Perutusan Nuzul Al-Quran MB Terengganu

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, syukur kita panjatkan kepada Allah S.W.T kerana masih lagi memberikan kesempatan kepada kita berada di bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Ramadan hadir bersama di dalamnya suatu peristiwa agung iaitu Nuzul Al-Quran, sebagaimana firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ [البقرة: 185]

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, yang menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” [Al-Baqarah: 185]

Al-Quran itu mesti dibaca, dihayati dan diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan umat manusia. Bahkan lebih besar, kita mempunyai tanggungjawab untuk memperjuangkan isi kandungannya di semua peringkat sama ada individu, keluarga, masyarakat, negeri dan negara.

Kemenangan kita di Terengganu haruslah diisi dengan panduan Al-Quran dan As-Sunnah sehingga benar-benar menjadi negeri yang cemerlang pentadbirannya, berkembang ekonominya dan diberkati oleh Allah. Kitab Suci Al-Quran wajib diletakkan di tempat yang tertinggi dalam pentadbiran negeri, kegiatan masyarakat dan individu.

Bagi mencapai hasrat dan cita-cita untuk mendidik rakyat melalui Pendidikan Al-Quran, Kerajaan Negeri Terengganu merancang untuk mewujudkan Sekolah Menengah Agama di setiap Parlimen dan Sekolah Rendah Agama di setiap Dun serta memberi geran tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Pengajian Pondok. Ini komitmen kerajaan dalam membangunkan pendidikan Al-Quran di Terengganu.

Akhirnya, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Nuzul Al-Quran dan mengajak seluruh rakyat Terengganu untuk bermuhasabah sejauh mana kita telah mengangkat Al-Quran sebagai rujukan dalam sistem kehidupan sama ada dari aspek ekonomi, sosial, politik, pendidikan dan lain-lain.

”Terengganu Maju, Berkat Dan Sejahtera”

YAB DR. AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 1/6/2018

- Advertisement -