ibnu Athir, Ibnu Hazmi dan lain-lain.

Kejatuhan Kerajaan Bani Abbasiah antara peristiwa hitam yang wajib diketahui oleh umat Islam. Ia merupakan sejarah yang tidak dapat dinafikan bahawa ia berlaku dan amat menyakitkan hati. Ibnu Athir ketika mengulas kisah ini dengan panjang lebar menyebutkan:

“Aku termenung beberapa tahun untuk menulis kisah ini kerana bencinya aku untuk menceritakan aib dan keburukan umat Islam yang dahsyat! Siapakah yang begitu mudah baginya untuk menulis aib umat Islam? Siapakah insan yang hina sangat begitu?”

Tambah beliau lagi:

“Kalau ada yang mengatakan sejak daripada Adam diciptakan hinggalah ke waktu ini, umat Islam tidak pernah diuji sebegini rupa nyata ianya benar”

Boleh dikatakan tidak ada dalam sejarah umat Islam diperlakukan semacam ini atau yang hampir serupa dengannya.

Pengasasan Kerajaan Abbas as-Safah

Bani Abbasiah memerintah selama lebih 500 tahun atau secara tepatnya selama 532 tahun (132H – 528H). Kerajaan Bani Abbasiah selepas persengketaan panjang dengan Bani Umayyah memangkinkan ke arah penubuhan Kerajaan Monarki kedua dalam Islam yang diasaskan oleh Abu Abbas as-Saffah (132 – 136H / 750 -754M). Naiknya Abu Abbas dengan misi menghapuskan saki baki Kerajaan Bani Umayyah yang pada ketika itu dipimpin oleh Khalifah Marwan II pada tahun 750M.

Dengan dibantu oleh golongan Syiah dan penduduk Khurasan, as-Saffah melancarkan pemberontakan hingga menubuhkan Dinasti baru di bumi Damsyik. Mengapa Abbas begitu memusuhi Umayyah? Ada yang menyebutkan ia merupakan refleksi daripada permusuhan tradisi antara Bani Hashim dan Bani Umayyah sejak Jahiliah lagi. Para Penyair dan Pegawai Istana pula sentiasa memarakkan lagi pertembungan perkauman ini dengan bahasa lunak mereka.

Ditambah pula dengan kekejaman dan penindasan berterusan oleh pemimpin Bani Umayyah terhadap golongan Bani Abbasiah menambah kesumat mereka. Menyebabkan, apabila Abu Abbas as-Saffah menaiki takhta pemerintahan, dilakukan beberapa siri membalas dendam yang dahsyat.

Abdullah Ibrahim, bapa saudara as-Saffah mebunuh 300 orang Bani Umayyah hanya selepas 3 bulan as-Saffah memerintah. Yazid bin Mu`awiyah bin Abdul Malik dan Abdul Jabbar bin Yazid bin Abdul Malik dan 70 orang yang lain dibunuh dalam satu majlis. Begitu juga as-Saffah menjemput keluarga Umayyah ke majlis keramaian, lalu mereka dibunuh dalam majlis tersebut. Abdul Rahman ad-Dakhil, antara kerabat Umayyah yang berjaya menyelamatkan diri lalu melarikan diri ke bumi Andalus.

Semua ini bertujuan menghapuskan segala kemungkinan pemberontakan yang bakal berlaku sekiranya pesaing-pesaing tidak dihapuskan. As-Saffah, hanya sempat memerintah selama 4 tahun apabila beliau meninggal pada tahun 136H dan digantikan dengan Khalifah Abu Jaafar al-Mansur ( 136 – 158H / 754 – 775M).

Kemunculan Kerajaan Bani Umayyah II

Abdul Rahman Ad Dakhil atau namanya Abdul Rahman bin Muawiyah bin Hisyam bin Abdul Malik yang berjaya melarikan diri ke Sepanyol menubuhkan Pusat Pemerintahan Daulah Umawiyah II di sana.

Abdul Rahman tekad membangunkan Sepanyol dan memerintah dengan saksama. Khalifah Abbasiah ketika itu ialah Khalifah Mansur yang merasa tergugat dengan kemunculan Abdul Rahman menghantar bala tentera untuk menyerang Wilayah Sepanyol namun tidak berhasil kerana Abdul Rahman ad-Dakhil telah bertapak kukuh dan mempunyai tentera yang kuat.

