Gembleng pembangunan bersama

- Advertisement -

BERPULUH proposal dan cadangan saya terima sejak lebih 2 minggu yang lalu berkaitan dengan pelbagai cadangan projek, idea, permohonan tanah, penjualan produk pertanian sama ada yang bersaiz sederhana atau mega khusus dalam tugasan saya di Portfolio Pertanian dan Asas Tani.

- Advertisement -

Dari sebesar nak pelihara lembu sado sampailah sekecil nak bela ikan hiasan. Dari nak tanam durian sampailah nak tanam rumput. Dari cadangan projek bersaiz 1 ekar sampailah beratus ekar. Dari orang kampung sehinggalah tauke berpangkat Dato’.

Ada yang telefon, ada yang Whatsapp, ada yang email dan ramai juga yang datang pejabat untuk berbincang. Ada yang datang hanya bermodalkan dengan lidah dan gigi, ada juga yang datang lengkap dengan kertas cadangan.

Ada yang buat temu janji, ada yang pakai masuk saja. Kita terima belaka dan bilik kita sentiasa terbuka. Kerusi meja, karpet, lampu, aircond dan semua yang ada dalam pejabat Exco adalah dibeli dengan wang rakyat dan saya pun dibayar gaji dan elaun untuk melayan rakyat, maka silakan semua.

Semua cadangan dan proposal ini bernilai tinggi dan amat sayang kalau dibiarkan berlalu tanpa penelitian lanjut. Saya akan duduk bersama Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani Negeri untuk meneliti satu persatu proposal yang dikemukakan.

Keutamaan saya ialah nilai pulangan projek dari segi manfaat kepada rakyat. Projek untuk menjadikan orang kaya semakin kaya, saya tak begitu excited. Saya minat untuk tolong seorang pengusaha lalu dia pula boleh tolong orang lain.

Contohnya kita bantu seorang pengusaha susu kambing untuk membuka tempat memproses susu dan hasilnya penternak lain boleh jual susu kepada beliau.

Kita buka satu kawasan pertanian berkelompok, hasilnya kita boleh libatkan ramai peserta. Kita naik taraf jeti pendaratan ikan, ramai nelayan boleh tumpang manfaat.

Kita bantu seorang pengusaha pengeluar makanan ternakan dengan sasaran penternak boleh mendapatkan bekalan makanan ternakan dengan harga yang lebih murah.

Inilah beberapa contoh bagaimana kita berfikir untuk memberi manfaat kepada ramai orang serentak dari sesuatu pelaksanaan projek.

Kita juga sangat teliti dengan bajet. Pegawai yang bekerja bersama saya akan ditanya perincian demi perincian tentang bajet sesuatu program.

Satu lagi, saya akan cari punca masalah dari akar umbi. Bukan selesai masalah di tengah jalan. Contohnya penternakan ikan dalam sangkar yang gagal kerana masalah benih ikan, maka saya tak akan bagi peruntukan bajet untuk baiki sangkar ikan dahulu, tapi kita akan peruntukan bajet untuk selesaikan isu bekalan benih ikan terlebih dahulu. Buat apa baiki sangkar kalau bekalan benih ikan tak ada.

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 31/5/2018

- Advertisement -