Geoeskatologi (19): Constantinople

- Advertisement -

CONSTANTINOPLE adalah sebuah Kota Rom yang didirikan oleh pendiri Empayar Byzantine, Constantine The Great. Ia menjadi Pusat Pemerintah Rom Timur bermazhab Kristian Ortodoks, yang berpisah daripada Rom Barat.

- Advertisement -

Lokasinya kini di Istanbul, Turki bahagian Eropah. Bahagian Selatan kota ini berada di sebelah laut, di kuala Selat Boshphorus yang menghubungkan Laut Mediterranean dan Laut Kaspia atau Laut Hitam. Bahagian Barat Daya kota itu pula berada di daratan.

Kota ini terkenal dengan keteguhan temboknya. Umat Islam berusaha sejak zaman Saidina Umar al-Khattab untuk membuka kota tersebut. Malangnya ia hanya dapat dibuka pada tahun 1453 Masihi, 847 tahun selepas kewafatan Baginda S.A.W. Constantinople jatuh di tangan Sultan Muhammad al-Fateh daripada Dinasti Uthmaniah.

Umat Islam sangat gigih untuk membuka Kota Constantinople. Mereka berlumba bagi menjadi tentera pembuka kota tersebut ekoran Hadis Nabi S.A.W yang bersabda:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ فَلَنِعْمَ الْاَمِيرُ اَمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ

“Constantinople bakal dibuka. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.”

[HR Ahmad]

Ramai yang tidak mengetahui bahawa kota tersebut bakal dibuka sekali lagi di akhir zaman. Bahkan sebahagian ulamak berpendapat pembukaan yang berlaku di zaman Uthmaniah bukanlah pembukaan yang dimaksudkan oleh Nabi S.A.W. Ia merujuk kepada Hadis Nabi S.A.W:

عُمْرَانُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ خَرَابُ يَثْرِبَ وَخَرَابُ يَثْرِبَ خُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ وَخُرُوجُ الْمَلْحَمَةِ فَتْحُ قُسْطَنْطِينِيَّةَ وَفَتْحُ الْقُسْطَنْطِينِيَّةِ خُرُوجُ الدَّجَّالِ.

“Kepesatan Baitulmaqdis adalah tanda keruntuhan Madinah. Keruntuhan Madinah adalah tanda berlakunya perang besar. Perang besar adalah tanda berlakunya pembukaan Kota Constantinople. Pembukaan Constantinople adalah tanda keluarnya Dajjal.”

[HR Abu Daud]

Merujuk kepada Hadis di atas, Nabi S.A.W menyatakan bahawa pembukaan Kota Constantinople akan berlaku selepas tercetusnya Malhamah. Secara lebih tepat, ia akan berlaku selepas pakatan Islam-Rom terputus dan masing-masing kembali berperang sesama sendiri.

Satu lagi sudut yang menarik untuk diperbahaskan adalah mengenai situasi Constantinople hari ini. Bagaimana ia mungkin akan dibuka sedangkan sudah berada di tangan orang Islam?

Terdapat dua pandangan mengenai perkara ini. Pertama, Constantinople akan dibebaskan daripada sistem yang tidak Islamik kepada sistem Islam. Umum mengetahui hari ini perlembagaan Turki berpaksikan ideologi Sekular yang sangat pekat. Walaupun umat Islam membentuk komposisi 90 peratus daripada rakyat Turki, tetapi mereka tidak mampu mempraktiskan Islam secara sepenuhnya kerana kekangan sistem pemerintahan yang ada. Beberapa kali pendekatan Islam cuba untuk diterapkan seperti Sistem Perbankan Islam dan Sistem Pendidikan Islam, namun dihalang oleh Perlembagaan menyebabkan parti pemerintah yang menang pilihan raya digulingkan dan diharamkan, namun mereka masih terus berusaha kerana percaya, Constantinople bakal dibuka jua akhirnya daripada kekangan sistem yang ada.

