Ali K.W perluas Islam di Wilayah Himyar

- Advertisement -

KEMENANGAN Islam dalam Peristiwa Fathu Makkah pada 8H telah membuka mata seluruh penduduk Tanah Arab. Quraisy sebagai bangsa terkuat telah tunduk kepada Islam dan seluruh berhala yang disyirikkan dengan Allah telah dihancurkan. Sepanjang tahun 9H pula, telah menyaksikan gerombolan manusia masuk Islam dari kalangan Kabilah-kabilah Arab sehingga turunnya Surah al-Fath. Keadaan ini didorong oleh kejayaan Islam dalam Perang Hunain, Perang Thaif dan Perang Tabuk yang berlaku dalam tahun 9H. Siri-siri peperangan ini telah memberikan kekuatan yang besar kepada Islam, di mana bukan sahaja Makkah dapat ditawan, bahkan Rom juga telah ditewaskan.

- Advertisement -

Namun begitu, Baginda S.A.W tidak berpuas hati kerana masih terdapat banyak Kabilah Arab yang belum masuk Islam, khususnya yang tinggal di Selatan Makkah ke Yaman. Antara usaha yang dibuat oleh Nabi S.A.W ialah mengutuskan Khalid al-Walid kepada Bani Jadzimah untuk berdakwah dan mengajak mereka masuk Islam. Selepas itu, Baginda S.A.W mengirimkan lagi pasukan pendakwah terdiri dari Saidina Ali bin Abi Talib ke San’a, Muaz bin Jabal ke Taiz Abu Musa Ashaari ke Zabid. Tujuan utama pengiriman mereka adalah untuk mengajak orang-orang Yaman memeluk Islam setelah Makkah telah ditakluki.

Perkembangan Islam di Yaman selepas Fathu Makkah

Selepas tamatnya Perang Tabuk, Rasulullah S.A.W tiba di Madinah pada hujung Ramadan 9H, dan Baginda S.A.W mulai didatangi oleh kaum-kaum yang diseru kepada Islam selepas Fathu Makkah. Yang terawal datang kepada Nabi S.A.W ialah Shurad al-Azdi yang memeluk Islam dan diperintah berdakwah di Kota Jurays yang didiami oleh Kabilah Yaman. Setelah dikepung dan sebahagian dibunuh kerana menentang, orang Yaman akhirnya masuk Islam. Kemudian, Raja-raja Himyar iaitu al-Harith bin Abdul Kulal dan Nu’aim bin Abdul Kulal serta Nu’man (Raja Dzu Ru’ain, Ma’afir dan Hamdan) telah memeluk Islam. Mereka semua menyambut seruan yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W kepada seluruh penduduk dan Kabilah Arab melalui pengutusan surat dan wakil-wakil.

Perkembangan ini, walau bagaimanapun belum dapat memuaskan hati Rasulullah S.A.W. Ini sebabkan kerana masih banyak Kabilah Arab di Daerah Najran yang belum memeluk Islam. Sebelumnya, Bani Abdul Qais yang beragama Nasrani telah mulai menerima Islam, seperti mana Islamnya sesetengah Kabilah Arab Nasrani di Syam. Bagi mengukuhkan perkembangan Islam di Selatan Tanah Arab, dalam bulan Rabiul Awal 10H, Nabi S.A.W telah mengutuskan Khalid al-Walid untuk berdakwah kepada Bani al-Harith bin Kaab supaya memeluk Islam. Setelah berjaya di-Islamkan, Khalid al-Walid berada di sana untuk mengajar Islam sehingga menjelang Ramadan 10H.

Pelantikan Ali Abi Talib sebagai Qadhi Yaman

Banyak riwayat menyebutkan bahawa Khalid al-Walid hanya berjaya meng-Islamkan Bani al-Harith bin Kaab sahaja, sedangkan dalam masa enam bulan, tidak ada kabilah lain yang menerima Islam. Untuk mengatasi masalah ini, Rasulullah S.A.W yang memanggil Khalid al-Walid pulang dan melantik Amr bin Hazam untuk mengajar agama kepada Bani al-Harith bin Kaab. Melengkapi usaha untuk meng-Islamkan seluruh Daerah Yaman ini, pada 21 Ramadan 10H, Ali bin Abi Talib telah dikirim ke Najran untuk menjadi pemungut zakat, dan seterusnya menjadi Qadhi di Yaman.

Tujuan utamanya adalah untuk meluaskan dakwah Islam kepada pendudukan Yaman tanpa peperangan. Kedatangan Ali Abi Talib sebagai pahlawan Quraisy yang terkenal diterima oleh orang Yaman, di mana Bani Hamdan telah masuk Islam kesemuanya, sehingga mendapat doa khusus dari Nabi S.A.W. Kemudian, kerana peranan Ali Abi Talib sebagai Qadhi di Yaman iaitu di tengah-tengah bangsa yang bertamadun, beliau didoakan oleh Rasulullah S.A.W supaya diberikan ilmu dalam bidang kehakiman kepadanya. Sejak peristiwa ini, bukan sahaja Yaman dikuasai oleh Islam, tetapi Ali Abi Talib sendiri menjadi Tokoh Kehakiman yang terkenal pada zaman Khualafa ar-Rasyidin.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
21 Ramadan 1439 / 6 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 6/6/2018

- Advertisement -