Zaman kejatuhan Abbasiah

Kemunculan Tatar

Monggol ataupun lebih dikenali Tatar memulakan misi menjarah bumi umat Islam pada tanggal 617H dikepalai oleh Temujin ( Genghis Khan ) seterusnya Kiyuk bin Ughitai, kemudian Mankhu Khan dan diakhiri oleh cucunya Hulaghu Khan. Di tangan 4 Jeneral ini berkuburnya Kerajaan Islam Abbasiah yang bertapak lebih 500 tahun di tangan bangsa yang kuno dan Sultan terakhir Abbasiah al-Musta`sim mangkat di tangan Hulagu Khan.

Bangsa Tatar muncul pada era perpecahan umat Islam, walhal pada waktu itu Kerajaan Abbasiyah menguasai hampir satu pertiga dunia. Menggambarkan gawatnya suasana ketika itu, menurut Said Qutub ketika menafsirkan Firman Allah Taala:

“Mereka berkata : wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi…. Mungkin tembok yang dibina itu telah dibuka yang menjadi petanda dekatnya dengan kiamat, dan serangan Bangsa Monggol itu merupakan penyerbuan Yakjuj dan Makjuj.”

(al-Kahfi: 94)

Lihat peta :

(Kerajaan Bani Abbasiah pada awal kurun ke-7 Hijrah menguasai daripada hujung Andalus hingga ke hujung India)

Pada penghujung kurun, ia berlaku sebaliknya. Walhal pada akhir kurun ke-6 adalah merupakan zaman keemasan bagi pemerintahan Kerajaan Abbasiah. Dengan kemenangan mengalahkan tentera Salib melalui Komandan Agung Salahuddin al-Ayyubi, juga zaman penyebaran ilmu yang berkembang dengan pesat kerana para ulamak Sunnah muncul pada Era Abbasiah termasuklah Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Abu Hasan al-Asya`ri serta ramai lagi Pakar dalam pelbagai bidang. Pada kurun tersebut juga Islam mempunyai Perpustakaan terbesar yang terletak di Kota Baghdad yang menjadi tumpuan seluruh dunia.

Manakala pada akhir kurun ke-7, Kerajaan Islam berpecah-pecah dan masing-masing dengan haluan dan sikap mementingkan diri sendiri. Ahli Sejarah merekodkan pada kurun tersebut ketumbukan dunia terbahagi kepada 3 kumpulan besar, Iaitu:

●      Kerajaan Islam

Kerajaan Islam berpecah kepada 7 kerajaan:

–     Kerajaan Bani Abbasiah – yang merupakan Kerajaan Pusat Pemerintahan. Namun pada akhir kurun ke-7, ia hanya tertumpu di Baghdad sahaja.

–     Kerajaan Ayyubiah – Meliputi Mesir, Syam (Jordan, Syria, Lubnan, Palestin), Yaman dan Hijjaz

–     Kerajaan al-Muwahhidin – Meliputi Andalus dan Morocco

–     Kerajaan al-Khwarizmi – Meliputi Wilayah Asia daripada Barat China hingga Barat Iran

–     Kerajaan al-Ghuri – Wilayah India

–     Kerajaan Bani Saljuk – Meliputi Wilayah Turki (Anatolia)

–     Kerajaan Ismailiah – Merupakan Iran sekarang, diperintah oleh kumpulan Syiah Ismailiah yang disepakati oleh ulamak bahawa Ismailiah adalah sesat, berasal daripada Majusi dan menyelewengkan al-Quran.

●     Kerajaan Salib – seteru utama umat Islam melalui siri peperangan Salib Kerajaan Bizantin.

Kerajaan Armania – Meliputi Utara Iran dan Barat Turki Kerajaan Georgia  Kerajaan kecil Salib di Syam, Palestin dan Turki.

●      Kerajaan Monggol atau Tatar

Kerajaan yang muncul secara mengejut, dan tamat juga dengan mengejut.

