Tafakkur dan Tafaqquh Juz 20

- Advertisement -

ALLAH S.W.T telah mengurniakan rahmat-Nya melalui kejadian siang dan malam. Dia menjadikan malam gelap gelita supaya bersesuaian dengan waktunya untuk manusia berehat daripada keletihan kerja dan dijadikan siang terang benderang supaya dapat manusia berusaha mendapatkan rezeki harian mereka. Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

أَلَمْ يَرَوْا أَنَّا جَعَلْنَا اللَّيْلَ لِيَسْكُنُوا فِيهِ وَالنَّهَارَ مُبْصِرًا ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

“Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.”

[al-Naml: 86]

Sesungguhnya, Allah menjadikan bumi berpusing pada paksinya adalah untuk kemaslahatan hidup makhluk bumi. Ini kerana apabila bumi tidak berpusing pada paksinya di hadapan matahari, maka tidak akan ada proses penggantian siang dan malam. Para ahli Sains menyatakan bahawa selama 24 jam bumi berpusing mengelilingi paksinya, ketika wajah bumi berhadapan dengan matahari maka ia mengalami siang. Apabila wajah bumi membelakangi matahari, ia menjadi gelap dan berlakulah waktu malam.

Kejadian siang dan malam bagi sesebuah planet bergantung pada kedudukan paksinya dan kedudukannya menerima sinaran matahari. Sekiranya paksi tersebut tidak sesuai dengan kedudukannya dengan cahaya matahari, maka pertukaran siang dan malam tidak dapat berlaku. Sebagai contoh, planet Uranus yang terdapat di dalam Sistem Suria mengalami waktu gelap selama puluhan tahun akibat tidak menerima cahaya matahari. Ada sebahagian kawasan planet yang mempunyai waktu siang sepanjang masa dan sebahagian lagi mengalami malam sepanjang masa. Di sinilah rahmat Allah kepada penduduk planet bumi dengan keizinan-Nya terjadi siang dan malam dalam tempoh 24 jam.

Para Saintis telah berjaya mendapatkan gambar yang menunjukkan kawasan antara siang dan malam di bumi setelah pelbagai usaha dilakukan dengan menggunakan satelit dan teknologi canggih lain. Mereka telah menemui adanya garis lembut yang memisahkan antara siang dan malam. Kenyataan ini pada hakikatnya telah disebut dalam al-Quran semenjak 14 abad yang lalu.

Tadabbur serta tafakkurlah al-Quran.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
20 Ramadan 1439H – HARAKAHDAILY 5/6/2018

- Advertisement -