Geoeskatologi (20): Parsi

- Advertisement -

PARSI merujuk kepada sebuah kaum yang menjadi penerus Tamadun Mesopotamia. Kuasa Parsi pada dinasti pertama iaitu Achaemenid atau lebih tepatnya di era kepimpinan Cyrus The Great pernah melebar daripada sempadan India di sebelah Timur hingga ke Eropah Timur di sebelah Barat, serta mencecah pergunungan Caucasus di Utara. Pada Dinasti Sasanid, Parsi pernah meluaskan pengaruhnya ke Semenanjung Arab sepanjang pesisir teluk Parsi hingga ke Yaman.

- Advertisement -

Nabi S.A.W pernah menyebutkan berkenaan masa depan Parsi. Sabda Rasulullah S.A.W:

تَغْزُونَ جَزِيرَةَ الْعَرَبِ فَيَفْتَحُهَا اللهُ ثُمَّ فَارِسَ فَيَفْتَحُهَا اللهُ ثُمَّ تَغْزُونَ الرُّومَ فَيَفْتَحُهَا اللهُ ثُمَّ تَغْزُونَ الدَّجَّالَ فَيَفْتَحُهُ اللهُ

“(Maksudnya:) Kamu akan memerangi Semenanjung Arab maka Allah akan membukanya untuk kamu. Kemudian Parsi maka Allah akan membukanya untuk kamu. Kemudian Rom maka Allah akan membukanya untuk kamu. Kemudian Dajjal maka Allah akan membukanya untuk kamu.”

[HR Muslim]

Peperangan Islam dan Parsi telah berlaku pada zaman Umar bin al-Khattab. Waktu itu Parsi dipimpin oleh Dinasti Sasanid. Perang Qadisiyah dan Nahawand antara perang besar yang berjaya melenyapkan terus Empayar Parsi di atas muka bumi ini.

Di era kelemahan Islam, bangsa Parsi melalui Dinasti Safavid sekali lagi berjaya memerintah wilayah sebahagian Asia Tengah Asia Selatan. Walaupun mereka dikategorikan oleh sejarawan sebagai sebahagian empayar Islam, tetapi sebahagian umat Islam tidak mengiktiraf mereka kerana berakidah Syiah.

Era Kolonialisasi, Kerajaan Pahlavi ditegakkan tahun 1925 dengan bantuan British mengguling Dinasti Qajar. Namun sempadannya semakin mengecil membentuk peta Iran hari ini. Reva Pahlavi menjadi Raja terakhir Parsi, apabila digulingkan tahun 1971 melalui Revolusi Khomenei, yang menukar sistem pemerintahan daripada Monarki kepada Republik dan mengiktiraf demokrasi. Kini, Parsi hanya tinggal pada bahasa sebahagian penduduk Iran, Afganistan dan Tajikistan sahaja.

Walaupun Parsi boleh dikatakan sudah terhenti dalam catatan sejarah, namun Hadis di atas turut dijadikan rujukan sebahagian ulamak dalam meneliti fenomena akhir zaman. Mereka berpendapat peperangan antara Islam dan Parsi sekali lagi akan berlaku, selepas perang di Semenanjung Arab yang juga sekali lagi akan berlaku di akhir zaman. Pandangan ini disokong dengan beberapa Hadis, antaranya serangan tentera Imam Mahdi dari Timur. Sabda Rasulullah S.A.W:

يقتتل عند كنزكم ثلاثة كلهم ابن خليفة، ثم لا يصير إلى واحد منهم، ثم تطلع الرايات السود من قبل المشرق، فيقتلونكم قتلاً لم يقتله قوم ثم ذكر شيئاً لم أحفظه فإذا رأيتموه فبايعوه ولو حبواً على الثلج، فإنه خليفة الله المهدي

“Akan berperang tiga pihak di sisi Kaabah, kesemuanya dari kalangan putera Raja. Tidak ada seorang pun yang bakal beroleh takhta yang direbutkan. Kemudian muncul panji hitam dari arah Timur, maka mereka memerangi kamu dengan peperangan yang kamu tidak pernah hadapi. (Kemudian Nabi S.A.W menyebutkan beberapa perkara yang tidak diingati perawi.) Sekiranya kamu sempat dengannya maka berbaiahlah padanya sekalipun terpaksa merangkak di atas salji. Kerana sesungguhnya dialah khalifah Allah al-Mahdi.”

[HR Ibn Majah]

Jika Hadis pertama dikaitkan dengan Hadis kedua, maka ia bermakna Parsi juga akan diperangi dan dibuka umat Islam. Parsi yang dimaksudkan lebih merujuk kepada wilayah Parsi Sasanid yang wujud pada zaman Nabi S.A.W. Pusatnya di Fars, satu negeri di Iran tetapi wilayahnya turut melibatkan, Iraq, sebahagian Asia Tengah, Afghanistan dan Pakistan. Maka negara-negara ini antara yang berpotensi untuk diperangi oleh tentera Islam akhir zaman. Bermula era Pax Americana, konflik tidak pernah terhenti di kawasan tersebut yang mencetuskan berbagai bentuk ketegangan, peperangan dan campurtangan politik serta ketenteraan tidak berkesudahan.

Mungkin Khilafah al-Mahdi sahaja yang bakal mengakhiri segalanya.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Hadis Geo-Eskatologi; Lokasi dan Kronologi akhir zaman yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
20 Ramadan 1439
5 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 6/6/2018

 

- Advertisement -