Temujin, atau gelarannya Genghis Khan, selepas berjaya memimpin bangsa Monggol bergerak dan mengembangkan pengaruhnya dengan cepat. Para Ahli Sejarah menyebutkan beberapa ciri-ciri mereka yang menjadi sebab mengapa begitu cepat tersebar:

–     Bersifat buas

–     Gerakan gerila yang tersusun dan kemas

–     Jumlah kepuakan yang ramai

–     Membawa budaya yang keras

–     Kepimpinan Genghis Khan dan Jeneralnya yang tangkas

–     Tidak berhati perut

–     Tidak menerima pendapat selain daripada puak mereka

–     Tidak menepati janji

Bangsa Monggol sebagai bangsa dominan akhirnya tewas di tangan salah satu bangsanya yang kecil iaitu Tatar. Lalu Tatar berkembang menjadi bangsa yang utama. Tanpa ada perlembagaan dan peraturan, bahkan kemunculannya juga mendadak dengan kekuatan persenjataan dan keganasannya membolehkan ia berkuasa cepat.

(Peta ketumbukan dunia pada tahun 603H dan kemunculan Kerajaan Tatar)

Mengapa Tatar memusuhi Islam?

Sudah menjadi Sunnatullah, sekalipun musuh saling bertelagah sesama mereka, namun ketika mana melihat Islam menjadi ancaman, maka musuh akan bersatu untuk melawan Islam. Yahudi dan Kristian bertelagah, namun apabila Islam datang, mereka bersatu untuk melawan Islam. Sebagaimana Sirah menyebutkan tatkala Nabi S.A.W dan para Sahabat berjaya berhijrah dari Makkah ke Madinah dan membuka lembaran baru, ketika itulah orang Yahudi mula bersepakat dengan Musyrikin Makkah demi menumpaskan Islam. Pastinya Peperangan Ahzab sentiasa segar di minda kita.

Begitu juga dalam situasi pada zaman Abbassiah. Kerajaan Bizantin, apabila mendengar dari kejauhan kemunculan Monggol yang semakin membesar jajahannya, mula merancang sesuatu untuk menyekat kemaraan Islam. Maka, Bizantin mengutuskan utusan mereka bagi bertemu Genghis Khan meminta bantuan supaya Monggol menyerang Islam.

Penjarahan Bangsa Tatar terhadap bumi Umat Islam

Serangan Bangsa Tatar terhadap umat Islam berlaku dalam tiga fasa yang bermula pada tahun 616H hingga 658H iaitu selama 42 tahun. Saya hanya nyatakan sepintas lalu untuk mendapat gambaran keseluruhan secara ringkas bagaimana Tatar meranapkan bumi umat Islam dalam tempoh yang singkat! Pastinya kita tertanya-tanya mengapa begitu mudah melawan umat Islam? Apakah begitu gagah Bangsa Monggol? Di manakah Panglima segagah Salahuddin al-Ayyubi??

●     Fasa pertama

616H Tatar menyerang Wilayah Bukhara

617H Tatar menyerang Wilayah Samarqand hingga bumi Afghanistan

618H Tatar menyerang Wilayah Hamdan, Iran, Chechen dan beberapa kawasan di Rusia

619H Tatar mengukuhkan kedudukannya di antara China dan Iraq

620H Tatar meranapkan Bulgaria

624H Kematian Genghis Khan dan diganti dengan Ukitai

●     Fasa kedua

628H Tatar menerobos Parsi (Iran), Iraq dan Arzebeijan

634H Tatar menakluk Armenia, Chechen dan Dagistan

635H Bato mengepalai misi menjarah Rusia

636H Mosko ditumpaskan

638H Tatar memasuki Wilayah Ukraine

639H Poland ditumpaskan

Kematian Ukitai dan diganti dengan anaknya Kiuk

640H Kewafatan Khalifah Abbasiah al-Mustansir billah diganti dengan al-Musta`sim Billah

648H Peperangan Salib di Mansurah

Fasa serangan di atas meranap bumi umat Islam dan juga wilayah kekuasaan Kristian. Nyata Bangsa Tatar langsung tidak mengendahkan Perjanjian Awal antara puak Salib dan Tatar untuk menyerang umat Islam, tetapi Tatar menjarah semua sekali gus!