Menurut pandangan ini, tidak akan berlaku apa-apa perkara besar terhadap keselamatan Turki. Proses pembukaan tersebut berlaku dengan cara yang aman, sama ada melalui proses demokrasi ataupun kebangkitan rakyat yang memaksa pemerintah akur.

Pandangan tanpa perang ini seiring dengan Hadis Nabi S.A.W:

سَمِعْتُمْ بِمَدِينَةٍ جَانِبٌ مِنْهَا فِي الْبَرِّ وَجَانِبٌ مِنْهَا فِي الْبَحْرِ ؟ قَالُوا : نَعَمْ ، يَا رَسُولَ اللهِ . قَالَ : لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَغْزُوَهَا سَبْعُونَ أَلْفًا مِنْ بَنِي إِسْحَاقَ ، فَإِذَا جَاءُوهَا نَزَلُوا ، فَلَمْ يُقَاتِلُوا بِسِلَاحٍ وَلَمْ يَرْمُوا بِسَهْمٍ ، قَالُوا : لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ ، فَيَسْقُطُ أَحَدُ جَانِبَيْهَا الَّذِي فِي الْبَحْرِ ، ثُمَّ يَقُولُوا الثَّانِيَةَ : لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ . فَيَسْقُطُ جَانِبُهَا الْآخَرُ . ثُمَّ يَقُولُوا الثَّالِثَةَ : لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ . فَيُفَرَّجُ لَهُمْ ، فَيَدْخُلُوهَا فَيَغْنَمُوا ، فَبَيْنَمَا هُمْ يَقْتَسِمُونَ الْمَغَانِمَ إِذْ جَاءَهُمُ الصَّرِيخُ ، فَقَالَ : إِنَّ الدَّجَّالَ قَدْ خَرَجَ ، فَيَتْرُكُونَ كُلَّ شَيْءٍ وَيَرْجِعُونَ

“Adakah kamu pernah mendengar tentang sebuah kota sebahagiannya di darat dan sebahagian di laut? Jawab sahabat: Ya. Nabi bersabda: Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah ia diperangi oleh 70000 orang keturunan Nabi Ishak. Apabila mereka mendatangi kota tersebut, tidak berlaku perang dengan senjata mahupun panah. Mereka cuma berkata: LailahaillAllah, maka runtuhlah salah satu sudutnya. Kemudian mereka berkata lagi: LailahaillAllah, maka runtuhlah satu lagi sudutnya. mereka berkata kali ketiga: LailahaillAllah, lalu diberikan kemenangan. Maka mereka masuk dan memperoleh ghanimah. Ketika mereka sebagai membahagikan ghanimah, ketika itulah muncul suara berteriak: Dajjal telah muncul! Menyebabkan mereka meninggalkan semua itu lalu bergegas pulang.”

[HR Muslim]

Pandangan kedua pula menjangkakan bahawa Turki bakal berhadapan dengan krisis peperangan. Umum mengetahui bahawa Ankara kini lebih cenderung kepada blok Timur pasca kudeta gagal 2016. Walau bagaimanapun, Turki menjadi negara yang paling dekat dengan rantau kekuasaan Barat. Sekiranya berlaku pertempuran antara blok, Turki akan menjadi negara barisan hadapan dari sudut lokasi. Kedudukannya yang berada di Selat Boshphorus sangat strategik kepada Barat sebagai akses laut ke Heartland, ditambah pula dengan Crimea sudah menjadi wilayah kekuasaan Rusia.

