Geoeskatologi (15): Bab Ludd

- Advertisement -

BAB LUDD atau disebut sebagai Kota Lod atau Lydda merupakan satu bandar yang berada 15 km pada arah Tenggara Ibu Kota Israel, Tel Aviv. Berada di bawah pentadbiran Wilayah Tengah Israel dan berhampiran dengan ibu negerinya, Ramla.

- Advertisement -

Kedudukannya di sebelah Barat Palestin, dan agak jauh daripada kawasan Baitulmaqdis dan sempadan negara sebelah Timur yang dirintangi dengan Sungai Jordan. Kini memiliki kepadatan kira-kira 75 ribu penduduk.

Walaupun Bab Ludd berada di luar Ibu Kota Tel Aviv, tetapi ia dijadikan pangkalan tentera British sejak era kolonial dan diteruskan oleh kerajaan haram Israel. Tahun 1936 telah dibina lapangan terbang tentera di Bab Ludd. Tetapi atas kepentingannya kepada pentadbiran Israel, ia lebih dikenali sebagai lapangan terbang Tel Aviv.

Selepas pengiktirafan Israel, ia kemudian dijadikan lapangan terbang antarabangsa utama Israel dan dibuka secara komersial. Tahun 1973, lapangan tersebut ditukar nama kepada Ben Gurion International Airport bersempena nama PM pertama Israel.

Terdapat Hadis yang menceritakan mengenai Bab Ludd. Sabda Rasulullah:

إن يخرُجْ وأنا فيكم ! فأنا حجيجُه دونكم ، وإن يخرُجْ ولست فيكم ، فامرؤٌ حجيجُ نفسِه ، واللهُ خليفتي على كلِّ مسلمٍ ، فمن أدركه منكم فليقرَأْ عليه فواتحَ سورةِ الكهفِ ، فإنَّها جِوارُكم من فتنتِه . قلنا : وما لُبثُه في الأرضِ ؟ قال : أربعون يومًا : يومٌ كسنةٍ ويومٌ كشهرٍ ، ويومٌ كجمعةٍ ، وسائرُ أيَّامِه كأيَّامِكم فقلنا : يا رسولَ اللهِ : هذا اليومُ الَّذي كسَنةٍ أتكفينا فيه صلاةُ يومٍ وليلةٍ ؟ قال : لا ، اقدُروا له قدرَه ، ثمَّ ينزِلُ عيسَى بنُ مريمَ ، عند المنارةِ البيضاءِ شرقِيَّ دمشقَ فيُدرِكُه عند بابِ لُدٍّ فيقتُلُه

“Sekiranya Dajjal keluar sedang aku bersama kalian, nescaya aku akan mempertahankan kamu. Namun sekiranya dia keluar dan aku tidak lagi bersama kalian, maka setiap orang mempertahankan diri masing-masing. Allahlah pelindung setiap Muslim. Barangsiapa yang bertemu dengan Dajjal maka bacalah permulaan Surah al-Kahfi. Itu adalah bentengmu daripada fitnah. Sahabat bertanya berapa lama dia di bumi? Jawab baginda: 40 hari. Sehari umpama setahun, sehari umpama sebulan, sehari umpama seminggu dan baki lagi umpama hari-hari biasa. Sahabat bertanya apakah cukup untuk kami solat sehari semalam pada hari umpama setahun itu? Jawab baginda: Tidak, bahkan sukatlah dengan kadar hari biasa. Kemudian Nabi Isa akan turun di sisi menara putih dari sebelah Timur Damsyik. Lalu akan menemui Dajjal di Bab Ludd dan membunuhnya.”

[HR Abu Daud]

Menurut Hadis di atas, Bab Ludd adalah destinasi terakhir Dajjal. Kota tersebut bakal menjadi saksi terbunuhnya manusia iblis tersebut. Dia akan lari ke sana setelah melihat turunnya Nabi Isa A.S, kerana mengetahui bahawa dirinya akan terbunuh di tangan utusan Allah itu.

Menurut Hadis dalam siri-siri yang lepas, setelah Dajjal tidak berupaya memasuki Kota Makkah dan Madinah, dia akan menuju ke Palestin lalu mengepung satu pasukan umat Islam di sana. Sabda Rasulullah S.A.W:

حتى يأتي المدينة فيغلب على خارجها ويمنع داخلها ، ثم يأتي جبل إيلياء فيحاصر عصابة من المسلمين

“Sehingga Dajjal mendatangi Madinah lalu menguasai semua yang keluar daripadanya, dan menghalang orang memasukinya. Kemudiam dia menuju ke Iylia (Palestin) lalu mengepung satu pasukan orang Islam.”

