PAS sedia bantu perkasakan Jakim

tuan2
- Advertisement -

SEPERTI yang diketahui, PRU14 lalu menyaksikan tampuk pentadbiran Malaysia berubah kepada Blok Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah suatu ketika dahulu menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4. Atas slogan ‘Selamatkan Malaysia’, Blok Pakatan Harapan telah berjaya memperolehi sokongan rakyat dan akhirnya Barisan Nasional yang telah bertapak lebih dari 60 tahun sebagai penerajui Malaysia, kecundang serta gagal mempertahankan kemenangannya.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, tidak sampai sebulan tempoh peralihan kuasa berkenaan, pelbagai perkara baru muncul yang bukan sahaja mencemaskan malah menimbulkan tanda tanya rakyat apakah hala tuju sebenar Malaysia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.
Ikuti temubual wartawan Harakah Kedah, SARINA ISMAIL bersama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, baru-baru ini berkenaan dua isu terkini iaitu berkenaan kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Tabung Harapan Rakyat Malaysia.

DatoHARAKAH: Apakah pandangan Dato’ berkenaan tindakan kerajaan berhubung isu Jakim setelah ada desakan dari golongan liberal agar ia dimansuhkan?

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man : Fungsi dan peranan Jakim sangat besar, selain menyelaraskan peraturan peringkat negeri yang berkaitan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan ia juga telah berjaya mengangkat urusan halal haram berkenaan sumber makanan dan mendapat pengikhrafan dunia. Kerajaan sewajarnya tidak melayan tuntutan golongan Liberal yang mendesak agar JAKIM dibatalkan dengan alasan bidang kuasanya di bawah Sultan dan untuk penjimatan kos kononnya pembayar cukai bukan semuanya dari orang Islam sahaja.

Kerajaan seharusnya bertindak memperkasakan lagi peranan Jakim dan berusaha melakukan penambaibaikan sejajar dengan keputusan yang dibuat baru-baru ini untuk melantik satu kumpulan terdiri dari golongan alim ulama untuk menyemak semula peranan Jakim. PAS bersedia untuk membantu seandainya dijemput untuk berada bersama-sama di dalam jawatankuasa yang akan dibentuk itu.

Adakah Dato’ berpendapat desakan yang dilakukan oleh golongan berkenaan kerana mengambil kira sokongan mereka untuk kemenangan blok Pakatan Harapan pada PRU lalu?

Sememamgnya mana-mana parti yang mendapat undian tertinggi perlu mengambil kira akan tuntutan para penyokong yang telah memberi sokongan sehingga beroleh kemenangan namun bukanlah bermakna kerajaan perlu akur kepada semua tuntutan. Kerajaan sewajarnya bertindak atas prinsip dan peruntukan Perlembagaan Negara. Sebagai contoh, tindakan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal, menimbulkan kemarahan umat Islam khususnya di sana apabila beliau mengishtiharkan penambahan gereja dan elaun kepada paderi-paderi Kristian. Seharusnya sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, beliau sewajarnya memperbanyakkan pembinaan masjid, surau dan sebagainya dan membuat penilaian untuk memperkasakan lagi agama Islam di sana.

Sepertimana yang disebut oleh Tuan Guru Presiden PAS sewaktu ditemubual oleh Astro Awani beberapa hari lalu, seandainya ada walau pun sebesar zarah sekali pun Islam di hati mereka, sewajarnya wajib keatas mereka mempertahankan Islam. Bagi PAS kita sedia membantu melalui konsep Taawun berkaitan dasar-dasar yang akan dibuat oleh kerajaan sekiranya tidak bercanggah dengan syarak. Konsep Taawun ini sebenarnya satu pendekatan untuk memperkasakan Islam.

Apakah Dato’ boleh mengatakan keyakinan terhadap hala tuju Islam yang cuba dibawa oleh Kerajaan Pakatan Harapan sekarang?

Sebenarnya apa yang dibimbangi sebelum ini, sudah mula nampak. Sebab faktor inilah PAS mengambil keputusan tidak bersama dengan Pakatan Harapan. Kita sendiri lihat, apabila menang sahaja Pakatan Harapan, sudah mula ada desakan agar gugurkan status agama dan bangsa di kad pengenalan, desakan agar Jakim ditutup dan peranan Majlis Agama Islam dihadkan bidang kuasanya.