Pandangan kedua ini lebih menepati Hadis Nabi S.A.W yang berikut:
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَنْزِلَ الرُّومُ بِالْأَعْمَاقِ أَوْ بِدَابِقٍ فَيَخْرُجُ إِلَيْهِمْ جَيْشٌ مِن الْمَدِينَةِ مِنْ خِيَارِ أَهْلِ الْأَرْضِ يَوْمَئِذٍ فَإِذَا تَصَافُّوا قَالَتِ الرُّومُ : خَلُّوا بَيْنَنَا وَبَيْنَ الَّذِينَ سَبَوْا مِنَّا نُقَاتِلْهُمْ . فَيَقُولُ الْمُسْلِمُونَ : لَا وَاللهِ لَا نُخَلِّي بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ إِخْوَانِنَا . فَيُقَاتِلُونَهُمْ فَيَنْهَزِمُ ثُلُثٌ لَا يَتُوبُ اللهُ عَلَيْهِمْ أَبَدًا وَيُقْتَلُ ثُلُثُهُمْ أَفْضَلُ الشُّهَدَاءِ عِنْدَ اللهِ وَيَفْتَتِحُ الثُّلُثُ لَا يُفْتَنُونَ أَبَدًا فَيَفْتَتِحُونَ قُسْطَنْطِينِيَّةَ فَبَيْنَمَا هُمْ يَقْتَسِمُونَ الْغَنَائِمَ قَدْ عَلَّقُوا سُيُوفَهُمْ بِالزَّيْتُونِ إِذْ صَاحَ فِيهِمِ الشَّيْطَانُ : إِنَّ الْمَسِيحَ قَدْ خَلَفَكُمْ فِي أَهْلِيكُمْ فَيَخْرُجُونَ وَذَلِكَ بَاطِلٌ فَإِذَا جَاءُوا الشَّامَ خَرَجَ فَبَيْنَمَا هُمْ يُعِدُّونَ لِلْقِتَالِ يُسَوُّونَ الصُّفُوفَ إِذْ أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Tidak akan terjadi hari kiamat, sehingga orang Rom turun di Kota Amaq (lembah Antioch, Selatan Turki) dan di Dabiq (berhampiran Aleppo, Syria). Kemudian datanglah suatu pasukan dari Madinah, yang merupakan penduduk pilihan di muka bumi kala itu. Ketika mereka sudah berbaris untuk berperang, maka berkatalah orang Rom: “Biarkanlah (jangan kalian halangi) antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk Islam) untuk kami perangi. Maka kaum Muslimin berkata, Demi Allah, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Maka berperanglah kedua pihak ini. Pusingan pertama, lari satu pertiga dari umat Islam yang Allah tidak akan menerima taubatnya. Pusingan kedua, mati pula satu pertiga yang merupakan sebaik-baik syuhada. Pusingan ketiga, dimenangi oleh satu pertiga yang baki. Setelah mereka berjaya membuka Kota Constantinople. Mereka membahagikan harta rampasan perang dan menggantungkan pedang-pedang dengan zaitun. Ketika itu muncul satu khabar dari syaitan, mengatakan Dajjal telah pun keluar bagi mengganggu anak isteri mereka. Maka mereka pun keluar mendapatkannya. Walhal ianya adalah batil. Ketika mereka balik ke Syam, pada waktu itulah Dajjal keluar. Dalam mereka dalam persiapan untuk memerangi Dajjal, masuk ketika waktu Subuh dan iqamah dilaungkan, mereka memperbetulkan saf, tiba-tiba turunlah Nabi Isa Ibn Maryam A.S.”

[HR Muslim]

Jarak masa antara pembukaan Kota Constantinople dan kemunculan Dajjal hanyalah kira-kira setahun. Sabda Rasulullah S.A.W:

بين المَلْحَمةِ وفَتْحِ المدينةِ سِتُّ سِنِينَ، ويُخرُجُ المَسيحُ الدَّجَّالُ في السَّابعةِ.

“Tempoh antara berlakunya Malhamah dan pembukaan Kota (Constantinople) adalah enam tahun. Dajjal akan muncul pada tahun ke tujuh.”

[HR Abu Daud]

Wallahualam.

(Dipetik dari buku Hadis Geoeskatologi yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
19 Ramadan 1439
4 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 4/6/2018

 

- Advertisement -