Pembangunan ekonomi Kelantan: Peluang dan cabaran

- Advertisement -

KELANTAN dianggap sebagai sebuah negeri pertanian (agrarian), menyaksikan aktiviti ekonomi yang berkait-rapat dengan sektor pertanian, perniagaan, dan pelancongan, di samping faktor geografi seperti banjaran, dataran Sungai Kelantan dan monsun Laut China Selatan.

- Advertisement -

Persepsi pihak luar terhadap ekonomi Kelantan sering dikaitkan dengan kemiskinan dan pengangguran, namun Kelantan turut sinonim dengan dasar berkebajikan, daya keusahawanan dan kuasa beli yang tinggi, menjadikannya mempunyai daya tahan dan kekuatan tersendiri.

Keunikan utama ekonomi Kelantan adalah budaya integriti dan dasar berkebajikan di pihak kerajaan. Rekod bersih pentadbiran kerajaan Kelantan sejak 1990 menjadi model pencegahan dan pembasmian rasuah, di samping dasar penjimatan dan perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri yang mengutamakan nilai keberkatan.

Pelbagai program berkebajikan telah dilaksanakan di Kelantan seperti biasiswa pendidikan (YIK, zakat), bantuan kemiskinan (beras percuma, rumah termiskin, Tabung Serambi Mekah), bantuan wanita dan ibu tunggal, latihan kemahiran, bantuan modal perniagaan, program Ladang Rakyat dan sebagainya, bertujuan untuk membantu dan meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat Kelantan.

Selain peranan pihak kerajaan, kerancakan ekonomi negeri Cik Siti Wan Kembang turut disokong oleh kekuatan kuasa beli dan permintaan tempatan di kalangan rakyat, khususnya dalam transaksi tunai, perniagaan kecil, industri desa, serta pelaburan hartanah dan perumahan, di samping budaya infak, sedekah dan waqaf yang sinonim dengan rakyat Kelantan.

Potensi ekonomi Kelantan boleh dikembangkan melalui sektor pendidikan (hab pengajian Islam dan tamadun Melayu), pertanian moden (ladang rakyat, perikanan laut dalam), keusahawanan (belia, wanita, industri desa, industri kreatif), hab pelancongan Islamik serta industri hiliran minyak dan gas, yang boleh dibangunkan oleh kepakaran dan kemahiran anak jati Kelantan.

Cabaran utama pembangunan Kelantan adalah infrastruktur (darat, laut, udara) serta tarikan pelaburan (insentif cukai, FDI) yang banyak bergantung kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan, di samping peluang pekerjaan yang mampu ditawarkan oleh ekonomi tempatan. Pemberian royalti petroleum (lima atau 20 peratus) pastinya akan mengubah kanvas ekonomi kerajaan negeri dan rakyat Kelantan.

Inilah sebahagian pandangan saya terhadap keunikan, potensi dan cabaran ekonomi Kelantan, dari kaca mata seorang anak Kelantan di perantauan.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
30 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 30/5/2018

- Advertisement -