Tuntutan Hindraf 2.0 rencat perpaduan kaum

- Advertisement -

BARISAN Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) telah menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan untuk menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India. Dewan Pemuda IKATAN Bangsa Malaysia menghormati hak Hindraf selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyuarakan isu yang dihadapi masyarakat India di Malaysia.

- Advertisement -

Dewan Pemuda IKATAN Bangsa Malaysia menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, memperhalusi semua 25 cadangan tersebut dan menolak tuntutan yang melangkaui perlembagaan negara kerana akan merencatkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Isu kemiskinan tegar di kalangan masyarakat India harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Namun begitu, isu berkaitan hak keadilan sosial perlu ditangani dengan bijaksana.

Dewan Pemuda IKATAN Bangsa Malaysia menolak cadangan membuka UiTM kepada bukan bumiputera kerana UiTM merupakan satu-satunya institusi yang ditubuhkan untuk memberikan pendidikan tinggi kepada orang Melayu dan Bumiputera secara eksklusif ke arah keadilan sosial masyarakat Malaysia melalui polisi yang dipersetujui semua pihak, Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Diharapkan kerajaan Pakatan Harapan memberi fokus kepada penyelesaian masalah ekonomi peringkat Nasional dan membasmi ketirisan serta rasuah, daripada membuka lebih banyak isu yang membabitkan keharmonian antara kaum. Perpaduan Bangsa Malaysia hanya boleh dicapai melalui pendidikan, bukan di peringkat pendidikan tinggi, tetapi harus dimulakan di peringkat tadika dan sekolah rendah.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendirian bahawa perubahan hanya dapat dilakukan jika kita sama-sama bersetuju ke arah sekolah satu aliran di mana semua anak-anak Bangsa Malaysia belajar di bawah satu bumbung dan sama-sama mempelajari bahasa Melayu, Cina dan India serta budaya masing-masing.

Demi Bangsa Malaysia yang sebenar!

Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia
Merangkap Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera – HARAKAHDAILY 29/5/2018

- Advertisement -