Geoeskatologi (22): Khurasan

- Advertisement -

KHURASAN merupakan satu rantau di Asia Tengah. Walaupun nama Wilayah Khurasan hari ini berada Timur Laut Iran, tetapi sebenarnya ia lebih luas daripada itu. Khurasan adalah Bahasa Parsi yang bermaksud tempat matahari terbit, merujuk kepada Wilayah Kekuasaan Parsi di sebelah Timur Laut melibatkan bukan sahaja Iran, tetapi Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan, Afghanistan dan Pakistan.

- Advertisement -

Islam sampai di Khurasan seawal kejatuhan Parsi zaman Khulafa ar-Rasyidin. Ia menjadi lubuk ilmuan Islam yang tidak terkira jumlahnya. Antara daerah yang terkenal adalah Naisabur, Herah, Bukhara, Samarqand dan Khawarizm. Khurasan dan kawasan sekitar peta Iran telah melahirkan ulamak yang tak terkira jumlahnya seperti Imam sittah (Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah, Nasaie), at-Tabari, al-Baihaqi, Sibawaih, al-Biruni, al-Khawarizmi, al-Mawardi, Ibn Sina, al-Farabi dan ramai lagi. Dari tanah ini juga berkembangnya ilmu mukammilat seperti antropologi, astrologi, geologi, matematik, linguistik, biologi, falsafah, dan sebagainya yang menjadi asas perkembangan teknologi hari ini.

Pada Era Kolonialisasi, Khurasan berada di bawah pengaruh Soviet Union. Kini walaupun Soviet telah jatuh, tetapi negara-negara ini masih tidak berjaya dikuasai oleh kumpulan Pax-Americana.

Nabi S.A.W menyatakan berkenaan Khurasan:

الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالْمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا خُرَاسَانُ ، يَتْبَعُهُ أَقْوَامٌ كَأَنَّ وُجُوهَهُمْ الْمَجَانُّ الْمُطْرَقَةُ

“Dajjal keluar daripada satu tanah di Timur yang dipanggil Khurasan. Diikuti oleh kaum-kaum yang mukanya leper”

[HR Tirmizi]

Tidak dinyatakan secara apakah Khurasan yang dimaksudkan adalah Iran, Afghanistan, Uzbekistan atau negara lain. Bahkan secara literal, ia kontradik dengan Hadis Nabi yang mengatakan Dajjal keluar daripada Esfahan. Ini kerana Esfahan sudah berada di luar Wilayah Khurasan (Rujuk Siri Esfahan selepas ini).

Ia juga kontradik dengan Hadis Tamim ad-Dari yang berjumpa Pulau Dajjal di sebelah Barat (Rujuk Siri Tasik Tiberias, Bisan dan Mata Air Zughar). Sedangkan Khurasan adalah di Timur.

Kaedah utama dalam membaca Nas Syarak adalah dengan mengharmonikan kesemuanya tanpa menolak mana-mana setakat yang mampu. Maka wujud pandangan yang mengatakan boleh jadi Dajjal keluar dari pulaunya dengan tidak mendedahkan identitinya. Menggunakan pesawat (Rujuk Siri Bab Ludd), dia ke Khurasan dengan berwatak seorang manusia biasa, bahkan matanya masih tidak cacat waktu itu. Dengan teknologi dan sihir, beliau membina pengaruh dengan cepat ke seluruh dunia yang sedang menanti adiwira yang boleh menyelamatkan mereka dari bencana alam dan peperangan waktu itu. (Rujuk Siri Bisan).

Dajjal pada mulanya mengaku Muslim, membawa pembaharuan dan kebaikan. Yang lemah iman, yang hanya fikir nasib periuk nasi dan hidup dunia sahaja akan terpengaruh dengannya. Selepas itu dia akan mengaku sebagai al-Masih Nabi Isa bagi menipu orang Islam dan juga Kristian, akhirnya, dia akan mengaku sebagai tuhan. Sabda Rasulullah S.A.W:

الدجالُ ليس به خفاءٌ يَجيءُ من قِبلِ المشرقِ فيَدعو إلى الدينِ فيُتَّبَعُ ويظهرُ فلا يزالُ حتى يقدمَ الكوفةَ فيُظهِرُ الدينَ ويعملُ به فيتبعُ ويحثُّ على ذلك ثم يدَّعي أنَّهُ نبيٌّ فيفزعُ من ذلك كلُّ ذي لُبٍّ ويفارقُهُ فيمكثُ بعد ذلك فيقولُ أنا اللهُ فتُغشى عينُهُ وتُقطَعُ أذنُهٌ ويكتبُ بين عينيْهِ كافرٌ فلا يَخفى على كلِّ مسلمٍ فيفارقُهُ كلُّ أحدٍ منَ الخلقِ في قلبِهِ مِثقالُ حبةٍ من خَردلٍ من إيمانٍ

“Tanpa syak lagi Dajjal akan muncul dari arah Timur. Dia akan mengajak kepada agama maka dia akan diikuti dan menzahirkannya. Kemudian pergi ke Kufah, kemudian mengaku sebagai Nabi. Yang berakal akan meninggalkannya. Selepas itu dia mengaku pula akulah Allah!. Ketika itu matanya dicederakan, telinganya dipotong, dan dahinya tertulis kafir. Orang Islam yang memiliki iman sebesar biji sawi akan meninggalkannya.”

[HR Thabrani]

Mengikut ilmu geo-politik, Wilayah Khurasan sememangnya menjadi idaman kuasa Barat Pax-Americana bagi menguasai rimland dan mengekang pengaruh kuasa heartland iaitu Rusia dan blok Timur. Apa yang berlaku di Asia Barat adalah pelan jangka masa panjang bagi menguasai keseluruhan rantau Timur yang berhampiran. Afghanistan, Iraq dan Syria sudah berjaya diduduki Barat. Menunggu masa untuk menjarah Iran dan Pakistan pula.

Hadis di atas turut memberi panduan bahawa yang mampu selamat daripada Dajjal adalah yang beriman. Maka perkuatkanlah iman kita, bina benteng yang kukuh dengan ilmu dan takwa, supaya iman kita tidak terjejas dengan tipu daya Dajjal yang semakin hampir.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Hadis Geo-Eskatologi; Lokasi dan Kronologi akhir zaman yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
23 Ramadan 1439
8 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 8/6/2018

FB IMG 1528422651023

 

- Advertisement -