●     Fasa ketiga

656H Tatar mengepung Pusat Pemerintahan Abbasiah, Kota Baghdad

Tumbangnya Kerajaan Bani Abbasiah

Wilayah Miyarfarqin (Syam) diranapkan

657H Tatar menghancurkan keseluruhan Wilayah Syam

658H Saifuddin Qutuz dan Zhahir Bybrus mengepalai tentera Islam menebus maruah umat Islam di Ain Jalut (Palestin) pada 25 Ramadan 658H yang memberi kemenangan bermaruah buat umat Islam.

(Peta : Pergerakan Bangsa Tatar yang terlalu cepat menyerang bumi umat Islam dan Salib!)

Kafa bit tarikh mauizah! (Cukuplah sejarah itu suatu peringatan yang berkesan!)

Sejarah yang berulang selayaknya menjadi panduan dan pengajaran yang berkesan buat kita. Namun, nyata ia tidak berlaku kerana kita tidak membaca sejarah, dan gagal menghayati sejarah untuk diadaptasi pada zaman ini! Membaca sejarah yang paling penting ialah menjiwai jalan ceritanya untuk digunakan pada zaman kita, bukan untuk seronok disampaikan semata-mata.

Ada Sarjana yang menyebutkan bahawa, Barat hampir boleh dikatakan tidak mengulangi semula sejarah hitam mereka kembali kerana amat peka dengan peristiwa lalu dan belajar daripadanya. Ada pun umat Islam berlaku sebaliknya, kelemahan kita terhadap sejarah tambahan pula penyelewengan fakta yang dibuat mengakibatkan kita leka dan sentiasa mengulangi perkara yang sama berulang-ulang kali!

     Pelajaran pertama: Meninggalkan Islam

Firman Allah Taala:

“Sekiranya kamu membantu agama Allah, pertolongan Allah akan datang…”

(Muhammad : 7)

Menjadikan panduan selain al-Quran dan Sunnah adalah merupakan bala yang besar. Sultan dan Pemerintah di akhir kurun ke-7 dilihat sangat jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Malahan pengaruh Hedonisme, dan pemikiran falsafah masuk ke dalam umat Islam menyebabkan mereka menyimpang.

Berbeza apabila Saifuddin Qutuz mengambil alih kuasa, ditambah dengan dokongan ampuh daripada Syeikh Izzuddin bin Abd Salam meletakkan slogan ‘Wa Islamah’ iaitu demi Islam sebagai bukti kesungguhan Qutuz melawan Tatar bukan kerana hajat yang lain. Lalu Allah memberi kemenangan yang besar buat umat Islam. Qutuz sendiri menyebutkan kepada Raja-raja yang takut hilang jawatan:

“Biarkan aku yang mengepalai misi melawan Tatar, selepas kita mengalahkan Tatar, aku serahkan urusan pemerintahan kepada kalian.”

Malangnya, kerana takut tidak mendapat jawatan, Qutuz dibunuh oleh temannya sendiri.

Sebab itu dalam perjuangan, selain daripada ujian kepayahan, ujian kesenangan mesti diambil berat supaya kita tidak mudah dipengaruhi oleh sesiapa ataupun kita sendiri yang kalah dengan bisikan hawa nafsu. Ada yang berjuang untuk merebut jawatan, menaikkan nama sendiri dan untuk menunjuk-nunjuk. Andai ada niat berjuang bukan kerana Allah, maka selagi itulah pertolongan Allah tidak akan turun.

     Pelajaran Kedua: Perpecahan umat Islam dan kesatuan musuh Islam 

Allah menegaskan dalam Surah al-Anfal ayat 46, betapa pentingnya bersatu :

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu saling bertelagah, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan, dan bersabarlah sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar”

Beberapa peristiwa dicatatkan yang menyaksikan umat Islam bertelingkah, walhal musuh berada di depan mata. Kerajaan al-Khawarizmi Shah, antara wilayah pertama yang mula-mula diserang pada tahun 617H, akan tetapi langsung tidak dibantu oleh wilayah yang berdekatan. Mengapa ini terjadi? Ini berpunca daripada sikap al-Khawarizmi sendiri yang suka mencetus perbalahan menyebabkan ia tidak dibantu. Akan tetapi, dalam keadaan sebegitu, logikkah umat Islam membiarkan sahaja tanpa berbuat apa-apa?

