Manifesto PH tidak dikaji dengan teliti

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil keputusan untuk menangguhkan sementara janji 100 hari dalam manifesto Pilihan raya Umum ke 14 atas alasan keadaan kewangan negara yang tidak baik.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata perkara itu menunjukkan bahawa manifesto kerajaan Harapan tidak dikaji dengan teliti sehingga menyebabkan mereka terpaksa akur bahawa segala janji mereka tidak dapat dilaksanakan dalam masa 100 hari.

Perkara ini katanya, membuktikan mainan politik persepsi adalah satu perkara yang tidak jujur dan tidak baik kepada rakyat.

Beliau berkata, rakyat yang bersifat demanding atau mendesak akan terus menekan kerajaan sekarang kerana melalui janji itulah yang menyebabkan mereka mengundi kerajaan yang ada sekarang.

“Saya menasihatkan agar kerajaan untuk bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan janji-janji itu dapat ditunaikan, manakala janji yang telah ditawarkan di peringkat kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu akan ditunaikan oleh PAS demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan diminta jangan bermain dengan persepsi rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka maka kepercayaan rakyat itu janganlah dikhianati.

Katanya Islam mengajar supaya wajib menunaikan janji yang mereka telah ungkapkan dan ini adalah sebahagian dari sifat orang yang berjaya. – HARAKAHDAILY 6/6/2018

- Advertisement -