Perkukuhkan hubungan dua hala – Dr Samsuri

- Advertisement -
DUNGUN: Pertemuan tidak rasmi dalam kunjungan hormat oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah bagi mengukuhkan hubungan dua hala.
 
Sehubungan itu, Dr Samsuri berkata, pihaknya berbesar hati dengan penerimaan Tun Dr Mahathir secara positif pada pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya
itu kelmarin.
 
Menurutnya, dalam pertemuan pertama tidak rasmi itu tiada agenda khusus yang dibincangkan antara kedua-dua pihak.
 
“Pertemuan itu adalah pertemuan tidak rasmi dan kunjungan itu tidak ada apa-apa agenda khusus. Apa pun, kami amat berbesar hati atas penerimaan Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
“Apa yang pentingnya ialah bahawa keperluan untuk kita (PAS) perkasakan, perkukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat. 
 
“Hubungan itu haruslah, walaupun mungkin berlaku perbezaan politik dan suasana politik Malaysia sekarang ini sangat unik sebenarnya. Bukan Terengganu sahaja yang mempunyai perbezaan pentadbiran politik dengan Kerajaan Persekutuan. Ada beberapa negeri yang lain. 
 
“Keperluan menjalinkan hubungan yang lebih baik. Alhamdulillah, kami di peringkat kerajaan negeri Terengganu membawa mesej, kami amat menghargai akan peranan, hubungan yang perlu diperkukuhkan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat. 
 
“Alhamdulillah, Tun (Mahathir) juga memberi respon yang sangat positif. Kita ingin membina negeri dan negara ke hadapan. Perkara yang lepas itu sudah lepas, dan kita ingin membina (negara) ke hadapan,” jelasnya.     
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Kesyukuran dan Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar Terengganu di Masjid Hadhari, Paka, di sini kelmarin.
 
Ditanya adakah Kerajaan PAS Terengganu membincangkan isu tuntutan royalti, Dr Ahmad Samsuri memaklumkan pihaknya, belum bersedia mendedahkan apa-apa perbincangan itu kepada pihak media.
 
Hadir sama pada majlis itu, Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid. -HARAKAHDAILY 6/6/2018
- Advertisement -