Bulan akidah

- Advertisement -

BERIBADATLAH di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan perbanyakkanlah amal soleh. Allah menjanjikan ganjaran terbaik melalui ibadah Ramadhan untuk umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam yang dipilih-Nya sebagai umat terbaik.

- Advertisement -

Tetapi, mari bertafakkur sebentar pada sabda junjungan besar al Rasul dalam hadisnya yang sahih:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ” رواه البخاري 38 ومسلم 760

“Barang siapa yang berpuasa Ramadhan dengan iman dan ihtisab (ikhlas mengharap ganjaran-Nya), maka diampunkan baginya segala dosanya yang lampau.”

Ia adalah peringatan yang nyata daripada al Rasul bahawa ibadah puasa (begitulah juga segala amal soleh) mestilah melepasi dua syarat utama:

Pertama, iman yang benar kepada Allah dan segala arahan dan larangan-Nya.

Kedua, ikhlas hati kepada-Nya dengan melakukan ibadah hanya kerana mengharapkan redha dan balasan daripada-Nya, bukan kerana riya’ atau apa-apa kepentingan duniawi.

Untuk menjamin keberkesanan ibadah itu seperti yang dijanjikan-Nya, dipertegaskan syarat seterusnya iaitu:

Ketiga, menjauhi dosa besar. Ini dinaskan dalam hadis-hadis lain. Dosa besar hanya terhapus dengan taubat. Tanpa taubat, segala ibadah akan tertolak.

Bulan Ramadhan adalah bulan penyucian akidah. RasuluLlah memberi ingatan melalui hadis di atas bahawa segala amalan adalah terbatal jika seseorang muslim memiliki akidah yang rosak dan batil akibat kejahilan atau kedegilan sendiri yang enggan tunduk kepada ilmu agama.

Segala ibadah, walaupun besar pada zahirnya seperti puasa adalah sia-sia dan kosong jika sekira tidak menepati syarat asas beragama iaitu akidah yang sihat dan niat yang ikhlas.

Menjadi kewajiban bagi setiap muslim tetamu Ramadhan untuk sentiasa memperbaharui pegangan dan keyakinan dirinya dalam beragama agar sentiasa benar dan betul dengan ajaran Islam.

Islam adalah Islam Allah dan rasul-Nya, bukan Islam mengikut nafsu sendiri. Allah sentiasa memelihara agama-Nya dan para hamba-Nya yang beriman daripada ditipu oleh kejahatan manusia yang sombong.

Semoga Allah menerima amal soleh kita pada bulan penyucian akidah diri ini dan mengurniakan kita dengan ganjaran-Nya yang agung.

- Advertisement -