Ketika Tatar menyerang Selatan Afghanistan, umat Islam ada yang bangkit melawan. Antaranya Saifuddin Baghraq, ketua tentera Saljuk, yang bersamanya 30,000 orang tentera digabungkan bersama 60,000 tentera Sultan Jalaluddin al-Khawarizmi. Nyata bantuan Allah bersama mereka, berjaya membunuh ramai tentera Tatar dan ramai yang melarikan diri. Namun, Genghis Khan bangkit melawan dengan menghantar ketumbukan kedua yang lebih besar. Malangnya ketika itu tentera Saifuddin Baghraq dan Jalauddin al-Khawarizmi berebut harta ghanimah dan saling berbunuh!

     Pelajaran ketiga: Mencintai dunia dan kehidupan eksklusif

Antara ujian yang melemahkan umat Islam ialah ujian kesenangan. Melihat kembali sejarah pembunuhan Saidina Uthman R.A ialah selepas fasa kemenangan Islam menawan Rom dan Parsi pada zaman Umar al-Khattab sekali gus memberikan kesenangan buat mereka dan generasi terkemudian. Khabbab bin Arat antara Sahabat yang sempat merasa imbuhan yang banyak atas jasanya sebagai golongan awal yang masuk Islam dan menghadapi ujian kepayahan yang dahsyat, namun ia tidak melekakan beliau. Sebaliknya berlaku kepada generasi terkemudian yang tidak merasai kepayahan perjuangan, lalu mereka mudah terpengaruh dan terkesan dengan omokan golongan Munafik yang iri hati terhadap Islam.

Umat Islam pada waktu serangan Tatar mereka sudah terbiasa dengan kehidupan yang selesa, sarat dengan hiburan hingga tahap penguasaan terhadap lagu-lagu lebih banyak berbanding penguasaan terhadap al-Quran! Ia juga melanda kita dewasa ini, artis dan penyanyi lebih dikenali, lagu-lagu hiburan menjadi halwa telinga berbanding al-Quran, pemain bola dan atlit menjadi ikon lebih daripada pejuang agama, para Sahabat bahkan para Nabi sekalipun!

Al-Quran sekadar meniti di bibir bukan meresap ke dalam hati-hati manusia walhal Musabaqah al-Quran adalah tradisi tahunan negara dan dunia. Allah Taala mengancam manusia dengan kehancuran bagi mereka yang tenggelam dengan kesenangan:

“Dan apabila Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah kampung, kami perintahkan terlebih dahulu orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat. Maka berhaklah negeri itu dibinasakan lalu kami menghancurkan sehancur-hancurnya.”

(al-Isra : 16)

Sunnah ini dimulakan oleh Sultan dan Pemerintah. Di Istana subur dengan budaya berhibur tanpa batasan masa. Dikisahkan ketika tentera Tatar menyerang Istana dengan anak panah, Sultan mengarahkan pengawal supaya menutup tirai-tirai Istana supaya tidak melihat apa yang berlaku di luar! Lihatlah betapa teruknya sikap pemerintah pada waktu itu.

     Pelajaran keempat: Umat Islam meninggalkan kefarduan Jihad

Antara penyumbang terbesar kepada kekalahan umat Islam ialah meninggalkan kefardhuan Jihad. Termasuklah meninggalkan mempelajari selok-belok jihad, erti, tuntutan seterusnya praktikal terhadap Jihad dengan mempersiap kekuatan ketenteraan mahupun persediaan peribadi dalam aspek pertahanan diri, berenang, dan menunggang kuda. Percaya atau tidak, pada zaman serangan Tatar kesemua ini ditinggalkan oleh umat Islam! Yang lebih parah ialah mereka kehilangan roh Jihad, sekalipun sudah berada dalam saf tentera, namun ada yang melarikan diri kerana takut mati! Dikisahkan ketika Tatar menjarah bumi Samarqand, wilayah tersebut mempunyai tentera seramai 50,000 orang! Apa yang terjadi, kesemua tentera ini melarikan diri dan tidak mahu keluar berperang!

