Calon MB: Tindakan BN Perlis tidak wajar

Shukri
- Advertisement -

KANGAR: Tindakan Barisan Nasional (BN) menghantar 11 nama calon Menteri Besar dianggap sesuatu yang tidak wajar kerana Menteri Besar sudah dilantik Raja Perlis.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, biar pun Dato’ Seri Azlan Man sudah dilantik sebagai Menteri Besar namun kemelut politik di Perlis tidak menunjukkan petanda kembali damai.

Malah, katanya keadaan kelihatan semakin meruncing sekarang.

Oleh itu, kata beliau PAS Perlis mencadangkan supaya diadakan kerajaan perpaduan di Perlis demi masa depan negeri dan rakyat negeri itu.

“Pilihan Raya Umum (PRU) 14 hampir sebulan berlalu, malangnya Perlis masih gagal membentuk barisan kepimpinan di peringkat kerajaan negeri,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini BN Perlis menghantar 11 nama baharu termasuk pengerusinya, Dato’ Seri Shahidan Kassim dan setiausaha, Dato’ Zahidi Zainul Abidin sebagai calon menteri besar kepada istana.

Mohd Shukri juga berkata, PAS Perlis tidak menuntut sebarang jawatan dalam kerajaan negeri.

“Saya juga menasihati rakan PKR tidak menuntut jawatan Menteri Besar yang sudah diperkenan Tuanku Raja Perlis,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2018

- Advertisement -