Pelan pemimpin muda untuk negara

syahir
- Advertisement -

Formula menambah nilai Malaysia

- Advertisement -

Pusingan 1

PENGAJARAN Al-Quran dalam Surah Al-Quraisy: Sembahlah Allah pemilik Kaabah, Dialah yang memberi makanan dan menjaga keamanan.

Ahli ekonomi Islam mengembangkan falsafah surah ini dengan meletakkan tiga asas bernegara sebagai tugas asasi kerajaan, iaitu: kerajaan yang patuh kepada hukum Allah, mewujudkan kemakmuran ekonomi, serta menjaga kedaulatan undang-undang.

Rakyat Malaysia bertuah dan perlu bersyukur atas segala nikmat dan mempunyai asas negara yang cukup baik, iaitu: kedudukan geografi strategik, perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, sumber alam dan dasar ekonomi terbuka, modal insan berkualiti, dan hubungan diplomatik yang baik.

Fokus pembinaan negara (nation building) pasca 2020 adalah untuk memberi ‘nilai-tambah’ kepada asas-asas negara yang sudah baik, dengan beberapa penambahbaikan yang seimbang dan holistik.

Saya mencadangkan “Formula Menambah-Nilai Malaysia” melalui 4 kaedah, iaitu Tambah, Tolak, Darab dan Bahagi.

Formula 1 (Tambah): Meningkatkan Kualiti Modal Insan Negara, khususnya dalam aspek kualiti Pendidikan (3M, KBAT, Industri 4.0), kualiti Kesihatan (pencegahan, rawatan dan gaya hidup sihat) serta Moral generasi muda (jatidiri, akhlak, kasih sayang).

Formula 2 (Tolak): Menghapuskan Elemen Rasuah dan Pembaziran, khususnya dalam aspek pecah amanah, salahguna kuasa, skandal pelaburan kerajaan dan GLC (1MDB, FGV, Mara, Perwaja, Forex, BMF) serta amalan monopoli, kronisma, nepotisma, kleptokrasi, dan ‘crony-capitalism’ dalam negara.

Formula 3 (Darab): Melipatgandakan Usaha R&D dan Inovasi Berimpak Tinggi, khususnya aktiviti penyelidikan di IPTA & IPTS, industri kreatif, usahawan digital, usahawan tani dan ‘ekonomi-berkongsi’ sebagai pemacu baharu ekonomi negara dan rakyat.

Formula 4 (Bahagi): Perkongsian Kekayaan Secara Adil, khususnya dalam aspek percukaian yang mesra-pelabur dan mesra-rakyat, peruntukan negeri dan wilayah mengikut semangat Federalisma, pembangunan bandar dan luar bandar, serta usaha untuk mengurangkan kemiskinan luar bandar dan bandar.

Pusingan 2

PAS mempunyai Model Kerajaan Berkebajikan yang boleh dicontohi Kerajaan Persekutuan dan negeri yang lain.

1. Model Kerajaan Berintegriti – rekod bersih rasuah di Kelantan, Terengganu dan Kedah melalui kaedah pencegahan dan penerapan nilai integriti di kalangan pemimpin dan rakyat.

2. Model Ekonomi Bebas Riba’ – TGNA memindahkan akaun kerajaan Kelantan kepada Bank Islam, mengembangkan industri perbankan, kewangan Islam dan pelaburan Islam, skim pinjaman perumahan dan kenderaan tanpa faedah kepada kakitangan kerajaan negeri, dan skim pajak gadai Islam.

3. Model Ekonomi Rakyat – kerancakan ekonomi negeri disokong oleh kekuatan kuasa beli dan permintaan tempatan di kalangan rakyat, khususnya dalam transaksi tunai, perniagaan kecil, industri desa, serta pelaburan hartanah dan perumahan, di samping budaya infak, sedekah dan waqaf yang sinonim dengan rakyat Kelantan.

4. Model Pembangunan Seimbang – memulakan sistem kerja 5 hari seminggu, polisi rumah awam tiga bilik, cuti bersalin 60 hari, biasiswa pelajaran, bantuan sekolah agama dan rumah ibadat, serta pelbagai program kebajikan rakyat seperti bantuan anak yatim, OKU, ibu tunggal, warga emas, skim beras percuma, rumah termiskin, ladang rakyat, bantuan modal dan latihan keusahawanan.

Point ini tidak sempat saya utarakan

5. Model Ekonomi Pertanian – Sektor pertanian boleh mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan petani dan pekebun luar bandar. Pada tahun 2006, kerajaan negeri Kelantan telah melaksanakan Program Ladang Rakyat, dan kerajaan Kelantan telah melancarkan program ‘Bertani Satu Ibadah’ pada tahun 2009 sebagai usaha untuk menggalakkan partisipasi rakyat dan generasi muda dalam sektor pertanian.

Namun tidak dinafikan, masih banyak kelemahan, cabaran dan potensi yang boleh dibangunkan di Kelantan dan Terengganu, bergantung kepada kerjasama yang baik dengan kerajaan Persekutuan, khususnya dalam pemberian royalti Petronas, peruntukan infrastruktur dan insentif pelaburan.

Kelantan dan Terengganu perlu menjadi lebih baik daripada kerajaan negeri PH dan BN yang lain. – HARAKAHDAILY 6/6/2018

- Advertisement -