Anak muda pencetus revolusi rakyat

- Advertisement -

POLITIK pada pilihan raya ke-14 telah mencetuskan Tsunami Rakyat yang dapat dilihat di seluruh tanah air setelah negara ini dikuasai oleh Perikatan – Barisan Nasional selama 6 dekad. Kebanyakkan negeri-negeri di pesisiran Pantai Barat jatuh ke Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan pelbagai ideologi bagi menumbangkan pengaruh Barisan Nasional yang telah lama bertapak di bumi Malaysia ini. Keadaan di Kelantan dan Terengganu pula menunjukkan PAS mampu mengekalkan penguasaan sejak memenangi pilihan raya ke-2 pada tahun 1964. Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia masih subur dengan amalan demokrasi dalam Pilihan Raya Umum yang dijalankan sejak 1959.

- Advertisement -

Prof Dr Yusof al-Qardhawi berpendapat bahawa demokrasi bukanlah sistem yang terbaik tetapi tidak pula bermakna demokrasi tidak boleh dimanfaatkan bagi meninggikan nama Allah dan Syariat Islam. Beliau sederhana menegaskan bahawa sehingga kita menemui satu sistem politik yang lebih baik daripada demokrasi, maka hendaklah kita manfaatkan demokrasi. Islam menghargai akal fikiran manusia yang dikurniakan oleh Allah dan juga menghormati hak bersuara oleh rakyat. Tetapi Islam tidak meletakkan akal fikiran manusia sebagai suatu perkara tertinggi sehingga mengabaikan al-Quran dan as-Sunnah yang telah diwasiatkan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Hampir daripada setengah kerusi Parlimen yang pernah dimenangi oleh PAS pada PRU13 mampu dikekalkan penguasaan oleh PAS iaitu Kubang Kerian, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Rantau Panjang, Kuala Terengganu, Pasir Mas, Tumpat, Marang, Dungun, Kuala Krai, Pasir Puteh, Kuala Nerus dan Bachok. Manakala beberapa kerusi Parlimen yang berpotensi dimenangi oleh PAS sejak PRU13 turut dimenangi pada PRU14 iaitu Jerai, Pendang, Sik, Setiu dan Kemaman.

Jumlah kerusi Dun dalam PRU14 meningkat daripada 85 kepada 90 jika dibandingkan dengan PRU13 yang menjadikan pencapaian kedua terbaik sepanjang sejarah PAS terlibat dalam Pilihan Raya Umum selepas PRU10 yang ketika itu PAS menggagaskan Barisan Alternatif bagi menyaingi Barisan Nasional ketika itu. PRU10 menyaksikan pemecatan Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjadikan pengundi Melayu meletakkan undi mereka kepada Barisan Alternatif. Pada waktu tersebut menjadikan Negeri Terengganu dapat dikuasai kembali setelah berada di bawah kekuasaan Umno-Perikatan semenjak 1961. Tapi yang menarik dalam PRU14 ialah PAS bersendirian memasuki politik menentang dua buah blok gergasi iaitu Barisan Nasional dan PH. Hal ini menunjukkan PAS mempunyai kekuatan tersendiri untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang jika dibandingkan dengan gabungan dua blok gergasi yang lain.

Keadaan pengaruh PAS di Kedah dan Pahang menunjukkan meningkat walaupun bersendirian iaitu masing-masing sebanyak 15 dan 8 kerusi dalam PRU14 jika dibandingkan dalam PRU13 iaitu masing-masing sebanyak 9 dan 2 kerusi. Keadaan di Selangor dan Perak menunjukkan pengaruh PAS berkurangan masing-masing daripada 15 dan 5 kerusi dalam PRU13 kepada 1 dan 3 kerusi dalam PRU14. Keadaan PAS di Sabah dan Sarawak pula menyaksikan PAS semakin melebarkan sayapnya di kawasan tersebut walaupun masih tidak memenangi dalam PRU14 ini. Hal ini mungkin disebabkan ‘parti-parti dari Semenanjung’ masih kurang dapat sambutan di Bumi Kenyalang dan Negeri Bawah Bayu serta dakwah Islam di sana masih kurang bagi memahamkan Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.

Situasi di kampus juga akan berubah keadaan yang selama ini menyokong kerajaan yang lama iaitu Barisan Nasional kepada PH mahupun Gagasan Sejahtera. Hal ini mungkin akan wujudnya wadah politik baharu di kampus masing-masing dan juga Mahasiswa yang lebih cakna kepada politik semasa dalam pembawaan kepimpinan yang mereka terajui selama ini untuk kepentingan masing-masing. Peranan Mahasiswa dalam kampus begitu besar untuk menentukan keadaan politik pada masa akan datang. Jika dahulu lihat PAS dengan Perikatan bersama-sama menubuhkan Barisan Nasional pada 1970 sehingga berjaya menyuarakan pandangan Islam dalam negara seperti penghapusan iklan judi dan iklan arak dalam media massa, penghapusan arak dan majlis tari-menari dalam majlis-majlis kerajaan serta kewujudan azan untuk tiap-tiap waktu sembahyang di dalam radio mahupun televisyen.

Perkara yang menariknya ialah pengaruh Islam masuk di Kementerian-kementerian, ketenteraan dan universiti-universiti yang menyebabkan ramai orang mula berjinak mengenali Islam dengan lebih dekat. Hasil PAS berdominasikan Islam sewaktu menganggotai kerajaan suatu ketika dahulu menyebabkan di mana suara-suara Islam mula mendesak supaya melaksanakan Islam dalam diri kerajaan. Mereka yang muda di masa itu di kampus kini menjadi Ketua Jabatan. Mereka yang muda di masa itu sekarang menjadi Ketua Hakim. Mereka yang muda di masa itu menjadi Peguam Negara sekarang. Mereka yang muda di masa itu kini sudah menjadi Pegawai-pegawai Tertinggi tentera dan polis. Hal ini menunjukkan generasi Y sekarang mempunyai peranan yang besar di dalam melebarkan Islam walaupun sekarang ini dilihat tiada berupaya merubah struktur kepimpinan di peringkat nasional.

MUHAMMAD ZAINOL
Mahasiswa – HARAKAHDAILY 3/6/2018

- Advertisement -