Tular yang semakin karut

- Advertisement -

APABILA saya membaca sebuah karangan pendek berkenaan Perdana Menteri Malaysia yang menangis, saya merasa sangat sedih. Bukan kerana plot ceritanya, tetapi sedih kepada penular yang giat menyebarkan cerita pendek (cerpen) itu.

- Advertisement -

Tanpa melihat kebenaran, kesahihan dan lojik kisahnya, mereka ralit menari-narikan jari-jemari mereka sama ada berkongsi mahupun berkomentar, kerana mereka sangat percaya dengan cerita itu. Namun tiada siapa pun yang sehingga kini mengaku menulis kisah air mata itu.

Ingatan saya terus menerpa kepada sebuah cerita pendek yang juga direka pada waktu banjir besar melanda Kelantan sedikit masa lalu. Kuala Krai antara tempat yang sangat terjejas. Maka ketika kekalutan itu berlaku, datanglah sebuah cerpen yang dikira sangat menyayat hati.

Ia berkisar mengenai seorang ibu yang terpaksa menghanyutkan mayat bayinya kerana meninggal gara-gara tiada bantuan yang sampai kepadanya. Bayi itu mati, dengan bermadah, ibunya mengarang kesedihannya, menghantar mesej itu dan akhirnya, menganyutkan mayat bayi itu adalah pilihan yang sangat berat untuk beliau lakukan, namun terpaksa.

Maka apabila ditanya, dari manakah cerpen itu diperolehi, tidak ada yang dapat memberikan jawapan. Saya cuba menduga lagi. Bukankah lebih baik si ibu menggunakan data internetnya meminta bantuan daripada melagukan kesedihannya dengan cerpen itu? Kerana saya bingung memikirkan, sempat lagikah ibunya berkarya sedang internet ada capaiannya, maka lebih utama meminta bantuan.

Tetapi agak terkilan apabila saya pula dimarahi kerana bertanya akan kesahihan cerpen itu. Sehingga kini, tiada laporan mengenai kebenaran cerpen itu. Senyap, diam seribu bahasa. Kalau ditanya kembali, mungkin saya akan dimarahi kembali.

Anda boleh sahaja menilai sikap rakyat Malaysia ini apabila melihat mereka menonton filem luar negara yang jika tiada sari kata sekalipun, asalkan sedih, heronya tampan, heroinnya cantik, lagunya sedap, maka mereka akan turut sama bersedih, bergembira dan membenci penjahat, seperti mereka memahami segala bahasa itu layak gaya mereka.

Sama ada Hindustan, Korea, Thailand, atau lain-lain, semua boleh ditonton asal terhibur. Tidak jauh dengan rancangan Akademi Fantasia yang kita tahu bagaimana ia begitu bermakna kepada rakyat Malaysia. Maka pemikiran sebegini mungkin yang memandu mereka memilih mempercayai cerita yang sedap walaupun tidak benar.

Keadaan sekarang pasca PRU saya lihat semakin parah. Apa sahaja yang dikongsi, sangat teruk sumbernya. Hanya dengan sekeping “screen shot” ia menjadi tular dengan beberapa ayat tambahan yang menyedapkan mata pemujanya membaca. Tiada batasan dosa pahala.

Ada yang pernah saya jumpa di dalam ‘WhatsApp Group” yang menyebarkan info-info yang tidak tahu hujung pangkalnya. Apabila ditanya dari mana sumber, saya pula kelihatan seperti pendosa yang perlu menagih keampunan. Terkadang saya diperli.

Ada pernah diberikan jawapan kepada saya “alah, habis tu takkan kita nak bawa ke balai polis dulu untuk pengesahan’” jawapan daripada eksekutif kewangan sebuah syarikat besar. Jika itu jawapan daripada orang terpelajar, maka apa agaknya harapan kita kepada mereka yang kurang pelajarannya? 

Keadaan ini menimbulkan ketakutan kepada golongan yang memikirkan bahaya fitnah yang sedang digerakkan tidurnya. Ancaman laknat dari Rasulullah tidak dihiraukan, maka apatah lagi ancaman manusia biasa? Begitu galak mereka berkongsi berita yang mereka sendiri tidak pasti.

Terbaharu, Menteri Pertahanan, Haji Mohamad Sabu menafikan tular berkenaan beliau menolak untuk menggunakan kenderaan rasmi kerajaan, menjamu Perdana Menteri berbuka puasa di rumah beliau yang mana ia sebenarnya berlaku tahun lalu dan kewujudan tabung derma bagi beliau membeli sebuah kereta. Untuk PAS, jangan cakaplah fitnah yang kena.

Jika ini terus diamalkan oleh rakyat Malaysia, maka mereka sebenarnya menjemput bala Allah. Sikap hampir sama yang ditunjukkan oleh mereka yang mengaku belajar agama. Sungguh, fitan (fitnah-fitnah) ini sangat dahsyat. Sebagaimana diceritakan oleh Rasulullah yang fitan ini akan datang dan baginda menyuruh kita menyelamatkan diri daripadanya. Lebih daripada itu Rasulullah juga menyebut dalam era fitan ini, akan ada dari kita yang menjual agama demi kepentingan dunia yang sedikit.

Marilah kita sama-sama menjauhi fitnah dengan bertabayyun dahulu dengan berita, cerita yang kita dengar. Ia akan menjadi umpan kepada pemfitnah untuk kita mengikut jejak langkah mereka jika kita tidak memeriksa dahulu sumber berita kita.

Janganlah kerana kebencian kita terhadap sesuatu golongan, menyebabkan kita berlaku tidak adil. Sedangkan adil itu lebih dekat dengan takwa. Jika ancaman dari Allah dan Rasul tidak menggerunkan kita, maka apakah lagi yang tinggal dalam hati kita?

MOHD NASIR ABDULLAH 
Hamad International Airport
Doha, Qatar
29 Mei 2018 – HARAKAHDAILY 29/5/2018

- Advertisement -