  Pelajaran kelima: Mengabaikan aspek persediaan ketenteraan 

Negara yang mengabaikan aspek ketenteraan membuka ruang yang luas untuk musuh menyerang dengan mudah. Itulah yang berlaku terhadap Kerajaan Abbasiah. Hampir kesemua Sultan kecuali Mesir sahaja yang langsung tidak bangkit mengatur rakyatnya melawan mahupun menyerang. Sebaliknya dibiarkan Tatar masuk dan meranapkan segala-galanya.

Jika dilihat dalam ketiga-tiga fasa serangan Tatar, terdapat beberapa tempoh bertenang yang tidak berlaku serangan. Ini kerana berlaku pergolakan dalaman sesama mereka, dan mereka menyusun kembali tentera selepas berperang dalam tempoh yang panjang. Namun sepanjang waktu itu, langsung tidak ada persiapan yang dibuat oleh umat Islam! Alangkah malangnya!

     Pelajaran keenam: Kehilangan Tokoh sebagai ikutan

Islam mengajar kita kepimpinan mestilah melalui tauladan. Dengan tauladan menjadikan rakyat dan umat di bawah mengikut sebagaimana ketua mereka. Sikap Sultan yang tidak mengendahkan urusan rakyat, ditambah dengan hanya sibuk merebut kuasa menjadikan rakyat hidup tanpa seliaan kearah kebaikan.

Lalu bagaimana mendidik rakyat dengan roh Jihad seandainya Raja orang pertama yang lari dari medan perang? Sudah tentu ia amat bercanggah dengan perihal Baginda S.A.W yang sentiasa menjadi ikutan para Sahabat. Dalam Peperangan Khandak, Baginda S.A.W individu pertama yang turun menggali parit dan Baginda orang terakhir yang naik ke atas. Ketika mana ada Sahabat yang mengadu kelaparan lalu mengangkat bajunya dan memperlihatkan perutnya yang diikat dengan seketul batu tanda menahan lapar, lantas Baginda S.A.W menyelak bajunya dan memperlihatkan perut Baginda S.A.W diikat dengan dua ketul batu petanda Nabi S.A.W lebih lapar! Begitu juga dengan perihal Khalifah Umar al-Khattab, menjiwai kesusahan rakyatnya dengan beliau sendiri memikul gandum, memberi makan kepada orang susah dan tidak akan makan yang sedap melainkan ia dinikmati oleh rakyatnya dahulu.

●     Pelajaran ketujuh: Hilang jati diri dan tunduk kepada musuh 

Firman Allah Taala dalam Surah al-Maidah ayat 51:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.”

Peringatan yang keras dari Allah supaya orang Islam tidak menyendeng bahu kita dengan orang bukan Islam. Ia bakal menjadikan kita bergantung harap pada mereka, meletakkan kepercayaan kepada mereka dalam segala hal, sebagaimana berlaku hari ini apabila kita mempercayai Barat lebih daripada yang lain seolah-olah hampir mustahil untuk Islam mengalahkan Amerika yang menjadi kuasa besar waktu ini.

Begitulah yang berlaku terhadap umat Islam dengan Tatar, mereka dikalahkan dengan serangan propaganda yang dibuat oleh Tatar dengan slogan “Bangsa yang tak terkalah”. Ia tersebar meluas dalam kalangan umat Islam hingga dikisahkan, sekiranya datang seorang tentera Monggol kepada umat Islam yang ramai, mereka akan menundukkan kepala ke bumi sebagai isyarat sedia disembelih tanpa mereka melawan. Bahkan dikisahkan juga, seorang tentera wanita Tatar masuk ke dalam rumah yang menyorok di dalamnya ratusan umat Islam kerana takut dibunuh, akhirnya membiarkan sahaja seorang demi seorang dibunuh tanpa seorang pun melawan! Betapa murahnya nyawa umat Islam.