[HR Hakim]

Menurut huraian pada Siri 13, pangkalan tentera Dajjal adalah di Mata Air Zughar, berhampiran Sungai Jordan. Dari sanalah dia mengawal kepungan terhadap pasukan Islam tersebut. Dari sana juga dia akan melihat peristiwa Nabi Isa A.S turun di kawasan pangkalan Islam, Damsyik.

Usai Solat Subuh, Orang Islam terus keluar dari Damsyik bagi menyerang Dajjal. Melihat keadaan tersebut, Dajjal yang tahu nasibnya terus lari menuju ke arah Tel Aviv. Sampai di Bab Ludd, umat Islam berjaya menangkap Dajjal dan terus membunuhnya di sana. Sabda Rasulullah S.A.W:

أنَّهُ إذا خرج مسيحُ الضَّلالةِ الأعورُ الكذَّابُ نزل عيسَى ابنُ مريمَ على المنارةِ البيضاءِ شرقيَّ دِمشقَ بين مَهْرودَتَيْن، واضعَا يديهِ على منكبيْ ملَكينِ ، فإذا رآهُ الدَّجَّالُ انماعَ كما ينماعُ المِلحُ في الماءِ ، فيدركهُ فيقتلهُ بالحَربةِ عندَ بابِ لُدٍّ الشَّرقيِّ على بضع عشرةَ خطواتٍ منه

“Ketika keluar al-Masih yang sesat lagi penipu, turum Nabi Isa A.S dari atas menara putih di Timur Damsyik mengenakan dua pakaian yang indah, sambil meletakkan tangan pada bahu malaikat. Apabila Dajjal melihatnya hampir binasa seolah garam yang larut di dalam air. Maka Dajjal lari lalu Nabi Isa mengejarnya lalu dibunuh menggunakan tombak di Timur Bab Ludd, beberapa belas langkah daripadanya.”

[Ibn Taimiyah dalam Jawab al-Sahih]

Ada pendapat yang mengatakan bahawa tujuan Dajjal ke Bab Ludd adalah bagi melarikan diri keluar dari Israel melalui lapangan terbang Ben Gurion. Menurut satu Hadis, kenderaan utama Dajjal adalah ‘keldai bertelinga panjang’ sebagaimana Sabdanya:

يَخْرُجُ الدَّجَّالُ في خِفَّةٍ من الدِّينِ، وإدبارٍ من العلمِ، وله أربعون يومًا يَسِيحُها، اليومُ منها كالسنةِ، واليومُ كالشهرِ، واليومُ كالجُمُعةِ، ثم سائرُ أيامِهِ مثلُ أيامِكم، وله حمارٌ يَرْكَبُهُ عَرْضُ ما بين أُذُنَيْهِ أربعون ذراعًا، يأتي الناسَ، فيقول : أنَا ربُّكم، وإن ربَّكم ليس بأَعْوَرَ، مكتوبٌ بين عَيْنَيْهِ ك ف ر، يَقْرَأُهُ كلُّ مؤمنٍ، كاتبٌ وغيرُ كاتبٍ، يَمُرُّ بكلِّ ماءٍ ومَنْهَلٍ، إلا المدينةَ ومكةَ، حَرَّمَهُما اللهُ عليه، وقامتِ الملائكةُ بأبوابِهِما

“Dajjal keluar ketika urusan agama semakin diringankan, dan ilmu semakin ditinggalkan. Dia berkeliaran selama 40 hari. Sehari umpama setahun, sehari umpama sebulan, sehari umpama seminggu dan hari-hari berbaki umpama hari-harimu yang biasa. Dia memiliki keldai yang ditunggangi. Lebar kedua telinganya 40 hasta. Dia mendatangi manusia lalu berkata, aku tuhanmu, sedangkan tuhan tidak cacat mata sepertinya. Tertulis antara dua matanya huruf Kaf Fa’ Ra’, boleh dibaca oleh semua orang beriman sama ada yang celik mahupun buta huruf. Akan mendatangi setiap kawasan tanah dan laut, kecuali Mekah dan Madinah, Allah mengharamkan keduanya darinya, dan malaikat menjaga pintu-pintunya.”

[HR Ahmad]

Diibaratkan sebagai keldai bertelinga panjang adalah kerana pada zaman Nabi, belum wujud pesawat udara. Menurut ilmu Balaghah, sekiranya makna yang tersurat tidak logik, maka perlu ditafsirkan secara maksud tersirat. Maka tidak logik ada keldai bertelinga panjang sedemian. Justeru ditafsirkan maksudnya sebagai pesawat moden.

Wallahualam.

(Petikan dari buku Geoeskatologi Islam yang bakal diterbitkan)

(ALANG IBN SHUKRIMUN)
15 Ramadan 1439
31 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 31/5/2018

 

- Advertisement -