Wisma Darul Iman, aku dan kenangan

- Advertisement -

AKU membesar di Kampung Nesan Empat yang berhampiran dengan Wisma Darul Iman (WDI). Mungkin dalam jarak hanya 700 meter sahaja. Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa tapak WDI ini dahulunya adalah pejabat-pejabat kecil Kerajaan Negeri. Ada yang berbangunan kayu. Di sebelah Timurnya pula terdapat kuburan lama dan perkampungan kecil Paya Bunga dan di Baratnya ialah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Pembinaan WDI ini bermula lebih kurang sekitar tahun 1983.

- Advertisement -

Aku menyaksikan tiang-tiang cerucuk yang ditanam ketika itu yang menggegar, membingitkan telinga, mengganggu penumpuan kami di Sekolah Rendah Tengku Ampuan Mariam yang terletak bersebelahan pagar WDI. Terkadang guru kami memberi amaran agar belajar bersungguh-sungguh supaya tidak menjadi seperti buruh-buruh itu yang bergaji murah tetapi kerjanya berat. Amaran yang sangat biasa supaya belajar dan mendapat kerja yang baik dan gaji yang besar. Aku tersenyum terkenangkannya.

Sebelum berdirinya WDI, sorakan penonton dari stadium, dapat didengar jelas sehingga ke kampungku. Masih lagi aku teringat, pada tahun 1982, separuh akhir Piala Malaysia, Terengganu menentang Pulau Pinang. Terengganu menang dan layak ke final Piala Malaysia. Kami mendapat tahu jaringan gol Terengganu dengan hanya mendengar sorakan penonton. Tahun 1983, ketika kerja-kerja pembinaan WDI sedang rancak berjalan, aku pertama kali mengikut kawan masuk stadium bagi menyaksikan Terengganu menentang Melaka yang diketuai oleh Soh Chin Aun atau ‘Taukeh’.

Penonton Terengganu tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil. Mereka membakar tempat duduk stadium yang diperbuat daripada kayu dan hasilnya pertama kali aku mendapat tangisan gas pemedih mata ole-ole dari FRU, sambil berjalan menjilat aiskrim, jauh lebih dulu daripada otai reformasi. Lama sebelum itu, di tempat yang sama pada tahun 1979, bas Negeri Sembilan juga menjadi mangsa dibakar peminat. Selepas itu, suara sorakan penonton bola sepak terhalang sampai ke kampungku dengan berdirinya WDI. Aku tidak lagi tahu keputusan dengan mudah dan terpaksa membayar tiket untuk masuk ke stadium atau terpaksa memanjat pagar jika tiada wang.

Aku juga pernah mendengar di dalam ceramah yang Ir Nizar Jamaluddin, mantan Menteri Besar Perak yang sudah bertukar parti dari PAS kepada PAN itu memaklumkan beliau adalah salah seorang daripada barisan jurutera yang menyumbang tenaga bagi pembinaan WDI ini. Sekeliling WDI dahulunya adalah tanah paya yang agak luas yang ditebus guna. Jalan-jalan seperti Tengku Ampuan Mariam, Jalan Sultan Sulaiman dan sebahagian Jalan Kampung Kolam, dahulunya adalah tanah berpaya yang dipenuhi tumbuhan dan hidupan liar. Ada titian menjadi laluan kami ke sekolah, melalui rumah-rumah yang dibina bertiang tinggi di atas air. Terdapat juga sebuah istana lama Raja yang digunakan sebagai kilang membuat benang di situ, Istana Kolam.

Adakalanya kaki-kaki kami diselaputi selut kerana becak jalan berlumpur itu, ataupun kerana lari melihat biawak yang sebesar XXL, memberikan kerja tambahan kepada kami kerana perlu membasuh kasut dan melumurkan kapur, untuk memutihkannya kembali. Berhenti bagi menangguk ikan laga, sepat dan menahan umpan tauk untuk haruan, dalam perjalanan kami pergi dan balik sekolah adalah suatu yang rutin. Apatah lagi ketika cuti sekolah. Perlahan-lahan seiring peredaran masa, tanah-tanah paya itu, rumah teman-temanku kemudiannya diroboh dan ditimbun bagi memberikan laluan kepada pembangunan, membekaskan kenangan yang akan terpahat hingga akhir hayat.