Golongan Liberal juga lantang mendesak agar maknyah-maknyah tidak boleh ditangkap, orang yang membuat maksiat di dalam bilik tidak boleh diganggu dan lain-lain yang mencabar kewibawaan Islam. Golongan ini ada bersama Pakatan Harapan dan mereka akan memperjuangkan hak-hak yang jelas bertentangan dengan Islam. Perlu ada desakan dari umat Islam agar desakan seumpama itu dapat dibendung dan PAS juga bersedia bertemu dengan kerajaan untuk membincangkan hal ini.

Seharusnya apabila berlaku perubahan kerajaan dalam ertikata menyelamatkan Malaysia, kerajaan sekarang sewajarnya berperanan lebih baik dari kerajaan dahulu terutama dalam mempertahankan hak-hak Islam.

Kesempatan ini juga Harakah ingin mendapatkan pandangan Dato’ berkenaan pelaksanaan Tabung Harapan.

Pelaksanaan tabung ini prinsipnya positif kerana menggalakkan rakyat membuat amal dengan menderma dan sebagainya tapi yang peliknya ia diujudkan kononnya meminta rakyat membantu kerajaan mengangani masalah hutang negara. Kerajaan sekarang menggambarkan bahawa hutang negara kini mencecah RM1.08 Trillion yang menunjukkan negara hampir bangkrap kerana sudah hampir kepada 75 peratus KDNK.

Tindakan seumpama itu seolah-olah negara dalam keadaan kecemasan dan kesan negatif yang diterima mengakibatkan index saham menjunam apabila para pelabur menarik diri. Secara rasionalnya mana ada pelabur yang hendak melabur ke negara yang menghadapi kedudukan sebegini. Namun, kita ambil contoh Greece walau pun keadaannya bangrap namun tidak mewujudkan tabung sebegini dan tatkala PAS mula mentadbir kelantan, hutang yang ditinggalkan oleh BN waktu tu mencecah lebih dari RM300 juta tapi PAS tidak mewujudkan tabung untuk meminta duit dari rakyat membantu kerajaan negeri.

Bagi saya, Tabung Harapan ini diwujudkan cuma sebagai alasan untuk tidak melaksanakan janji manifesto dalam tempoh 100 hari sepertimana yang diwar-warkan. Sebenarnya alasan tidak ada duit atau hutang banyak tidak boleh dijadikan sebab kerana sebelum merangka manifesto atau membuat tawaran sewajarnya merujuk kepada sumber kewangan kerana kerajaan mempunyai maklumat berkenaannya. Bukannya janji atau membuat tawaran tanpa mengkaji kedudukan kewangan negara terlebih dahulu.

Dalam hal ini kerajaan sekarang seharusnya melihat kepada beberapa perkara iaitu antaranya apakah sumber negara yang perlu dikembalikan dan hentikan program-programme mbazir. Sekiranya mereka mendakwa dengan adanya penajaan RM40 juta untuk perlawanan bola secara langsung boleh menghasilkan RM250 juta melalui iklan-iklan. Kalau ini benar, rasanya tidak ada keperluan untuk mewujudkan tabung namun kerajaan harus ingat siaran ini akan berlaku persaingan dengan stesyen TV lain seperti Astro yang membeli sendiri siaran terbabit.

Ada juga yang menyebut kaedah tabungan ini pernah dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan iaitu Tabung Serambi Mekah.

Konsep Tabung Serambi Mekah berbeza dengan Tabung Harapan ini. Tabung Serambi Mekah yang diwujudkan oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat kerana waktu itu terdapat ramai yang hendak menyumbang duit kepada Kerajaan kelantan yang terdiri dari tauke-tauke besar dan ada di antaranya mempunyai kepentingan tertentu.
Untuk mengelak timbulnya implikasi yang tidak baik, jadi kepada yang ingin menyumbang dimasukkan kedalam tabung berkenaan dan beliau (Tuan Guru Nik Aziz) tidak mengambil tahu siapa dan berapa banyak yang disumbangkan.

