Kelantan-Terengganu tingkat kerjasama

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Sebuah jawatankuasa bersama antara kerajaan Kelantan dan Terengganu akan dibentuk tidak lama lagi bagi meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negeri.

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, Kelantan dan Terengganu dapat menjalinkan kerjasama strategik dalam pelbagai aspek.

“Alhamdulillah kita mempunyai sahabat yang karib iaitu kerajaan Terengganu, apa sahaja pandangan dan cadangan kita terima dengan baik.

“Satu jawatankuasa akan dibentuk di peringkat dua kerajaan negeri untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya pada program ceramah Badar al Kubra di sini baru-baru ini.

Hadir sama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; timbalannya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Menurut Ustaz Ahmad langkah pertama yang boleh dilaksanakan iaitu melakukan penyelarasan antara portfolio kerajaan negeri.

Kata beliau juga kerjasama antara dua negeri di Pantai Timur itu sangat penting dalam usaha PAS untuk menjadikan Kelantan dan Terengganu sebagai benteng dari fahaman songsang.

“Semoga kemenangan ini memberi tanggungjawab bersama kepada kita untuk mengukuhkan tapak Islam, di Kelantan dan Terengganu yang terkenal dengan asas agama yang kuat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/6/2018

- Advertisement -