Begitulah WDI yang terbina setelah Terengganu mendapat manfaat daripada perolehan petroleum, bangunan tertinggi di Terengganu ketika itu, yang kita ketahui sebagai Pusat Pentadbiran Negeri Terengganu. Aku berpeluang beberapa kali sebelum ini memasuki WDI atas beberapa urusan, terutama urusan Sidang Dun, tetapi di tingkat bawah sahaja. Mungkin juga WDI boleh dikatakan sebagai sasaran kawasan penaklukkan parti politik yang agak unik jika dibandingkan dengan kawasan pentadbiran negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Ini berdasarkan sejarah PRU di Semenanjung, kerajaan paling banyak bertukar tangan ialah Terengganu. Tahun 1959 PAS menang pada PRU kali pertama tetapi jatuh selepas undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Haji Mohd Daud Abdul Samad dua tahun kemudian. BN yang diketuai oleh Tan Sri Ibrahim Fikri yang pernah dituduh orang ramai sebagai MB gila kerana tidak boleh menerima idea beliau menyuruh rakyat menanam kelapa sawit, kemudiannya menerajui Terengganu.

Bermula detik itu, Perikatan yang kemudiannya BN, menduduki kerusi Pentadbiran Terengganu. Pernah berkongsi kuasa sebentar antara PAS dan BN pada sekitar tahun 1974 dan sehinggalah PAS kembali memerintah pada tahun 1999, sekali gus menamatkan kekuasaan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Menteri Besar paling lama ketika itu. Genap sepenggal kemudiannya, PAS terpaksa menyerahkan kembali kuasa kepada BN selepas kekalahan dalam PRU11 yang terkenal dengan kekotoran dan penipuan itu. Namun, kegoyahan pemerintahan BN dapat dihidu, retak yang hanya menanti belah. Pun begitu, ia mengambil kira-kira 14 tahun bagi BN tumbang.

Kini, WDI, kembali ke genggaman PAS setelah diberikan kembali kepercayaan oleh rakyat di PRU14 baru-baru ini. Jelas sikap BN yang menjengkelkan rakyat, tidak hanya meletus di Terengganu, tetapi seluruh Malaysia. PAS dengan senarai Adun-adun yang diyakini rakyat, dengan segera melakukan kerja-kerja bagi memenuhi janji-janji manifesto mereka. PAS tidak hiraukan pertelingkahan peringkat nasional yang mana ada parti yang tidak mahu menunaikan manifesto mereka, menggunakan berbagai alasan. PAS Terengganu terkehadapan demi menjaga nama Parti Islam. PAS Terengganu mendepakan tangan, menyambut semua rakyat dengan kasih sayang, tanpa mengira ideologi, mencetuskan idea baharu, disamping menyambung segala idea-idea baik kerajaan terdahulu yang elok kepada rakyat. BPMS tetap menjadi panduan dalam pemerintahan PAS.

Kini janji manifesto sudah berjalan sebahagiannya, dan barisan Exco PAS sedang berjuang melaksanakan keseluruhan manifesto itu. Ada yang boleh dilaksanakan segera, ada dalam jangka masa sederhana dan ada juga dalam jangka masa panjang. Namun, mengelak daripada tidak melaksanakannya, insyAllah itu bukan pegangan PAS. PAS juga sebelum membentangkan manifesto ini, telah mengkaji keupayaan untuk menunaikannya. PAS juga telah mengkaji sebelum PRU, kekuatan sumber kewangan lain Terengganu selain daripada petroleum untuk memerintah negeri. Ternyata, dengan bantuan pakar-pakar, PAS boleh mengurus negeri dengan sumber yang ada itu. Di WDI inilah, bakal menjadi saksi kepada segala kekuatan, kepakaran, kesungguhan PAS dalam membela nasib rakyat dicurahkan. 

Hari ini, buat pertama kalinya aku menaiki WDI ke tingkat yang tinggi, dengan niat bagi membantu apa yang termampu dicurahkan oleh aku kepada Kerajaan Negeri. Tidak kira walau dengan satu ayat penulisan atau setitik keringat mahupun sepuluh sen derma, aku memohon agar Allah menerima seadanya bantuanku untuk negeriku ini. Sambil aku memandang ke bawah melalui jendela, melihat kepada kenangan silam yang tertanam bersama paya-paya itu. Sungguh masih terbayang-bayang segalanya. Benarlah hidup ini sangat singkat tempohnya walaupun sudah 35 tahun berlalu.

Semoga Terengganu Maju, Berkat Dan Sejahtera bersama kepimpinan Islam.

MOHD NASIR ABDULLAH 
Wisma Darul Iman
6 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 6/6/2018

- Advertisement -