     Pelajaran kelapan: Pengkhianatan golongan Pragmatis

Dalam satu Hadis, Nabi S.A.W menyebutkan orang beriman akan diuji dengan 5 golongan, antaranya Munafik yang benci kepadanya. Golongan ini akan sentiasa ada sepanjang zaman. Mereka duduk bersama orang Islam tanpa sedikit pun dicurigai kecuali setelah mereka berjaya berada pada posisi yang sukar digugat.

Sepanjang serangan Monggol terhadap umat Islam, ada 3 individu yang menjadi dalang dan tali barut kepada Tatar. Mereka berpakat dan menggadaikan nyawa jutaan umat Islam demi survival diri mereka sendiri yang akhirnya nyata mereka juga menjadi korban dek kebodohan sendiri.

Raja Kaikawus Sani, dan Raja Qalaj Arsalan ke-4, yang merupakan Raja di Wilayah Anatolia, Turki antara yang memberi laluan mudah untuk tentera Monggol masuk menyerang. Begitu juga Raja Badaruddin Lu`lu yang merupakan Raja bagi Wilayah Mosul turut melakukan perkara yang sama kerana termakan janji-janji manis oleh musuh tanpa mereka sedari bahawa Tatar tidak pernah menepati janjinya!

Dan benteng umat Islam yang terakhir di Kota Baghdad ialah Muayiduddin al-Alqami yang merupakan penasihat kepada Sultan al-Musta`sim yang berfahaman Syiah. Tanpa diketahui oleh Sultan, al-Alqami membuat Perjanjian Awal dengan Tatar dan dimaklumkan kepada Sultan bahawa Tatar menjanjikan keamanan kepada Baghdad. Akhirnya Kota Baghdad ranap kerana pengkhianatan al al-Qami ditambah dengan kebodohan Sultan yang tidak mempunyai pengetahuan ilmu dan strategi peperangan.

Dr Raghib as-Sarjani menyebutkan, penyakit umat Islam yang paling parah pada waktu itu ialah (الحول السياسي) iaitu buta dalam politik yang dahsyat. Pemerintah dan rakyat langsung tidak tahu apakah yang sepatutnya mereka buat untuk menghalang Tatar kerana sudah jauh dan tidak pernah didedahkan dengan ilmu Jihad yang sebenar sejak sekian lama! Realiti itu juga kita hadapi dewasa ini apabila anak muda ramai yang tidak minat untuk terlibat dengan politik Islam yang sebenar kerana mereka jemu dan jelek dengan kebobrokan yang berlaku dalam dunia. Akibatnya, sang politikus dan golongan Pragmatis terus mendapat tempat dan melakukan kerosakan.

Penutup

Mengapa sejarah Abbasiah? Bukan Umawiyah atau Usmaniah? Saya memilih sejarah kejatuhan Abbasiah untuk direnungi bersama kerana punca kejatuhan banyaknya adalah daripada masalah dalaman umat Islam sendiri. Kerajaan Umawiyah digulingkan oleh umat Islam, manakala kejatuhan Usmaniah walaupun dengan kelemahan kita, namun campur tangan pihak luar dan Yahudi Zionis perlu diperhalusi dengan panjang lebar yang memang sarat dengan pengajaran buat kita.

Sebagai akhirnya, marilah sama-sama kita merenung Firman Allah Taala ini sebagai sumber inspirasi untuk kita terus memposisikan diri di dalam agenda memartabatkan Islam:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.”

(as-Saff: 14)

Wallahu a`lam bissowab.

(Penulis ialah MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Bakri lepasan Jurusan Usuluddin, Hadith Universiti al-Azhar Kaherah, Mesir)

Rujukan:

–     Tafsir Fi Zhilal oleh Said Qutub

–     Kerajaan Khalifah Islam Kegemilangan Pemerintahan Abbasiah oleh Raffar Mat

–     Kisah Tatar minal Bidayah ila Ain Jalut oleh Dr Raghib As Sarjani

–     Daulah Abbasiah oleh Dr Ali As Solabi

–     Sultan Saifuddin Qutuz oleh Dr Ali As Solabi

–     At Tarikh Al Islami (Al Wajiz) oleh Dr. Muhammad Suhail Taqqush

–     Daulah Zinkiah oleh Dr Ali As Solabi

–     Tafsir Ibnu KathirHARAKAHDAILY 10/6/2018

- Advertisement -