Kelas al-Quran Braille di setiap daerah

- Advertisement -
KUALA NERUS: Kerajaan Negeri Terengganu akan mewujudkan kelas mempelajari Al-Quran melalui teknik Braille bagi membantu golongan cacat penglihatan, demikian menurut Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah. 
 
Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO berkata, kelas tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS) di setiap daerah.
 
Maklumnya, pada ketika ini pusat pengajian seumpama hanya terdapat di Kuala Nerus, sedangkan golongan cacat penglihatan terdapat di seluruh pelusuk negeri tersebut.
 
“Saya telah melihat sendiri keadaan bangunan yang telah dijadikan pusat aktiviti mereka antaranya kelas bahagian Al-Quran Braille.
 
“Jadi kita dapat melihat sendiri kedaifan kelas ini kerana tidak ada dinding serta tidak ada sekatan yang membezakan kelas yang ada di sini.
 
“Dari sudut tenaga pengajar seperti yang saya sebut sekiranya PERTIS ada tenaga pengajar, maka mereka akan uruskan. Sekiranya tidak ada kita akan cari serta pastikan kelas itu ada tenaga pengajar untuk meneruskan program kita ini.
 
“Pada peringkat awal pihak kerajaan akan melihat mana-mana premis kerajaan yang boleh digunakan untuk mewujudkan kelas ini contohnya Balai Raya dan Sekolah Islamik di bawah Yayasan Islam Terengganu,” jelasnya ketika lawatan ke situ kelmarin.
 
Tambah beliau, kelas PERTIS diwujudkan pada tahun 2007 bermula dengan seorang tenaga pengajar dan tujuh pelajar, tetapi kini telah mencecah 60 pelajar serta lapan guru.
 
Kelas tersebut beroperasi tiga hari dalam seminggu iaitu hari Ahad, Isnin dan Selasa pada pukul 10 pagi hingga 1 petang.
 
Ujar beliau juga, pihak kerajaan negeri turut berusaha membantu golongan tersebut untuk terlibat dalam perniagaan antaranya dengan memperuntukkan 10 peratus kiosk bagi membantu OKU di negeri itu.
 
Malah jelasnya, kerajaan akan menyediakan pekuang kemahiran untuk didedahkan kepada golongan tersebut dalam membantu mereka berdikari mencari sumber pendapatan.
 
Tambah beliau, pihak kerajaan turut akan berbincang dengan agensi seperti MAIDAM, masjid lain-lain dalam menyelesaikan masalah pengangkutan untuk OKU penglihatan menunaikan ibadat solat Jumaat dan Tarawih. -HARAKAHDAILY 1/6/2018
 
- Advertisement -