Beberapa kriteria politikus yang populis

- Advertisement -

SEMEMANGNYA corak politik demokrasi hari ini mengalami evolusi ke arah Populisme. Ia merupakan fenomena yang sedang melanda dunia. Populisme ibarat dadah yang mengkhayalkan. Asyik dan sedap jika diambil. Namun berdepan risiko sengsara yang panjang, bahkan boleh membawa maut.

- Advertisement -

Dadah Populisme

Semua orang tahu dadah adalah berbahaya. Tetapi semata-mata inginkan nikmat yang sementara, ramai yang kecundang. Begitu juga Populisme, rakyat tahu auta politik itu berbahaya untuk rakyat dan negara

Namun dek kerana rasa terlalu lama sengsara, mereka sanggup mengambil dadah Populisme kononnya untuk merasai kelegaan yang bersifat sementara walaupun dengan terpaksa menipu diri sendiri.

Beberapa kriteria politikus yang populis:

●     Berjanji di luar kemampuan. Memasarkan janji manifesto yang seindah bulan dan bintang. Sedangkan ia tidak mampu dilaksanakan. Tidak mengapa menipu asalkan beroleh sokongan yang melimpah ruah.

●     Lebih tertumpu kepada hebahan isu-isu hangat untuk menjentik emosi rakyat tanpa menyediakan plan penyelesaian yang konstruktif.

     Apabila beroleh kuasa, rupa-rupanya tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah yang dahulunya dijadikan sebagai bahan kempen.

     Gemar memainkan sentimen dan emosi rakyat. Memanipulasi perasaan panik rakyat. Dengan itu dapat mendorong rakyat agar bersetuju dengan apa jua langkah yang diambil oleh mereka tanpa perlu berfikir panjang.

     Mengada-adakan gimik yang populis untuk dihebahkan agar meraih sokongan ramai. Sungguhpun apa yang dilakukan hanyalah picisan dan tiada kaitan dengan solusi yang diharapkan.

     Bijak mengeksploit simpati orang ramai dengan cerita-cerita yang menyentuh emosi. Dari wayang yang dicipta mampu membius apa jua protes rakyat yang dijangkakan bakal mereka hadapi.

Bentuk projek pembodohan baharu

Hakikatnya jika rakyat bijak, mereka tidak akan termakan dengan kaedah politik Populisme yang diaplikasikan oleh politikus-politikus populis.

Namun oleh kerana mereka telah melalui proses indoktrinasi yang agak panjang, menyebabkan jiwa rakyat telah terasuh untuk mendahulukan emosi. Akibatnya melahirkan corak berfikir rakyat yang simplistik dan gemar membuat pilihan tanpa berfikir panjang.

Mereka hanya mahu dengar apa yang mereka mahu dengar. Biar pun tidak logik lagi auta, asalkan ia dapat melegakan maka mereka sanggup menjadi penagih kepada politik Populisme.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD 
1 Jun 2018 – HARAKAHDAILY 1/6/2018

FB IMG 1527803484026

- Advertisement -