Sementara itu Menteri Besar, Exco-exco dan wakil rakyat kerajaan Kelantan juga menginfakkan gaji dan elaun mereka ke tabung ini. Hasil tabungan ini berfungsi sebagai pemangkin kebajikan rakyat dan berbeza dengan Tabung Harapan, minta rakyat tolong kerajaan.
Seperkara lagi, tindakan memotong elaun atau gaji telah pun diamalkan lama oleh Kerajaan Kelantan. Menteri Besar sendiri, hanya mengambil sedikit sahaja sebagai keperluan dan selebihnya semua dimasukkan ke Tabung Serambi Mekah.

Adakah Dato’ bersetuju bahawa tindakan Kerajaan Pakatan Harapan ini untuk menggambarkan kelemahan kerajaan lalu?

Mungkin juga namun beberapa perkara harus dilihat. Hutang sebenar negara ialah lebih kurang RM666 billion yang ditinggalkan oleh kerajaan BN. Yang mengakibatkan melonjak sehingga RM1.08 trillion itu kerana hutang syarikat yang dijamin oleh kerajaan seperti 1MDB. Apa bila 1MDB gagal membayar hutang maka ia ditanggung oleh kerajaan tapi bukan semua item yang perlu ditanggung oleh kerajaan. Sebab itu PAS mencadangkan agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes 1MDB ini kerana rakyat perlu tahu jumlah hutang negara yang sebenar selain itu rakyat juga perlu tahu sumber-sumber yang ada pada kerajaan untuk jaminan pulangan kepada negara.

Seperti contoh Petronas, bekas Perdana Menteri lalu melalui laman sosialnya ada menyebut Petronas masih mempunyai dana tersimpan sebanyak RM124 billion dan beliau mengharapkan agar dana berkenaan tidak digunakan untuk membuat projek pembangunan sepertimana beliau pernah lakukan dahulu. Dahulu dana Petronas digunakan untuk projek pembinaan beberapa bangunan dan lumba kereta formula one sehingga Petronas hilang daya saing di luar.

Selain itu apa yang berlaku ini menunjukkan bahawa ada masalah di dalam Pakatan Harapan sendiri sehingga tidak dapat tunaikan janji dalam tempoh 100 hari selain cabinet kerajaan tidak dapat ditubuhkan keseluruhannya. Kita menyokong membongkar penyelewengan pemimpin terdahulu namun beberapa perkara yang menimbulkan implikasi buruk terhadap rakyat perlu difikirkan seperti menutup beberapa agensi secara mengejut yang mengakibatkan kakitangan hilang pekerjaan.

Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Terengganu, kita tidak memecat terus kakitangan lantikan politik. Mereka boleh bekerja seperti biasa dan akan diberi notis sebulan selepas hari raya ini. Ini memberi peluang kepada mereka untuk mencari pekerjaan lain.

Bukan semua agensi ditubuhkan atas lantikan politik tetapi ada juga bersebabkan keperluan ketika itu. Rakyat kini menanti janji-janji Pakatan Harapan namun mereka dilihat seolah-olah bersifat dendam kepada orang tertentu. Rakyat terbeban dengan janji yang belum tertunai dan terjebak pula dengan Tabung Harapan.

Apakah pandangan dan harapan PAS?

PAS akan terus memfokuskan gerak kerjanya sepanjang masa dan bukannya ketika pilihan raya sahaja. PAS bukan sahaja parti politik tetapi juga badan dakwah dan tarbiyah.
Kita juga mengharapkan agar jawatankuasa pilihan raya hingga ke peringkat MTD dikekalkan dahulu memandangkan keadaan sekarang masih tidak stabil. Di Perak, Perlis dan Kedah keadaan masih belum stabil.Kemungkinan boleh berlaku Pilihan raya Negeri (PRN) wala pun di Kedah, PAS telah menawarkan kerajaan perpaduan untuk menyelesaikan masalah namun tidak diterima. Kalau tidak ada jalan keluar, mungkin terpaksa berlaku PRN walau pun sebaiknya kita tidak mahu ia berlaku kerana melibatkan kos dan urusan-urusan lain yang berkaitan. – HARAKAHDAILY 6/6/2018

- Advertisement -